Solat Jamaah Perisai Mahasiswa/wi

2 comments


Umat islam yang beriman akan membenarkan apa yang dibawa datang oleh Junjungan Rasulullah SAW. Dengan ertikata lain melaksanakan segala yang difardhukan dan memperbanyakkan amalan sunnah.Firman Allah Taala:
((وما خلقت الجن والإنس الا ليعبدون))
Maksudnya: Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengerjakan ibadah.

Sebagai tanda syukur kehadrat Ilahi, umat islam difardhukan dengan ibadah  khusus (solat) sebagai bukti kesyukuran dan kehambaan kepada Allah Taala. Hadaf atau tujuan utama penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT selain untuk menegakkan kalimah Allah di atas permukaan bumi. Amalan atau ibadah yang didirikan dapat menjadi bekalan untuk kehidupan yang sebenar-benarnya iaitu di akhirat kelak. Firman Allah Taala:
((وتزودوا فإن خير الزاد التقوى))
Maksudnya: Berbekallah kamu ! Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa.

Solat yang menjadi ibadat khusus bagi sekalian umat islam yang berbentuk tuntutan (iktidha’) sebagai medium utama bagi menjana ketakwaan yang diimpikan. Berkiblatkan satu arah menghadap Baitullah yang suci yang merupakan kiblat kedua umat islam menunjukkan kesatuan umat islam, Islam sesekali tidak menginginkan  umatnya berada dalam keadaan berpecah belah, oleh itu solat berjemaah adalah satu cara untuk menyatu-padukan umat islam supaya sentiasa berada dalam keadaan berjemaah. Jika ditelitikan,kedudukan semasa solat berjamaah yang menepati waqie berorganisasi dapat dilihat dengan penyusunan seorang imam dan makmum-makmum. Imam solat jamaah tidak boleh berbilang-bilang serta perlu diikuti dan tidak boleh mendahuluinya sepanjang solat didirikan selagi mana solat Imam tidak perlu di mufaraqah disebabkan berlaku hadas dan sebagainya. Keadaan ini mengajar kita cara taat dan patuh kepada pimpinan selagi mana pembawakannya berlandaskan Syariat Islam.  

.حي على الصلاة, حي على الفلاح
Marilah beribadah, marilah menuju kejayaan.

Kalimah atau lafaz ini seringkali dilaungkan oleh muazzin,terlalu pendek dan ringkas tapi merangkumi maksud yang begitu mendalam. Malangnya, manusia selalu lalai dengan urusan dunia masing-masing bahkan mengabaikan seruan untuk menghadap Ilahi tersebut. Muslim sejati dan bertaqwa sepatutnya mengambil iktibar dan intipati daripada lafaz nida’ (azan) tersebut bahawa dengan menunaikan solat berjemaah akan mendapat jaminan kejayaan dari yang Esa. Lafaz(alfalah) boleh diklasifikasikan sebagai kejayaan dunia dan kemenangan di akhirat dengan syarat  menunaikan kewajipan dengan sempurna (ikhlas) dan tidak meremeh-remehkan atau memudah-mudahkannya.


Sunnah Rasulullah S.A.W yang sering didirikan oleh baginda adalah solat berjemaah walaupun baginda dalam keuzuran dengan dibantu para sahabat. Umat Rasulullah SAW dijanjikan ganjaran yang lumayan dan berlipat kali ganda atas amalan yang dikerjakan walaupun amalan tersebut sekadar sebesar zarah. Bercakap mengenai ganjaran pahala solat jamaah disisi Allah Taala, sebagaimana sedia maklum, solat berjamaah pahalanya 27 darjat berbanding solat bersendirian dengan 1 darjat. Ini membuktikan bahawa kelebihan yang dikurniakan kepada umat Islam.  

Sabda Rasulullah S.A.W:
 “Bahawasanya seorang muslim apabila berwudhu’ dengan baik, kemudian pergi ke masjid, tidak ada tujuan lain kecuali solat, tidak melangkah kecuali diangkat baginya satu darjat, dan dihapuskan satu kesalahan, jika ia solat, malaikat sentiasa berselawat padanya selama berada di tempat solatnya, selama wudhu’nya tidak batal: ”Ya Allah, ampunilah ia, Ya Allah, kasihanilah ia, dan ia sentiasa dalam solat selama ia menuggu solat”. (Muttafaqun alaih)
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian." (Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242. Dan perlulah diingati solat itu adalah talian hayat manusia dengan Allah SWT dan solat jemaah adalah penyinambungannya. Sabda Rasulullah SAW:
"الصلاة عماد الدين ومن أقامها فقد أقام الدين ومن تركها فقد هدم الدين"

Apa yang boleh disimpulkan disini, mahasiswa islam perlu cakna mengenai solat berjemaah dan tidak menganggapnya sebagai satu perkara yang remeh-temeh dek kerana tidak mengetahui pro dan contranya. Mahasiswa islam khususnya menjadi harapan masyarakat sekeliling dan menjadi harapan kepada Islam itu sendiri sebagai agen perubah kepada masyarakat untuk memahami tuntutan Agama. Masyarakat Malaysia khususnya menilik tepat kepada golongan ini selaku role model atau qudwah daripada segenap sudut.Ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang masyhur: golongan ulama’ atau penuntut ilmu itu adalah pewaris para Nabi. Firman Allah SWT:
((إنما يخشى الله من عباده العلماء))
Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah Taala adalah golongan ulama’

Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger