Perang Bani Quraizhah

0 comments


Kedatangan bulan Zulkaedah mengingatkan kita semua kepada beberapa peristiwa besar dan bersejarah yang telah berlangsung pada bulan ini antaranya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy dan juga Peperangan Bani Quraizah yang berlaku sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah di mana peristiwa ini banyak meninggalkan pengajaran kepada umat Islam. Bermulanya gerakan untuk memerangi yahudi Bani Quraizah berlaku apabila Rasulullah s.a.w yang sedang membersihkan dirinya selepas pulang dari Peperangan Ahzab di mana tiba-tiba datangnya malaikat Jibril dan berkata : “ Adakah kamu telah meletakkan senjata? Sedangkan para malaikat belum meletakkan senjata mereka. Oleh itu bangkitlah dengan mereka yang bersamamu untuk menyerang Bani Quraizah. Aku akan pergi dahulu untuk mencampakkan rasa takut ke dalam hati musuh”.  Selesai sahaja memberitahu Rasulullah s.a.w lalu Jibril mengetuai rombongan malaikat menuju ke perkampungan Bani Quraizah.

        Selepas itu Rasulullah S.A.W pula bersama dengan 3 ribu orang tentera menuju ke tempat tersebut di mana  yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam. Walau pun yahudi Bani Quraizah boleh bertahan beberapa lama lagi di dalam kota mereka disebabkan bekalan makanan dan air yang banyak disamping di kelilingi oleh kota yang kukuh sedangkan tentera Islam masih keletihan kerana baru pulang daripada Peperangan Ahzab ditambah pula dengan musim sejuk dan kekurangan makanan. Namun tentera Islam mempunyai semangat jihad yang tinggi sedangkan yahudi berada dalam ketakutan dan lemah semangat. Ketakutan yahudi bertambah kuat apabila Sayyidina Ali dan Zubair bin al-Awwam mula mara di mana Sayyidina Ali bertempik menyatakan : “ Wahai tentera Iman! Aku merasa seperti yang telah dirasai oleh Sayyidina Hamzah iaitu gugur syahid atau aku berjaya membuka kota yahudi ini”.

         Akhirnya yahudi Bani Quraizah membuat keputusan untuk menyerah diri. Setelah berlaku sedikit rundingan lalu Rasulullah s.a.w menyerahkan hukuman terhadap yahudi pengkhianat ini kepada Sa’ad bin Mu’adz untuk menghakiminya. Sa’ad yang masih uzur akibat luka parah yang dialaminya semasa Peperangan Ahzab telah menjatuhkan hukuman agar kaum lelaki yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh manakala kaum perempuan dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Mendengar hukuman itu lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya engkau telah berhukum dengan hukum Allah s.w.t yang datang dari 7 petala langit”.  Sa’ad mendapat keredhaan yang nyata daripada Allah S.W.T di mana doanya agar dilanjutkan usianya sehingga dia dapat menghukum Bani Quraizah dimakbulkan. Selepas peristiwa tersebut, keadaan Sa’ad semakin tenat sehingga nabi mengarahkan agar didirikan khemah di dalam masjid bagi membolehkan Sa’ad sentiasa berhampiran dengannya. Rasulullah s.a.w bersabda : 

اَهْتَزَّ عَرْشُ الرَّحْمنِ لِمَوْتِ سَعْدٍ  ( رواه الصحيحان)     
Maksudnya : ‘Arasy Allah S.W.T yang Maha Pemurah telah bergoncang kerana kematian Sa’ad

إِنَّ المَلائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ  ( رواه الترمذي)            
Maksudnya : Sesungguhnya para malaikat menanggung jenazahnya (Sa’ad bin Muazd).

              Walau pun hukuman yang dijatuhkan ke atas yahudi Bani Quraizah ini pada zahirnya begitu keras bagaikan berbentuk paksaan sedangkan musuh telah menyerah diri tetapi hakikatnya ia begitu adil dan tepat sekali apalagi dengan terdedahnya bagaimana yahudi Bani Quraizah itu bukan sahaja mengkhianati janji tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu. Pelaksanaan kepada hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam


Kesan dan pengajaran


         Peristiwa yang bersejarah ini telah meninggalkan kesan dan pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam terutama dalam berhadapan dengan keganasan zionis yahudi pada hari ini. Sikap yahudi bagaikan tidak pernah berubah sebagai suatu bangsa yang mudah mengkhianati janji dan begitu benci terhadap Islam. Tindakan yahudi Bani Quraizah yang memberi bantuan kepada tentera Ahzab bagi memerangi umat Islam sedangkan mereka telah berjanji untuk taat setia sebagai rakyat Daulah Islamiah Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w ditambah pula dengan persiapan untuk memerangi keseluruhan umat Islam pada masa itu merupakan suatu peringatan kepada kita pada hari ini agar sentiasa berhati-hati ketika berdepan dengan musuh Islam terutama yahudi.

         Jika pada zaman pemerintahan Rasulullah S.A.W yang mempunyai kuasa dan daulah pun yahudi sanggup mengkhianati janji dengan umat Islam apatah lagi pada zaman kita yang tiada lagi Khilafah Islamiah yang mampu menjaga kebajikan dan hak umat Islam sejagat daripada dicerobohi sesuka hati oleh musuh Islam. Api permusuhan yang dinyalakan oleh musuh Islam yang diketuai oleh yahudi tidak pernah padam walau pun ramai di kalangan umat Islam terutama pemimpin negara umat Islam tunduk kepada kebanyakan desakan dan arahan musuh dengan mengenepikan Islam itu sendiri. 

         Kita memperingatkan buat sekian kalinya kepada pemimpin negara umat Islam yang lebih sanggup menjadi boneka dan khadam suruhan musuh Islam daripada menjadi pemimpin yang tunduk kepada perintah Allah S.W.T dan rasulNya. Adakah mereka tidak mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku kepada rakan sejawat mereka seperti Yaser Arafat yang telah memberi kesemua yang dikehendaki oleh yahudi tetapi kini dia menjadi bahan mainan yahudi. Serta kedaulatan Palestin terus menjadi impian yang belum dapat lagi dibuktikan sedangkan sudah berapa ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman yahudi. Berapa luas tanah yang tergadai dan dirampas serta begitu terdedahnya Masjid al-Aqsa untuk dirobohkan oleh yahudi. 

           Adakah pemimpin ini tidak mengambil iktibar dengan apa yang baru berlaku terhadap Saddam Husein yang dulunya dijadikan ayam laga musuh Islam bagi berhadapan dengan saudara seagama tetapi kini dari istana mewah berakhir dalam lubang tikus di bawah tanah sebagai tahanan yang menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman. Begitu juga dengan tekanan terhadap Libya dan Iran agar menghentikan pembinaan senjata tidak ketinggalan Syria yang dianggap antara paksi keganasan oleh musuh Islam terus berlangsung. Tujuan kuffar durjana yang sebenar ialah bagi memastikan yahudi terus berkuasa serta memastikan tiada lagi negara umat Islam yang boleh menggugat kedudukan yahudi Israel yang merupakan negara pengganas utama dunia.


Realiti di tanah air 

         Tekanan dan penghinaan musuh Islam tidak akan terhenti sekali pun adanya umat Islam yang mengikut telunjuk mereka. Tidak terlepas dengan apa yang berlaku terhadap negara kita sendiri di mana tekanan terhadap agama Islam begitu teruk seperti ramai umat Islam termasuk pelajar yang masih muda usianya ditahan di bawah ISA atas tuduhan pengganas tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini sebagai antara pusat keganasan. 

         Tekanan terhadap pengajian agama sehingga sudah banyak sekolah agama rakyat yang terpaksa ditutup pada awal tahun ini, pengharaman bertudung labuh, serban dan jubah di sesetengah tempat kerja dan pengajian, tindakan merobohkan surau serta usaha yang bersungguh dalam memastikan sistem perundangan Islam agar tidak dapat dilaksanakan dalam negara. 

      Malah tindakan dalam persempadanan pilihanraya turut menyaksikan usaha untuk memastikan umat Islam menguasai Parlimen semakin lama semakin kurang tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini tiada toleransi agama. Musuh Islam tidak akan berpuas hati sehinggalah umat Islam tunduk dan mengikut jejak langkah mereka sampai ke dalam lubang biawak. Oleh itu kita berpesan kepada pemimpin agar jangan terus menjadi barua musuh Islam sebaliknya marilah kita bersatu menjulang seluruh sistem Islam sekali pun dibenci musuh asalkan dikasihi oleh Allah S.W.T.


Read More..

Tak Kenal Maka Tak Cinta!

1 comments



Salam  sejahtera diucapkan buat pencinta kedamaian, keindahan, keadilan juga buat pencinta Sang Pencinta mutlak iaitu Allah SWT yang mencipta CINTA untuk yang dicintai-NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih  Allah SWT, Rasulullah SAW dan seluruh ahli keluarga baginda serta para sahabat yang diredhai Allah.

            Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu” dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. “Katakanlah (Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”                                         (Ali-Imran : 31-32)

            Bila berbicara tentang CINTA, ramai yang tersenyum sendiri, ada juga yang tersengih malu. Namun, insan yang pernah mengalami sahaja yang dapat merasai betapa nikmatnya CINTA. Timbul persoalan, adakah cinta yang kita rasai itu cinta mutlak atau hanya cinta nafsu? Islam telah datang dengan syumulnya dari aspek ilmu Akidah, Syariat dan Akhlak untuk dihayati dan diamali oleh penganutnya demi mencapai redha Ilahi. Untuk mendapatkan cinta hakiki tidak dapat tidak mesti melalui jalan yang telah digarisi syariat. Cinta atau boleh juga dipanggil mahabbah terbentuk melalui pengamalan tiga aspek ilmu tadi. Bila hati sudah cinta maka segala yang dilakukan adalah untuk yang dicintainya. Begitulah manusia, bila cinta kepada Allah, segala tujuan dan kefokusannya hanyalah untuk Allah.

            Berlandaskan apa yang Islam terapkan, Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM telah menubuhkan Unit Biah Solehah yang berperanan besar memastikan biah yang solehah terlaksana di bumi Anbiya’ khususnya, dan di negara lain umumnya. Ini kerana sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang menjadikan Islam sebagai cara hidup, maka Biah Solehah adalah satu amanah untuk kita semua. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tiada keimanan bagi yang tidak beramanah, tiada solat bagi yang tidak bersuci, dan tiada agama bagi yang tidak bersolat”.

            Mari kita koreksi balik objektif Unit Biah Solehah kali ini dengan 5 pembawakan agar dapat kita terapkan dalam kehidupan seharian demi membentuk generasi berakhlak Quran dan insan yang mencintai dan dicintai Allah. Insya-ALLAH. Bila ada mahabbah semuanya akan jadi solehah.


Memperkasakan Solat Jemaah
          
           Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Solat berjemaah lebih afdhal dari solat bersendirian dengan 27 darjat, manakala solat bersendirian 1 darjat.” (Muttafaqun ‘Alaih)

         Juga telah bersabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Ke atas kalian dengan berjemaah.” Berdasarkan hadis tersebut, boleh kita simpulkan seruan agar meletakkan diri dalam jemaah atau kumpulan, hatta ketika solat, kerana ia melambangkan kesatuan hati muslimin. Orang kafir begitu gerun melihat sesebuah solat yang didirikan dengan berjemaah kerana ia menunjukkan betapa ramainya umat Islam seperti mana beberapa kisah yang berlaku ketika zaman sahabat terdahulu. Ahli teori fizik juga mengakui kehebatan solat berjemaah bilamana sistem tubuh manusia dapat distabilkan apabila cas-sas positif dan negatif saling bertukar ketika tubuh manusia tersentuh satu sama lain semasa solat berjemaah.

Manfaatkan media elektronik
            
            Di dalam dunia yang serba canggih ini, pelbagai kemudahan tercipta yang mana jika disalahguna boleh membawa kepada kehancuran umat akhir zaman. Firman Allah Taala (mafhum) : “ Tidaklah Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia, Maha Suci Allah yang menyelamatkan kami daripada azab api neraka. ” Maka yang terbentang di depan mata manfaatkanlah ia. Jika media elektronik tidak dimanfaatkan maka terjadi pelbagai maksiat tanpa disedari, contohnya ikhtilat di alam maya. Sering kita alpa dengan masalah ini.

Tautan ukhuwwah
            
            Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Tidaklah beriman seorang mukmin sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya. ” Ramai dalam kalangan kita mengetahui hadis ini, namun sejauh mana kita dapat praktikkannya? Tepuk dada tanya iman. Beberapa cara berukhuwwah telah di gariskan oleh Abdullah Naseh Ulwan di dalam kutaibnya ‘Ukhuwwah Islamiah’. Antaranya, bersalaman apabila bertemu dan memberi hadiah kerana ianya dapat menimbulkan kasih sayang.

Pembentukan fikrah dan syakhsiah
            
          Fikrah Islam atau fikrah kita adalah ajaran Allah SWT, yang lengkap sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan Muslim. Iaitulah Islam atau Ad-din yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah SAW.

     Seorang mujahid Islam, Ustaz Fathi Yakan ada menyatakan pembentukan syakhsiah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya. Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Sesiapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam dikira telah menyeleweng. Firman Allah Taala : “ Dan jika kamu mengikuti orang-orang yang berada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya prasangka belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan. ” (Al-An’am : 116)


Mengetahui dan mendalami sejarah Islam

Ianya bertujuan supaya seorang muslim mempunyai gambaran nyata tentang hakikat Islam yang sebenarnya, yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’ dan tabi’n serta golongan  terkemudian.

 “Siapa yang meninggalkan sejarah dia akan mengulangi sejarah tersebut.” Kata-kata ini amat masyhur dalam masyarakat sekarang, maka ayuh kita cakna dengan sejarah Islam yang berlaku agar ianya menjadi  langkah awal dalam pembinaan Daulah Islamiah yang segemilang zaman terdahulu. Cukup banyak sumber yang kita boleh dapatkan seperti merujuk para ulama, kitab-kitab lama dan moden, dan melakukan pengkajian. Ramai yang mahu bekerja tetapi tidak ramai yang mahu berfikir.

Sedikit renungan bersama, “ Sesuatu yang dilakukan dengan mahabbah, akan menghasilkan ketenangan dan kebahagian di dalam hati walaupun fizikal penat ” (Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani Al-Husaini).

Wallahua’lam…
Read More..

Syawal : Kemenangan Yang Di Syukuri.

0 comments



الله أكبر كبيرا, والحمد لله كثيرا, وسبحان الله بكرة وأصيلا,
لا إله إلا الله وحده,
صدق وعده,
ونصر عبده,
وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده.
لا إله إلا الله والله أكبر. الله أكبر ولله الحمد.


Kegembiraan jelas terpancar pada wajah kaum Muslimin saat Allah menurunkan pertolongan kepada mereka berupa kemenangan dalam menentang tentera kuffar dalam peperangan Ahzab. Kemenangan ini dirai dengan penuh ketaqwaan dan munajat serta dihiasi dengan tasbih, tahmid juga takbir yang berterusan tanda cinta mereka kepada Rabbul Jalil dan kekasih Nya , Nabi Muhammad Sallallahua’laihi Wa Sallam. 

Aidilfitri yang dihadiahkan buat hamba-hambaNya begitu bermakna dalam konsep Ramadan yang banyak mentarbiah ruhiah ummah. Rangkap takbir yang dialunkan setiap kali raya tiba menggambarkan suatu keizzahan dalam diri setiap Muslim yang tetap teguh berpegang dengan syariat Allah SubhaanahuwaTaa’la.

Namun, realiti masyarakat kini memandang enteng tentang erti sebenar sebuah kemenangan. Hari-hari yang dimuliakan ini seringkali dicemari dengan gelagat-gelagat maksiat seperti pendedahan aurat, tabarruj (berhias berlebih-lebihan), pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan, pembaziran dan sebagainya. Apakah ini natijah yang diharapkan setelah sebulan berada dalam madrasah pentarbiahan?

Firman Allah Subhaanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Jelas dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah bagi menggapai ketaqwaan seterusnya sebagai ‘pengecas’ iman agar  bertambah teguh dalam mendepani cabaran dalam kehidupan. 

Oleh itu, ubahlah budaya jahiliah dalam diri kita dengan kembali berpaut pada garisan Al-Quran dan Sunnah agar kita dapat menyebarkan budaya yang terbaik ke seluruh alam. Koreksi iman kita setelah Ramadan kali ini berlalu, adakah kita bertambah baik ataupun sebaliknya?

:: Betulkan yang biasa, Biasakan yang betul ::

SALAM LEBARAN 1433 Hijrah




















Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger