Pentarbiahan Dalam Solat Jemaah

1 comments
Solat Jemaah amat dituntut di dalam Islam,ia merupakan salah satu Syiar Islam. Sehinggakan ada ulama’ yang mengatakan untuk melihat sesuatu kampung itu baik atau tidak, maka lihatlah solat Jemaah di kampung tersebut.

Rasulullah bersabda:

عن ابي الدرداء رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله عليه و سلم يقول : (( ما من ثلاثة في قرية و لا بدو لا تقام فيهم الصلاة...الا قد اسحوة عليهم الشيطان,فعليكم بالجماعة فأنما يأكل الذنب من الغنم القاصية)) رواه أبو داود..

Maksudnya: Daripada Abu Darda’ berkata: aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah) nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. Riwayat Abu Daud.

    Di dalam solat berjemaah banyak mengajar dan melatih kita untuk menjadi ummah yang berdisiplin . Antaranya ialah menepati masa. Menunaikan solat berjemaah di masjid tidak dapat tidak kita perlu mematuhi masa yang telah ditetapkan dalam setiap waktu solat. Gemarkan diri untuk datang awal dari waktu yang ditetapkan. Kita digalakkan untuk hadir ke masjid sebelum masuk waktu solat dan menunggu sehingga masuk waktu solat. Begitu juga  kita perlu mempraktikkan dalam kehidupan seharian kita. Contohnya bagi mereka yang hendak menghadiri mesyuarat atau program-program dakwah perlu datang lebih awal dari waktu yang telah ditetapkan.



    Sentiasa berada di barisan hadapan. Di dalam solat kita digalakkan untuk berada di saf hadapan. Begitu juga dengan urusan dakwah atau ibadah yang lain kita perlu menjadi orang yang pertama untuk melakukannya.

     Taat pada ketua  “السمع و الطاعة”. Sebagai makmum di dalam solat jemaah , kita tidak boleh bercanggah atau bersalahan dengan imam. Begitu juga dengan hidup dalam jamaah. Kita perlu memberikan keta’atan yang sepenuhnya kepada pemimpin selagi mana tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

    Di dalam solat berjemaah kita di ajar tentang ukhuwah. Kita perlu merapatkan bahu-bahu kita dengan saudara-saudara Islam yang lain dengan tidak mengira kulit, bangsa, negara dan apa jua perbezaannya. Kerana kita sebagai umat Islam semuanya adalah saudara.

    Dan banyak lagi tarbiyah yang kita dapat terima dan belajar dari solat berjemaah. Solat berjemaah amat penting untuk kita menerima tarbiah agar kita menjadi ummah cemerlang yang pernah menguasai dunia suatu ketika dahulu.

     Oleh hal demikian, marilah kita sama-sama menjalankan peranan kita masing-masing agar sentiasa memperingati dan saling menasihati keluarga dan sahabat-sahabat kita untuk solat berjemaah. Kerana kita diutuskan diatas muka bumi sebagai khalifah. Jadi, masih tidak sempurna iman kita sebagai seorang muslim yang boleh mendirikan solat Jemaah sedangkan sahabat-sahabat disekeliling kita masih culas dalam solat berjemaah. “Amar Makruf Nahi Mungkar” untuk kita menjadi umat yang terbaik.
Read More..

Fikrah dan Syakhsiah

2 comments
Imam Hassan Al-Banna telah menegaskan:
"Pembentukan suatu ummah, pendidikan suatu bangsa, pencapaian cita-cita, dan pendukungan prinsip memerlukan kekuatan jiwa yang besar dari ummah atau bangsa yang ingin mencapai cita-citanya itu. Kekuatan jiwa yang terjelma dalam kemahuan yang kuat dan tak mengenal lemah; kesetiaan yang terpadu, tak mudah terpengaruh, dan tak kenal uzur; memiliki pengorbanan yang tinggi yang tak terhalang oleh perasaan tamak; mengenal serta mengimani dan memandang tinggi terhadap prinsip perjuangan sehingga seseorang dapat memelihara diri dari penyelewengan atau terpedaya oleh prinsip-prinsip lain"

     Beliau menjelaskan bahawa pembinaan syakhsiah dan fikrah ini adalah merupakan titik permulaan dalam dakwah seterusnya yang menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat umat islam. Itulah matlamat kita selaku hamba yang mengucapkan dua kalimah syahadah.
Oleh kerana itulah, Rasulullah SAW membina peribadi para sahabat melalui Qiamullail misalnya, untuk mentarbiah rohn, emosi, akal dan harakahnya melalui siri-siri tarbiyah yang panjang dan penuh liku. Namun hasilnya sangat lumayan bilamana peribadi-peribadi yang lahir dari acuan Baginda Rasulullah SAW benar-benar memasukkan diri sahabat dalam celupan ALLAH, iaitu telah masuk hidup sahabat secara keseluruhannya ke dalam agama Islam.

     
       Semuanya bermula melalui gabung-jalin antara elemen TAHU agama, kemudian MAHU beragama, seterusnya MAMPU dalam beragama. Yang mana puncaknya adalah tidak teragak-agak lagi untuk mengorbankan seluruh jiwa raganya demi menegakkan Islam dan meninggikan kalimah ALLAH di muka bumi biarpun semua menentangnya.

     Demikianlah antara proses pembinaan syakhsiah atau peribadi seorang muslim yang diharapkan. Antara 3 pendekatan yang digunapakai sepanjang proses pembinaan ini ialah:

1. PROSES AWAL 'TAHU'

       Bermula daripada tahu, kita cuba dikenalkan dengan agama melalui membaca kitab-kitab, berkongsi ilmu dan kefahaman, tazkirah, ceramah dan kuliah-kuliah yang disampaikan. Istiqamah dan iltizam sangat ditekankan ketika ini untuk mendapatkan tasawwur(worldwide) yang jelas supaya fikrah yang terbentuk mantap dan matang.

      Kekuatan asasi, iman, ilmu, jasadiah dan lain-lain perlu diteliti supaya sumber kekuatan ini dipasak sedalamnya. Ibarat membina sebuah rumah, kita mesti menanamkan tiang-tiang dan membina foundation yang kuat, supaya batu bata yang ingin kita susun menjadi bangunan yang indah dan kukuh. Selagi proses pembinaan asas ini tidak berjaya, selagi itu proses seterusnya tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Sekiranya berjaya sekalipun, bimbang akan retak atau berhenti di tengah jalan.


2. 'TAHU' YANG MENGUNDANG 'MAHU'

        Namun kita diingatkan supaya tidak tergesa-gesa dalam mencapai tujuan. Bermula dari pembinaan asas yang kukuh iaitu dari pembinaan fikrah dan syakhsiah melalui apa jua medium baik usrah, seminar, qiamullai, seterusnya disusuli dengan mereka yang mahu menyambutnya dengan baik serta menghayati agamanya.

     Perumpamaanya seperti membina rumah tadi, mereka-mereka yang sedia diajar ini meneruskan proses-proses yang seterusnya seperti menyusun batu-bata, membancuh simen, mengecat dan akhirnya terbinalah sebuah rumah. Meskipun sepanjang membina rumah tadi ada yang mentertawakan lantaran tidak kena gaya, tapi dengan keyakinan yang mereka ada bahawa mereka mesti menyiapkan sebuah rumah yang kukuh, maka semua itu tidak dipedulikan kerana yakin dengan apa yang mereka bangunkan.
Jadi soal 'mahu' inilah yang menjadikan agama Islam boleh diterjemah dengan baik dalam perbuatan hariannya, malah dibuktikan pula dengan baik. Hasilnya juga, mereka menyiapkan diri untuk dididik dan dibimbing demi menuju kesempurnaan. Benar, kita tidak boleh menjadi sempurna, tetapi kita boleh bergerak kearah kesempurnaan kebaikan.

3. SANGGUP BEKORBAN

          Meskipun pembinaan syakhsiah manusia dan pembentukan fikrahnya ini satu yang rumit, tetapi melalui pendekatan 'tahu' dan 'mahu', secara sedar atau tidak sedar akan melahirkan golongan yang mampu untuk mengorbankan dirinya atas nama ALLAH, Rasul dan Islam.

      Ketika ramai mereka yang rapuh dan futur di pertengahan jalan, golongan ini sanggup melaksanakan gerak kerja Islam dan dakwah dengan dahsyat sekali, tanpa memikirkan imbalan dunia kerana telah kembali kepada tujuan asal dakwah iaitu mencapai redha ALLAH SWT. Paling kurang, mereka mampu merealisasikan sifat fardhu muslim yang utama iaitu aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih dan akhlak yang mantap.

        Kefahaman islam yang diterima dengan jelas menggunakan konsep ini, bermula daripada mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, seterusnya membuka dirinya untuk ditarbiah dan diajar, akhirnya sedia bekorban demi cintanya pada Islam dan ummatnya. Itulah kesanggupan untuk memberi dengan ikhlas semuanya.

      Selagi ada ALLAH, tidak mustahil untuk kita membina syakhsiah dan fikrah serta pemikiran yang hebat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dengan peribadi yang baru. Apa yang perlu adalah mendapatkan kefahaman yang syumul terhadap Islam dan mewajibkan diri untuk berubah, carilah dan komited dengan tarbiyah, jangan remehkan kerana di situlah titik awal dakwah. Mulakan dengan diri sendiri, atur gerak langkah dan teruskanlah mencari hikmah, satu barang yang telah hilang dari umat islam. Dan barangsiapa yang menjumpainya, maka dialah yang berhak ke atasnya.

Yakinlah! sesungguhnya pertolongan ALLAH itu dekat. Allah berfirman yang bermaksud:

"Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad ayat 5-7)
Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger