Kemana Perginya Kesedaran

Firman Allah Taala :

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan Yang demikian); dan sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”  - (Al-Baqarah 217)
 
Firman Allah Taala lagi :

“Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan Yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam).”  (An-Nisa’ : 89)

Usaha menyedarkan aktivis-aktivis Islam ini amat penting bagi memastikan mereka sentiasa bersungguh-sungguh di dalam setiap gerak langkah mereka, tidak lalai dalam kesenangan yang melingkungi, berhati-hati mengatur setiap tindakan dan membuat sebanyak mungkin persediaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang perjalanan di atas jalan dakwah ini.

Sesungguhnya orang-orang kafir tidak pernah jemu dalam usaha mereka. Mereka mencuba dan mencuba untuk menghapuskan Islam di atas muka bumi ini.

Islam yang bersifat Rabbani pemerintahannya mereka takuti akan muncul sebagai kuasa besar dunia. Mereka takutkan Islam kerana ianya setiasa meniupkan roh kepimpinan ke dalam jiwa umatnya. Mereka amar arif tentang pesanan dan wasiat Allah kepada umat Islam di mana Allah berfirman :

“Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.” (Al-Hajj : 41)

Mereka takutkan Islam kerana ianya membentuk kesatuan ummah. Lantas mereka mengatur taktik divide dan rule agar umat Islam yang telah mereka pecahkan ini hilang taringnya dan menjadi mudah untuk mereka perintah di bawah telunjuk mereka.

Inilah yang telah mereka lakukan ke atas Negara-Negara Arab dan lain-lainnya dari kalangan umat Islam. Perkara ini telah diakui oleh More Berger di dalam bukunya “Dunia Arab Kini”

“Ketakutan kita kepada dunia Arab bukanlah kerana petrol yang banyak di Negara mereka, tetapi ialah kerana Islam. Islam mestilah diperangi supaya dunia Arab tidak dapat bersatu padu, kerana perpaduan itu akan membawa kepada kekuatan mereka. Kekuatan mereka selamanya berada bersama kekuatan Islam.”
Ucapan Samuel Zwemer, Ketua Persatuan Missionary kepada pengembang-pengembang Kristian dalam satu kongres jelas menunjukkan niat busuk mereka dan taktik jahat mereka :

“Sesungguhnya tanggungjawab kamu sebagai missionary yang mewakili Negara-negara Kristian untuk dijalankan di Negara-negara Muhammad (Islam) bukanlah bertujuan mengkristiankan umat Islam yang mana kamu tidak akan dapat melakukannya.

Kewajipan dan tugas kamu ialah merenggangkan kehidupan seorang muslim dari ajaran Islamnya yang sebenar, sehingga mereka menjadi manusia yang tidak punyai hubungan dengan asas-asas akhlak mulia dalam kehidupan satu bangsa. Dengan kerja-kerja kamu ini, kamu akan menjadi jaguh penjajahan di Negara-negara Islam.

Kamu hendaklah berusaha memesongkan akal dan pemikiran umat Islam sehingga mereka menerima system yang telah kamu sediakan itu, iaitu merenggangkan umat Islam dari ajaran ugamanya. Kami mengharapkan kamu dapat melahirkan satu generasi yang sesuai dengan dasar penjajahan, satu generasi yang tidak ambil pusing akan perkara-perkara besar dan pokok, satu generasi yang hanya suka berehat dan malas serta melayani kehendak nafsu.

Nafsulah menjadi matlamat hidupnya. Dia belajar untuk memuaskan nafsunya. Dia mengumpul wang dan harta kekayaan untuk memuaskan nafsunya. Kalau dia mendapat pangkat tinggi pun untuk nafsunya. Dia berkorban segala-galanya untuk nafsu. Jika ini semua kamu dapat melakukan maka kamu telah mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang dalam kerjaya kamu sebagai seorang missionary Kristian.”


Begitula mereka menjelaskan usaha-usaha dan tujuan mereka! Betapa kita melihat pada hari ini hampir kesemua usaha mereka telah berjaya dengan cemerlangnya ke atas umat Islam.

Betapa pada hari ini ramai orang Islam yang mengaku dirinya muslim tidak lagi memiliki akhlak-akhlak Islam yang sebenar. Mereka menjauhi ajaran-ajaran agama mereka dengan berbagai alasan. Mereka menerima sistem hidup yang disediakan oleh musuh tanpa rasa malu dan hina.

Mereka tidak lagi mementingkan perkara-perkara pokok dan usul, sebaliknya asyik dalam mempersoalkan perkara remeh temeh dalam agama mereka.

Mereka sibuk mempertikaikan itu syarie…ini tidak syarie…dan sebagainya tetapi mereka melupakan masalah perpecahan umat Islam yang kronik.

Mereka sibuk membincangkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk ummat, sedangkan ramai di kalangan umat Islam sudah berpaling dari agamaNya.

Baru-baru ini, kita dikejutkan tentang statistik permintaan mereka yang ingin keluar dari Islam dan sudah murtad. Jumlah yang dipaparkan dalam Parlimen Malaysia baru-baru amat mengejutkan. Statistik yang ditunjukkan bermula pada tahun 2000-2010 menunjukkan Sabah dan Negeri Sembilan merupakan negeri yang tertinggi diikuti dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Kita bimbang gejala-gejala seumpama ini menimpa kepada generasi pada akan datang. Kalau ini ternyata berlaku, kepada siapakah lagi ingin kita sandarkan harapan untuk membangkitkan semula umat Islam? Kalau kita sebagai generasi terbilang ini dihidapi penyakit malas, sedap goyang kaki, menjeling sahaja terhadap kerja-kerja Islam, siapakah lagi yang akan membimbing masyarakat kembali kepada Islam?? Siapakah lagi du’at yang akan menjadi obor kalau tidak kita khususnya keluaran Timur Tengah yang memahami bahasa Al-Quran?

Masa semakin berlalu untuk kita berhimpun cita-cita, impian dan harapan. Realiti sekarang memerlukan sepenuh persediaan dan pengorbanan dari kita. Semua dari kita bercita-cita untuk menjadi daie yang baik…pendokong gerakan Islam yang komited dan cemerlang, pemimpin masyarakat yang berkaliber dan seumpamanya tetapi sejauh manakah persediaan kita?

Sebanyak manakah usaha kita untuk mempertingkatkan diri kearah itu? Sejauh manakah kepekaan kita terhadap perencanaan musuh? Dan lebih utama lagi, sejauh manakah pengetahuan kita terhadap Islam dan kesyumulannya yang bakal kita bawa pada masayarakat?

Ayuh teman, kita bersama-sama menghitung diri kita, memeriksa kekurangan kita, memperbaiki kesilapan-kesilapan yang ada, mentajdid semula semangat, mempertingkatkan usaha pengislahan, dan seterusnya menambah perbekalan semaksimum yang mungkin untuk perjuangan yang ditunggu-tunggu oleh Islam…kerana Allah berfirman :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’du : 11)


Disediakan oleh,
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN PMRAM 2011

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger