Tazkirah Ramadhan

0 comments

Ketaqwaan adalah impak tambahan yang kita idamkan di bulan yang dijanjikan pengampunan dan rahmat bagi mereka yang ikhlas mendambakannya.Sejauh manakah Ramadhan ini  mampu menjadi satu medan tarbiyah kepada jiwa-jiwa manusia,ia tergantung kepada sang pemilik hati yang menguruskan matlamat hidupnya.

     Dewasa ini kegilaan manusia terhadap sambutan syawal lebih extrem berbanding sambutan ramadhan,namun hakikatnya ia sudah disalah ertikan oleh kesalahfahaman yang berbelit dalam benak fikiran manusia yang tidak memahami pada fatrah manakah yang patut kita utamakan.

    Ramadhan yang dilalui anak-anak muda kini seharusnya menarik dengan pengisian yang berkualiti.Ingatkah kita kisah pahlawan Islam Salahuddin Al-Ayubi,pada tahun 587 Hijrah beliau bersama pasukan tenteranya mengalahkan tentera salib,apabila tiba ramadhan penasihat beliau menyarankan agar beliau berehat kerana bimbang ajalnnya akan tiba lantas beliau menjawab:“Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”.Perjuangannya diteruskan dengan menawan benteng Shafad  dan memori sejarah ini terukir di lembaran sejarah Islam pada pertengahan Ramadhan.

    Itu adalah semangat pahlawan yang jiwanya meronta agar Islam terus tersebar lalu dihayati oleh segenap penduduk di muka bumi ini.Saatnya kita bandingkan semangat kita dengan dia pencinta agama melebihi nyawa.Tiada seruan jihad di medan peperangan hari ini namun berjihad dengan perkataan,harta serta kekuatan senantiasa ada.Melibatkan diri dengan jemaah dan menghulur bakti, itu adalah salah satu langkah bijak yang perlu diambil oleh anak-anak muda yang tidak mengetahui ke manakah darah dan keaktifan muda ini harus dilaburkan.Dan ia sememangnya akan menjadi imbalan penambahan ataupun extra pahala di bulan yang dijanjikan pertambahan bagi segala kebaikan, namun menjadi malang apabila anak-anak muda ini mengutamakan alasan dari pelaksanaan.Umat dewasa ni terlalu kaya dengan alasan,sedang yang ditawarkan adalah pahala iaitulah saham baginya pabila bertemu Dia Pencipta seisi alam.

Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w,sabdanya:
“Apabila bermula malam yang pertama bulan Ramadhan menyerulah malaikat,katanya: ‘Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan tampillah mengerjakannya,dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan berhentilah daripada meneruskannya,dan ketahuilah Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan neraka daripada memasukinya’.Seruan dan keampunan yang demikian ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan tersebut)”. Riwayat Tirmizi dan al-Nasai.

    Ketahuilah Ramadhan menjadi saksi bagi setiap pelepasan muslimin dari su’ulmasir iaitu neraka jahim.Namun mengapa lebih besar golongan yang mencuaikan dari memanfaatkan.Fahamilah pabila ia berlalu belum tentu kamu akan melaluinya buat kesekian kali.Barangkali mata tertutup degupan jantung terhenti sebelum menikmatinya buat beberapa kali lagi.

   Sebagaimana Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat Baginda menghayati Ramadhan begitulah seharusnya keadaan kita,mengikut aturan Baginda kerana Baginda lebih mengetahui apakah yang terbaik bagi umat ini dan amal apakah yang selayaknya ditampilkan di bulan istimewa ini.

   Anak-anak muda,detik-detik di bulan Ramadhan ini sememangnya sesuatu yang mahal tidak ada harga untuk memperdagangkannya,maka malanglah bagi mereka yang masih berkesempatan menontot bola juga menghayati filem,rugilah bagi mereka yang masih ada masa untuk mendengar halwa telinga yang tidak mendorong hati untuk bermunajat kepada yang Maha Esa,serba muflislah bagi mereka yang menyiakan usia Ramadhan ini.Sabda Rasulullah s.a.w. firman Allah s.w.t :
  “Setiap amalan anak adam adalah baginya kecuali puasa,sesunggahnya puasa itu adalah bagiku dan   aku yang mengganjarinya..”

    Para ulama’ juga tidak mampu menetapkan sebesar manakah pahala berpuasa kerana ia adalah rahsia Allah.Puasa juga amat istimewa berbanding ibadah-ibadah lain kerana ia tidak dizahirkan seperti solat,zakat juga haji.Ia juga menjauhkan si pelaku dari berlaku riya’ dan takabbur dan seharusnya ia membuahkan rasa ikhlas dari orang-orang yang berpuasa keranaNya.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman!Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadhan) sebagaimana yang difardukan kepada umat sebelum kamu semoga kamu beroleh taqwa”.
 
    Melalui ayat azza Wajall di atas maka kita dapat fahami bahawasanya bukan satu kepastian bahawa mereka yang melepasi Ramadhan ini mereka akan menjadi orang yang bertaqwa,tetapi Ramadhan merupakan sebuah sekolah yang di dalamnya terdapat golongan yang berjaya juga wujud golongan yang gagal.Maka ia bukan suatu kejayaan yang datang bergondong menerpa kita,ia sinonim dengan usaha yang kuat dan mujahadah yang tepu.

   Semoga segala amal kebaikan kita sepanjang bulan Ramadhan ini diangkat di sisiNya sebagai amal soleh,dan tiada noktah bagi setiap amalan selepas keluarnya kita dari medan tarbiyah ini.kemenangan yang kita capai pada Syawal kelak bukan sekadar kemenangan kosong namun penuh intifada yang mampu melumpuhkan syaitan dengan agendanya selepas diberi cuti sebulan oleh Rabbul Izzati.
Read More..

Ramadhan, Somalia Dan Kita

0 comments

Saudara,

   Aku menulis catatan ini dengan air mata. Palestin, Somalia, kisah mereka menusuk jiwa. Ramadhan kian melabuhkan tirainya, sedang aku tetap saja menyaksikan sebahagian kita terus lalai dari memaknakan bulan mulia ini. Aku pengikut setia kisah saudara-saudara kita di Somalia sana. Kebuluran dan kehausan, bersama terik mentari yang membakar. Saban hari ada saja yang pergi. Mangsa peperangan dan wabak taun, aduh..hatiku runtuh sekali..
 
   Jika salah satu hikmah berpuasa adalah untuk merasai kesusahan orang yang susah, menyelami keperitan mereka yang kelaparan, maka krisis di Somalia ini menawarkan peluang dan ruang untuk kita menghulurkan sumbangan, walau dengan sekecil apa pun ia kepada saudara-saudara yang sudah tentu memerlukan.
Bagi menyingkap krisis ini, adalah sangat penting bagi setiap mukmin, yang mengerti akan nilai sebuah ukhuwwah islamiyyah, menunjukkan walau secebis keprihatinan sebagai respon terhadap bencana di Somalia dengan semangat persaudaraan yang luar biasa.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara…..” (ayat 10, surah Al-Hujurat)

   Ayat di atas tertulis dengan jelas, setiap kita bersaudara. Benua bukan pemisah, bangsa bukanlah semata-mata pengikat ukhuwwah. Di Somalia kah kamu, di Malaysia, di Mesir..atau di mana saja bumi kamu berpijak, andai kamu beriman, kamulah saudaraku, yang aku cintai hanya kerana-Nya. Paksi ukhuwwah kita iman, kerana itu aku derita tatkala kamu sakit dan aku pantas akan merasa senang, andai mendengar hari ini kamu sudah menjamah makanan.

“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu pada kasih sayang, rasa belas dan ikatan sesama mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota jasad mengadu kesakitan, seluruh jasad akan turut merasai sakit.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Teman,

    Ramadhan ini mari manfaatkan sebaiknya. Elakkan pembaziran masa dan makanan, ayuh rebut peluang yang tersisa. Saudara kita di Somalia, jangan terus dilupakan. Mereka saudara seakidah mereka. Lapar sakit mereka, zahirkan kepedulian kita !
 
    Ramadhan, kita dan Somalia. Fikirkanlah teman, dalam bulan Ramadhan ini apa yang telah kita lakukan. Kita dan Somalia, apakah punya ikatan?  Fikir dan buatlah keputusan ! 

Fakta Somalia : kanak-kanak dan ibu-ibu tak cukup zat, masalah kebuluran dan peperangan. orang somalia menjadi pelarian untuk mencari keamanan dan makanan di Kenya. Masalah penyakit taun yang semakin merebak menyebabkan 18 kanak-kanak mati dan 4272 orang sakit cirit birit. (map2care.blogspot.com)
Read More..

Video : Badar Al-Kubra

0 comments

Peristiwa Badar Al-Kubra, yang merupakan peperangan pertama bagi umat Islam, adalah satu peristiwa yang cukup penting kerana peristiwa tersebut menjadi penentu sama ada yang hak akan berada di atas kebatilan atau yang batil akan berada di atas yang hak. Apatah lagi, tentera Islam yang seramai 313 orang itu semuanya merupakan ‘orang-orang kuat’ Islam yang seandainya terkorban, pasti perkembangan Islam itu sendiri akan mati. Malah, peristiwa ini juga boleh menjadi kayu ukur, adakah kekentalan iman Islam akan menang atau puak musyrik akan mudah meleburkan tentera Islam.
Read More..

Puasa Itu Indah

0 comments



عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله صلى الله وسلم قال :!ذا جأ رمضان فتحت أبواب الجنة , وغلقت أبواب النار و وصدفت الشياطين
                                        (Kitab صحيح مسلم jilid 7-8 muka surat 186)
Imam Al Ghazali dalam kitab  احياء علوم الدين menjelaskan 6 perkara untuk mencapai kesempurnaan puasa terutama di bulan ramadhan . Antaranya ialah
1)      Menahan pandangan daripada segala perkara yang tercela dan makruh serta  membimbangkan dan melalaikan daripada mengingati Allah Taala .
       Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan kepadanya keimanan yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya.”
2)      Menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat dan berkata keji. Oleh itu , seharusnya dia mendiamkan diri dan  menggunakan waktu  untuk berzikir kepada Allah serta membaca Alquran.
      Rasulullah SAW bersabda: "Dua perkara merosakkan puasa iaitu mengumpat dan berbohong."
3)       Menjaga pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik kerana setiap perkara yang haram diucapkan maka haram pula mendengarnya.
4)      Mencegah anggota tubuh daripada perbuatan dosa  seperti mencegah tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut dari memakan makanan yang syubhat dan haram.
     Allah berfirman dalam al Quran: “Dan hendaklah di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang makruf dan mencegah daripada perkara yang munkar dan mereka adalah orang yang beruntung .
5)      Tidak berlebih-lebihan dalam berbuka puasa sehingga perut diisi dengan penuh makanan. Orang yang berbuka secara berlebihan tentu tidak dapat memetik manfaat dan hikmah berpuasa. Bagaimanakah dia mampu mengalahkan musuh Allah dan mengendalikan hawa nafsunya, jika ketika berbuka dia memanjakan nafsunya dengan memakan makanan yang  banyak.
6)      Hatinya sentiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), kerana tidak diketahui apakah puasanya diterima atau tidak oleh Allah ?. Rasa cemas diperlukan untuk meningkatkan kualiti puasa yang telah dilakukan .

Disediakan oleh :
MUHAMMAD HANAFI BIN RUSLAN
FAKULTI SYARIAH ISLAMIAH TAHUN 1 UNIVERSITI AL AZHAR
Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger