Kisah Nabi Daud A.S

0 comments


Nabi Daud ialah salah seorang rasul daripada 25 Rasul yang wajib kita ketahui. Nabi Daud merupakan antara Rasul yang dianugerahkan Allah kerasulan dan kerajaan. Kitab Nabi Daud adalah kitab zabur. Firman Allah dalam surah al Israa: "Dan Tuhanmu lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-Nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud." [55]

Kelebihan Nabi Daud antaranya ialah, Allah menundukkan gunung-ganang dan burung-burung dan memerintahnya bertasbih bersama-sama Nabi Daud. Dia juga mempunyai suara yang merdu dan memahami bahasa burung. Dan Nabi Daud mempunyai keistimewaan membuat baju perang daripada besi. Dia dapat melembutkan besi tanpa perlu menggunakan api. Hal ini diterangkan dalam Al Quran surah Saba 10 dan 11.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya”[ 10]

(Serta Kami wahyukan kepadanya): “Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”[ 11]

Nabi Daud adalah nabi yang berani. Nabi Daud menyertai perang bersama Raja Talut melawan Jalut. Pada masa itu dia masih muda. Tidak semua orang beriman dalam pasukan Raja Talut ini. Untuk menguji siapa yang benar-benar beriman, Allah telah mengilhamkan Raja Talut untuk menguji tenteranya. Ini diceritakan dalam Al Baqarah ayat 249-251:

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.[249]
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”[250]

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada sekalian alam.[251]

Nabi Daud membahagikan hidupnya kepada 4 bahagian. Satu bahagian untuk bekerja dan berehat, satu bahagian untuk beribadat, satu bahagian untuk mendengar masalah rakyat dan satu bahagian lagi untuk memberi khutbah/ceramah. Pada suatu hari, nabi Daud tidak membenarkan siapa-siapa pun untuk bertemunya kerana hari tersebut telah dia khususkan untuk beribadah. Dia telah memberitahu pengawal-pengawalnya. Tapi entah bagaimana, dua orang lelaki telah memanjat tembok istananya untuk menemuinya. Nabi Daud mula berasa takut dalam hatinya. Tapi dia masih melayan keduanya tersebut. Salah seorang lelaki tersebut mempunyai 99 ekor kambing dan seorang lagi hanya mempunyai seekor sahaja. Lelaki yang ada hanya seekor kambing itu memberitahu bahawa yang ada 99 ekor kambing itu inginkan kambingnya yang hanya seekor dan dia telah kalah dalam perdebatan dengan orang yang ada lagi banyak kambing itu. Nabi Daud terburu-buru membuat keputusan bahawa orang yang satu lagi itu berlaku zalim tanpa mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Sebenarnya dua orang lelaki itu adalah malaikat yang dihantar Allah untuk menguji kebijaksanaan Nabi Daud. Firman Allah dalam surah Sad:

Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;[21]

Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: ” Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.[22]

” Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ‘ Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ‘, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu”.[23]

Nabi Daud berkata: ” Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).[24]

Ada suatu lagi cerita di dalam Al Quran mengenai nabi Daud dan anaknya Nabi Sulaiman. Ada seorang lelaki mempunyai kebun dan seorang yang mempunyai kambing. Kambing itu telah merosakkan kebun orang yang satu lagi itu. Nabi Daud memutuskan untuk memberi kambing kepada pemilik kebun itu. Tapi Nabi Sulaiman ada idea lebih baik. Dia mencadangkan, pemilik kambing harus menyerahkan kambing kepada pemilik kebun untuk sementara waktu, dan pemilik kebun itu boleh mengambil manfaat daripada kambing itu. Dan pemilik kambing yang asal itu harus mengerjakan kebun yang rosak itu sampai hasilnya boleh dituai. Selepas kebun sudah boleh dituai, pemilik kebun harus memulangkan kembali kambing itu. Dalam surah Al-Anbiya Allah berfirman:

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.[78]

Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.[79]

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?[80]

Nabi Daud juga dipuji sebagai sebaik-baik orang yang beribadat dan berpuasa. Hadis Rasulullah mengenainya:
David (PBUH) fasted every other day. ‘Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-‘As narrated: “Allah’sApostle (PBUH) said to me: The most beloved fasting to Allah was the fasting of (the Prophet)David, who used to fast alternate days. And the most beloved prayer to Allah was the prayer ofDavid, who used to sleep for (the first) half of the night and pray for one third of it and (again)sleep for a sixth of it.”1

‘Abdullah Ibn ‘Amr Ibn Al-‘As also narrated: “The Prophet (PBUH) said to me: I havebeen informed that you pray all the nights and observe fast all the days; is this true? I replied: Yes.He said: If you do so, your eyes will be weak and you will get bored. So fast three days a month, forthis will be the fasting of a whole year. (Or equal to the fasting of a whole year). I said: I findmyself able to fast more. He said: Then fast like the fasting of (the Prophet) David (PBUH) whoused to fast on alternate days and would not flee on facing the enemy.”2

Nilai-nilai murni dan Pengajaran
Nabi Daud adalah seorang pemimpin cuba sedaya upaya untuk adil dan juga bertakwa. Apabila baginda menyedari dia berlaku tidak adil dia segera memohon taubat. Pemimpin zaman sekarang harus mencontohinya. Nabi Daud tidak menggunakan hasil negara sebagai sumber pendapatan tapi menggunakan kepakarannya untuk membuat baju perang untuk mencari rezeki. Dia juga membahagikan waktunya dengan baik supaya seimbang kehidupan di dunia dan di akhirat.
Read More..

KEJAYAAN BERSAMA KEIMANAN

0 comments



KEJAYAAN BERSAMA KEIMANAN

Assalamualaikum w.b.t. buat azhariyyin dan azhariyyat sekalian. Saya kira ketika antum membaca risalah ini pasti antum sedang memegang kitab kuliah atau mendengar ceramah motivasi. Namun, tidak kiralah benar ataupun tidak, debaran menghadapi imtihan yang bakal tiba tidak sampai dua bulan sahaja lagi pasti wujud di dalam diri antum.

Berbicara soal imtihan, ada 2 jenis karakter manusia sama ada aktif atau pasif. Jika aktif, segala persediaan giat dilakukan. Adapun bagi karakter pasif, mungkin masih acuh tidak acuh dengan kitab kuliah dan leka dengan benda yang tidak sepatutnya. Jadi, mana satu karakter antum?

Di dalam fatrah imtihan ini, adakah ‘Biah Solehah’ di dalam diri antum masih terjaga? Jika “ya”, segulung mubarak buat antum, jika “tidak”, mari memuhasabah diri masing-masing. Menghadapi imtihan ibarat  berjuang di medan perang. Rasulullah SAW dan para sahabat ketika menghadapi musuh, persediaan rohani lebih dititikberatkan berbanding persediaan fizikal. Begitu juga bala tentera Sultan Muhammad Al-Fateh dan banyak lagi sejarah terdahulu yang kita boleh contohi dalam menghadapi ujian dunia.

Kita mungkin tidak sedar rupa- nya dengan hanya merapatkan ukhuwah sesama kita contohnya menghadiahkan senyuman dan salam, Allah SWT jadikan sebagai gantian dengan kejayaan di dalam imtihan. Hanya dengan secebis ikhlas sewaktu menuntut ilmu atau membantu sahabat, Allah SWT ganjari kita sebuah kemenangan di dalam bidang yang diceburi. Masya-Allah, baik sungguh Allah terhadap hamba-NYA

Firman Allah SWT (mafhum): “Dan kemudian dikatakan kepada  orang yang bertaqwa, “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan mu?” Mereka menjawab: “Kebaikan”. Bagi orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (balasan) yang baik. Dan sesungguhnya negeri akhirat pasti lebih baik. Dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang bertaqwa”. (An-Nahl : 30).

Dikisahkan seorang pemuda datang kepada seorang alim dan berkata: "Saya seorang lelaki yang mempunyai hawa nafsu yang kuat. Saya tidak dapat menahan diri dan mata dari melihat orang orang yang lalu-lalang di bazar atau pasar. Apa perlu saya lakukan untuk menahan diri saya?".

Orang alim itu memberikannya secawan penuh air susu dan mengarahkannya untuk menghantar ke satu alamat dengan syarat dia tidak boleh menumpahkan air susu tersebut walau sedikitpun. Dia akan ditemani seseorang untuk mengawasinya dan jika ia menumpahkan air susu tersebut maka dia akan dipukul dengan kuat.

Akhirnya pemuda tersebut  berjaya menghantar air susu itu ke tempat yang diarahkan tanpa tumpah walau sedikitpun. Orang alim bertanya kepadanya: "Seperti apa dan siapakah yang kamu lihat sepanjang perjalananmu tadi?"
Pemuda itu menjawab: "Saya tidak sedarpun apa-apa yang berlaku di sekeliling saya sebab saya asyik memberi tumpuan kepada air susu yang saya bawa, takut ia tertumpah dan saya pasti malu jika dipukul di khalayak ramai".

Orang alim pun berkata: "Situasi yang sedang kamu hadapi samalah seperti keadaan orang yang beriman. Orang beriman bimbang Allah akan menghinanya di hadapan ramai orang pada hari kiamat, jadi imannya itu tersimpan kukuh di dalam hatinya".

Pengajaran:
Orang yang sentiasa menjaga tindakan di dalam kehidupan ataupun berhati-hati dan bersungguh-sungguh menjaga imannya, takut berbuat dosa dan tidak menghiraukan pandangan manusia kerana Allah SWT semata-mata, mereka akan lebih fokus kepada hari pengadilan atau hari pembalasan.

Sama juga di dalam persediaan menghadapi imtihan, jika kita memberi sepenuh tumpuan di samping menjaga akhlak-akhlak Islamiah, kejayaan hakiki pasti kita genggam. “What you give, you get back”.

Ayuh kita memperkasakan lagi 5 Objektif Biah Solehah di dalam diri dan di sekeliling kita agar kita tergolong di dalam orang yang menjadi wasilah hidayah Allah SWT untuk orang lain, insya-Allah.

Firman Allah SWT (mafhum): “…Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan…” (Al-Baqarah : 148).

Walaupun imtihan kuliah hanya di atas kertas, namun jika diniatkan untuk mencari redha Allah SWT dan menolong agama-NYA, usaha kita pasti tidak sia-sia hatta keputusan nanti kita ditakdirkan gagal. Gagal di dunia tidak  bermakna gagal di akhirat, namun haruslah disertai dengan keimanan. Firman Allah SWT (mafhum): Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman". (Al-Mukminun : 1).

Antara nasihat Syeikh Nuruddin Al-Banjari kepada penuntut ilmu:

- Jangan terpesona dengan gelaran PhD atau MA dan sebagainya. Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat.

- Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam menguasai tanah umat Islam disebabkan ulamak kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.

Wallahua’lam.



Disediakan oleh
Unit Biah Solehah
Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan
PMRAM 2012
Read More..

Ikatan Ukhuwah

0 comments



Firman Allah s.w.t bermaksud:“Orang mu’min itu (lelaki dan perempuan) sebahagiannya menolong sebahagian yang lain.”

Ukhuwwah merupakan anugerah daripada Allah yang dikurniakan kepada mereka yang ikhlas di kalangan hamba yang berjiwa suci dan bersih. Inilah kekuatan iman yang diwariskan oleh perasaan yang mendalam, jiwa yang benar dan mahabbah, kasih sayang dan rasa hormat, saling mempercayai sesama mereka, saling membantu, mengutamakan orang lain, rasa belas kasihan, memberi kemaafan dan bertoleransi dengan ikatan aqidah tauhid, manhaj islam yang kekal. Inilah antara perkara lazim kepada iman: Tiada ukhuwwah tanpa iman,tiada keimanan yang sempurna tanpa ukhuwah sepertimana tiada persahabatan tanpa takwa dan tiada ketakwaan tanpa persahabatan.

Saudara seislam yang sebenar  memandang saudaranya adalah lebih utama dari dirinya sendiri, kerana jika ia tidak bersama mereka nescaya ia tidak akan bersama dengan orang lain manakala jika mereka tidak bersamanya, mereka akan bersama orang lain. Kata as-syahid Imam Hassan Al-Banna: ..Aku maksudkan dengan ukhuwwah ialah : Hati dan jiwa ditautkan dengan aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan paling berharga. Ukhuwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang..”

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam muslim menceritakan bahawa: Ada seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di sebuah perkampungan. Allah telah mengutuskan seorang malaikat ketika lelaki ini dalam perjalanan. Malaikat itu telah bertanya kepada lelaki tadi apabila mereka bersua: “Saudara hendak ke mana? ”. Maka lelaki itu pun menjawab, saya hendak menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya lagi “Adakah (kamu menziarahinya) kerana kamu akan memperolehi kesenangan lalu kamu  menjaga perhubungan ini”. Lelaki itu menjawab: “Tidak!”  Aku mengasihinya kerana Allah. Kemudian malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu dan Allah telah mengasihi kamu sebagaimana kamu mengasihi saudaramu kerana-Nya”. (Riwayat muslim)
 
Sesungguhnya darjat ukhuwah yang paling rendah adalah berlapang dada terhadap sahabat lain dan tingkatan tertinggi adalah ithar, iaitu mengutamakan sahabat lebih dari diri sendiri. Nah, cuba tanya kembali dimanakah darjat ukhuwah kita sesama Islam? Adakah masih ada di dalam lingkungan ukhuwah yang dimaksudkan, ataupun sudah jauh lari kerana kepura-puraan. Fikir-fikirkan bersama...
Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger