Hubungan Orientalis Dan Kristianisasi

0 comments

Kemelut berfikir di kalangan umat Islam ternyata masih belum berakhir. Akhbar dan media massa selalu sahaja mengejutkan umat dengan berbagai bentuk tulisan dan pola pemikiran yang sekular, meterialistik, pragmatik dan sebagainya yang membelakangkan nilai serta norma yang paling teras dalam masyarakat Melayu iaitu Islam. Persepsi Islam di kalangan segolongan cendikiawan bukan merupakan asas untuk menilai sesuatu; samada perkara atau gejala. Jika uniform anak-anak sekolah dibincangkan, maka yang menjadi asas penilaian adalah aspek ekonomi dan psikologinya sahaja. Kalau soal pembangunan yang dibincangkan maka yang dilihat adalah aspek teknologi dan pragmatiknya sahaja, tanpa melihat sudut agamanya.

Islam bagi sesetengah pihak bagaikan bayang yang tidak punya kenyataan. Ia bukan suatu perspektif yang patut disorot. Mengapakah pertimbangan Islam selalu dilupakan atau disingkirkan oleh elit muslim berkenaan. Sudah tentu persoalan ini perlu dicarikan jawabannya oleh mereka yang prihatin. Permasalahan inilah barangkali yang disebabkan oleh agen-agen imprealis dari segolongan orientalis, journalis, akademis, zionis, pendia'yah Kristian dan kuncu-kuncunya.Oleh itu wajarlah disorot peranan golongan di atas secara terpeinci agar dapat dicari jalan yang sesuai untuk mengatasinya.

Dalam kesempatan yang terhad ini fokus yang ingin diutarakan hanya menyorot peranan orientalis dan gerakan kristianisasi secara khusus merujuk kepada pengertian orientalisme, peranan orientalis, motivasi penyimpangan mereka, kesan gerakan orientalis dan kristianisasi terhadap umat Islam dan akhirnya langkah-langkah menghadapi gejala serta masalah yang dihasilkan oleh gerakan tersebut.

Definisi ORIENTALISME

Orientalisme atau dalam bahasa Arabnya disebut " Al Istisyraq" adalah ilmu tentang Timur atau hal Ehwal Ketimuran, lebih jauh ia adalah kegiatan atau pengkajian berhubung dengan ehwal Ketimuran, sejarah, keyakinan penduduk di sebelah Timur, susun lapis penduduk, lokasi, persekitaran tabi'enya, bahasa, gaya pertuturan, watak dan syahsiyyah mereka. Kajian ini menyelidiki aliran pemikiran tradisi dalam pelbagi bentuk, untuk pelbagai tujuan.

Dalam konteks yang berlainan ada pula pandangan yang mengatakan bahawa Orientalism sebagai sebuah disiplin ilmu yang mempunyai methodologi yang tersendiri. Ia dipengaruhi oleh faktor luaran yang berfungsi sebagai dasar atau tujuan kewujudan dan operasinya.

Gerakan Orientalism ini dipelopori pada mulanya oleh para Mubaligh Kristian dan Paderi untuk tujuan mendakyahkan agama Kristian .Tetapi akhirnya bergandingan dengan kehadiran Imperialisme barat ke Dunia Islam untuk mengukuhkan penjajahan mereka ke atas negara-negara jajahan tersebut.

Dr Hamdi Zaqzuq menegaskan: "Terdapat suatu kesefahaman mutlaq di kalangan mubaligh Kristian kurun ke 13 tentang betapa perlunya menguasai bahasa-bahasa orang Islam.Seandainya mahu dijayakan usaha pengkristianisasi ke atas mereka. Persefahaman yang telah diterjemahkan dalam bentuk agenda bertindak ,itu merupakan faktor penting dalam perkembangan Orientalisme ,pada masa itu tidaklah mudah untuk memisahkan Orientalisme dengan Kristianisasi atau motivasi keagamaan. Motivasi keagamaan inilah menjadi pencetus utama bagi lahirnya Orientalismei".

Kajian Ketimuran yang bercambah di Eropah di abad-abad pertengahan adalah didorong oleh pertentangan agama dan suasana perang Salib pada ketika itu.Pengaruh dan semangat untuk mengembangkan Kristian pada ketika itu jelas dalam nota rasmi pembentukan kursi pengajian Bahasa Arab di Universiti Cambrigde, England, yang bertarikh 9 Mei 1636 masihi oleh pengasasnya. Nota tersebut antara lain menyebutkan: "Kita sedar bahawa dengan usaha ini kita bukan sahaja bertujuan untuk mendekati kesusteraan yang baik untuk mendedahkan sebahagian besar ilmu pengetahuan yang ada kepada cahaya dan tidak membiarkannya terkatup dalam bahasa yang ingin kita pelajari sahaja akan tetapi kita juga sebenarnya bertujuan untuk mengajukan khidmat bakti kepada pemerintah dan negara memlalui perdagangan kita dengan negara-negara Timur, selain untuk mengagungkan tuhan melalui perluasan batasan gereja dari seruan kepada agama Kristian di kalangan orang-orang yang masih hidup dalam kegelapan".

Antara Orientalist yang begitu mementingkan ajaran Ketimuran ini untuk tujuan pengkristianan ialah Roger Bacon (1214 - 1294 m). Beliau menganggap hanya melalui gerakan pengkristianan ini sahaja Dunia Kristian dapat diperluaskan. Selaras dengan tujuan ini, maka harus dipenuhi syarat berikut:

1. Memahami bahasa-bahasa penting.

2. Mengkaji jenis-jenis kekufuran dan mengenalpasti perbezaan antara satu sama lain.

3. Mengkaji hujjah-hujjah lawan agar dapat ditumpaskan.

Menurut Al Jabiri : "Peranan yang paling serius yang dijalankan oleh Orientalis dalam memerangi Islam secara amalinya ialah dengan membina rentetan pusat pengajian dari tadika hingga ke peringkat Universiti yang mendidik generasi baru umat Islam dari pelbagai lapisan khasnya peringkat yang mempunyai kelayakan kepimpinan yang tinggi dan sederhana.Mereka juga mengeksploitasi profesion kedoktoran, juru rawat serta klinik-klinik dan hospital Missionari. Untuk tujuan tersebut mereka hidup bergaul denagan orang Islam dan Arab di negara jajahan tersebut. Mereka cuba meyakinkan kepada orang Islam akan kebaikan tamadun Eropah yang palsu itu. Mereka mengajak ke arah pergaulan bebas, pendedahan aurat, dekadensi moral atas dakwaan kebebasan diri atau personal, mereka mendakyahkan fahaman keliru seperti Sekularisme, Existensialism dan lain-lain. Orang yang menyahut seruan mereka akan dididik agar menafikan kerasulan Muhammad salallahualaihi wasalam".

Sejarah Orientalism menunjukkan bahawa ia mempunyai hubungan kait yang rapat dengan 'needs and goals' golongan Kolonialism dan juga rencana missionary Kristian. Ianya berlanjutan sehingga ke hari ini dan sekarang ini sedang menjadi sebahagian dari strategi 'geo-political' kebanyakan kerajaan Barat dan perkhidmatan perisikan mereka untuk mengkaji serta menyusun strategi bagi menghadapi Islam.

Meskipun ada golongan Orientalist yang berusaha untuk menonjolkan kajian mereka dan kita tidak menafikan akan sumbangan positif mereka dalam bidang bahasa dan lain-lain namun rata-rata peranan mereka tidak banyak berubah dari zaman dahulu. Antara peranan yang mereka lakukan ialah:

1. Melemahkan Bahasa Arab Fushah untuk digantikan dengan bahasa 'Amiyyah' atau 'Colloquial Language'. Dengan cara ini kesepaduan hubungan antara Arab sesama Arab dan bukan Arab akan semakin sulit. Dalam masa yang sama mereka juga akan melemahkan Bahasa Arab itu sendiri. Dalam tahun 1980 orang-orang Keturunan Barbar di Universiti Morocco menimbulkan tentang perlunya dibina versi Pengajian Bahasa Barbar di Universiti tersebut.

2. Menjalankan kajian mengenai "Firq" Islam atau kumpulan-kumpulan Islam. Dan kajian-kajian tersebut rata-rata tidak objektif dan sebenarnya memendam tujuan-tujuan tertentu iaitu antara lain melebarkan lagi lagi jurang ketidak persefahaman antara umat Islam .Umpama tulisan S.de Sacy (1758 - 1838 ) mengenai Druz dan agama mereka dan lain-lain.

3. Membuat periwayatan palsu secara bertahap. Terdapat orientalis yang meriwayatkan sesuatu berita palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah atau Al-Qur'an. Ia menyatakan bahawa teks yang ditemuinya ini belum ada dalil yang menguatkannya atau tidak diketahui tarikhnya . Kemudian datang pula Orientalis lain yang mengutip periwayatan itu tanpa menyebut tentang status keraguannya. Selepas itu datang pula Orientalis lain yang menyatakan bahawa ianya memang sah dan terbukti Shahih. Demikianlah hal ini dikutip seterusnya oleh penulis -penulis kebelakangan. Mereka terus merumus dan menyimpulkan sesuatu pengertian daripadanya.

4. Memejamkan mata terhadap fakta kebenaran. Adakalanya para ilmuan terkenal dan penulis ternama dalam konteks pengajian yang serius menulis kajian perbandingan mengenai bangsa dan agama sengaja memicingkan mata mengenai pandangan Islam dalam konteks tertentu.Mereka hanya menulis sekadar sekelumit dan itupun aspek yang tidak penting untuk menunjukkan betapa Islam sebagai agama yang tersisih dan tidak perlu disorot. Umpamanya S.K Northobs dalam kajiannya yang bertajuk 'Kajian Mencari Persefahaman Dunia' yang mengandungi 496 halaman hanya menyentuh mengenai Arab dan orang Islam sekitar 12 halaman sahaja. Walhal mereka merupakan kumpulan ketujuh  yang terbesar menjadi penghuni dunia ini. Begitu juga Betrand Rusell dalam bukunya Sejarah Falsafah Arab.

5. Mencari-cari riwayat dhaif dan mungkar. Adakalanya juga para Orientalis yang sengaja mengambil riwayat yang Dhaif yang memang ditolak oleh ulama' Islam. Riwayat Al Waqidi yang ditolak oleh Syafi?e dan Ibnu Khaldun di diterima sebagai benar walhal adalah sebaliknya. Ada Orientalis yang mengatakan bahwa  "Hukum Berubah Mengikut Perubahan Masa" sebagai hadis nabi walhal ia adalah imbasan daripada pendapat Imam Malik radhiALlahu anhu.

6. Menggunakan ukuran kebendaan (isme), inilah di antara kesilapan orientalis kerana mereka sering menggunakan ukuran kebendaan dalam mengukur nilai-nilai ruhaniah Islam. Walhal itu adalah suatu yang amat tidak sesuai.

7.Bersemangat mulhid dan meragui kebenaran Nabi. Segolongan orientalis adalah 'Free Thinker', Atheis dan menentang agama. Mereka menolak sama sekali saranan agama dan idealismenya ,sebab itulah mereka tidak teragak-agak mencemoh agama dan mendustakannya. Ini jelas apabila mereka menyerang Nabi Isa dengan mengatakan beliau gila .Begitu juga bila mereka merendah-rendahkan Nabi Muhammad Salallahualaihi wasalam. Mereka  bukannya  pengkaji yang objektif. Mereka memang sengaja mahu menghina dan memperkecilkan Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam. Voltire umpamanya mengarang drama bertajuk 'fanatik' dalam tahun 1718 untuk menyerang Nabi Muhammad. Beliau menghadiahkan kerjayanya itu kepada Pope Benwa Ke-14. Semangat seperti ini juga mempengaruhi penulis seperti Taha Husin dan lain-lain.

8. Melakukan serangan secara tidak langsung. Kadangkala Orientalis menulis mengenai Muhammad salallahualaihi wasalam dan misinya terbagi di bawah tajuk lain.Namun dalam membicarakan tajuk tertentu mereka sempat memesongkan pembaca secara halus. Agnatius Kratsykoysky, Orientalis Russia menulis dalam bukunya Sejarah Geografi Sastera Arab "Bahawa Al Quran ialah himpunan ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh Muhammad melalui pendengaran. Ia merupakan contoh umum dalam usaha orientalis ini.

9. Mengelirukan pembaca antara makna literal atau hakikat dengan metafora. Bahasa Arab memang mengandungi maksud hakikat dan majaz atau metafora. Ada yang bersifat baku dan ada pula Amiyyah .Orientalis dalam menghuraikan maksud nas Al Quran atau hadith sengaja memutar balikkan perkara ini.

10. Menyemarakkan kemarahan orang-orang bukan Islam. Kadangkala motivasi Orientalis dalam kerja-kerjanya ialah untuk menyemarakkan rasa marah, dendam dan benci orang-orang Kristian dan Yahudi supaya semakin galak menakluki dunia Islam. Daniel Pipes, seorang oreantalis yang banyak menulis dan mengkaji mengenai Islam serta diagung-agungkan oleh sesetengah ilmuan Islam adalah juga orang yang telah menulis satu dokumen mengenai "Muslim Fanatics and US Policy".

Di dalam dokumen ini, Daniel Pipes telah mencadangkan kepada kerajaan Amerika dan sekutunya di benua Arab agar mengambil empat strategi bagi menghadapi golongan fanatik Islam :

1) Mereka jangan sekali-kali memberi sebarang bentuk bantuan kepada golongan fanatik ini, tetapi terus mengadakan hubungan dengan mereka bagi memahami pemikiran serta menilai pengaruh mereka dari semasa ke semasa.

2) Mereka jangan sekali-kali membenarkan golongan ini terlibat dalam kerajaan terutamanya memegang jawatan-jawatan penting yang mana golongan ini akan menggunakan jawatan ini bagi melemahkan pengaruh serta kepentingan Amerika.

3) Di dalam menghadapi golongan fanatik ini, Amerika hendaklah hanya mengadakan hubungan dalam bentuk "Non- Public Contacts" dengan kerajaan negara-negara Arab yang di anggap "Friendly".

4) Amerika jangan sekali-kali membenarkan peminpin-pemimpin negara Arab yang "Friendly" ini untuk menentukan 'kaedah dalam mengatasi masalah mereka.

11. Untuk memenuhi tujuan politik dan missionari Kristian. Kadangkala kekeliruan disengajakan untuk memenuhi tuntutan Orentalisme politik dan missionary. Mereka memaparkan musuh Islam dengan imej yang mulia. Berperi kemanusiaan serta luhur. Sebaliknya orang-orang Islam dan tokoh-tokohnya tidak bersifat demikian. Ini dipaparkan kepada anak-anak orang Islam yang berguru kepada Orientalis tersebut. Jadi bila mereka pulang mereka membawa semangat yang membara untuk memerangi apa yang telah diajarkan oleh guru mereka sebagai kesesatan dan kelemahan Islam. Mereka laksanakan pesanan Oreintalis ini atas nama reformasi dan tajdid.

12. Merujuk Sumber-sumber Kristian. Adakalanya Orientalis menulis sejarah nabi dan tajuk-tajuk yang menyentuh Islam. Tetapi mereka  merujuk sumber-sumber Kristian dan bukan sumber turath yang dikaji oleh Ulama' Islam. Ini menyebabkan pembaca menjadi keliru dan salah faham.

Selain dari peranan di atas Orientalis juga berperanan menjadi mahaguru di pusat-pusat pengajian tinggi Barat yang menawarkan kursus-kursus pengajian ketimuran, Islam dan bahasa Arab. Menurut Al-Jabiri terdapat sekurang-kurang enam puluh 'department' di universiti-universiti barat yang diketuai oleh mahaguru-mahaguru Yahudi. Mereka juga menjadi 'think-tank' kepada politikus barat dalam melakarkan polisi ekonomi, politik dan budaya terhadap negara-negara Islam dan negara-negara Dunia Ketiga.

Peranan diatas sebenarnya didorong oleh motivasi-motivasi tertentu dan latar belakang budaya yang melatari kehidupan orientalis berkenaan. Motivasi kenapa mereka melakukan kerja-kerja tersebut perlu didedahkan untuk meningkatkan kewaspadaan umat terhadap tipudaya mereka.


MOTIVASI DAN SEBAB PENYIMPANGAN ORIENTALIS

1) Golongan Orientalis menyeleweng kerana pengaruh agama Kristian semasa kecil dan cerita-cerita karut yang dinyatakan oleh Paderi-paderi kerana hendak menonjolkan agama Kristian dan menjatuhkan Islam dan Rasulnya.

2) Ketiadaan keperihatinan atau kepekaan terhadap ajaran Islam yang sebenarnya. Ini kerana mereka rata-rata hidup di luar lingkungan Islam, hal mana menyebabkan mereka tidak mempunyai tanggapan yang betul terhadap Al Quran dan Hadis.

3) Tidak ada keikhlasan dan kemurnian niat dalam mengkaji aspek Ketimuran. Di samping itu mereka kurang mengkaji Metodologi dan displin ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Mustalah Al Hadis, ilmu Al Rijal, Ilmu Usul Al Fiqh, juga ilmu Mantiq, sehingga  menyebabkan mereka terpesong.

4) Adakalanya disebabkan oleh keinginan mereka mengambil masyarakat yang bukan Islam sebagai model dengan memburuk-burukan Islam di samping ingin melariskan jualan buku hasil tulisan mereka dalam masyarakat bukan Islam.

5) Usaha memburukkan Islam, mencaci rasulnya juga dilakukan atas dorongan untuk melemahkan pegangan umat Islam kepadanya kerana andaian bahawa Islam menjadi penghalang kemaraan Imprealisme budaya dan ketenteraan Eropah seperti yang diungkapakan oleh Gladstone, Lawrence Brown, Kalhan Simon dan lain-lain.

6) Mereka memburukkan Islam dengan menuduh Islam dikembangkan dengan mata pedang untuk mencemarkan kemurnian motif penyebaran Islam.Dengan demikian mereka menghalang kepesatan berkembangnya mesej dakwah Islam.

7) Mereka sengaja melakukan Provokasi kepada penulis -penulis Muslim agar mereka melatah dan menampilkan jawapan sebaliknya sehingga melupakan peranan murni Islam sebagai Aqidah yang dinamik sekaligus sebagi gerakan menyeluruh untuk membebaskan manusia dari kongkongan sistem atau rejim yang menyekat penyebaran Islam.

8) Dalam menulis sesuatu, mereka cuba menimbulkan kejijikan pembaca kepada budaya hidup orang Islam masa kini dan masa lampau. Umpamanya dalam penulisan sejarah dan perjalanan, mereka menggambarkan corak hidup umat Islam sebagai ketinggalan zaman, adat dan tradisi mereka begitu mundur. Acapkali pula mereka menggambarkan tokoh-tokoh Islam, Rasulullah salallahualaihi wasalam terutamanya secara dusta untuk memperkecil kehebatan dan kewibawaannya dan Islam itu sendiri.

9) Kadangkala Orientalis menulis untuk memecah-belahkan umat melalui penampilan aliran-aliran  pemikiran Barat yang bersimpang siur atau mereka menangani konsep-konsep Islam yang dahulunya dapat menyatupadukan umat Islam agar tidak lagi berfungsi.Mereka tahu bahawa umat yang berpecah belah dari segi pemikiran bukan sahaja tidak mungkin dapat bersatu padu dari sudut politik dan Ekonomi bahkan juga dari sudut ketenteraan. Inilah faktor yang memudahkan penjajah menguasai dunia Islam pada masa dahulu.


Menurut Ahmad Ghorab, seorang penulis yang mengkaji peranan Orientalis bagi menghancurkan Islam, 'Distortation' yang dilakukan oleh golongan Orientalis mempunyai dua objektif yang khusus;
A) Untuk menimbulkan kebencian terhadap Islam di dalam minda dan pemikiran golongan bukan Islam.
B) Untuk melemahkan umat Islam dengan menimbulkan keraguan mengenai aqidah ,tradisi kenabian serta sejarah Islam yang mengakibatkan umat Islam menolak kesyumulan Islam.

Umat Islam kini harus sedar akan peranan yang dimainkan oleh agensi -agensi berita antarabangsa dalam usaha "propaganda" mereka untuk  memesongkan ajaran Islam yang sebenar. Agensi-agensi berita anrabangsa yang terbesar seperti Asosiated Press (AP), Reuters dan United Press International (UPI) menggunakan teknik "disinformation" untuk menyalurkan berita kepada masyarakat umum. Agensi-agensi berita ini di samping mencerminkan kepentingan negara Zionis Israel, juga turut manjadi platform golongan orientalis bagi menyebarkan berita yang boleh meragukan serta menanam sifat kebencian kepada ajaran Islam kepada umum.

Golongan Orientalis ini juga turut memperkenalkan istilah-istilah yang menggerunkan pembaca terhadap Islam seperti "Islamic Terrorist" dan "Islamic Bomb", yang mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan  fundamentalisme Islam, Fanatik Islam dan Extremis Islam. Kategori yang diberikan ini meletakkan seolah-olah kelompok Islam ini sebagai golongan yang merbahaya kepada masa depan toleransi peradaban antara Barat dan Islam .

Pandangan ini lebih jelas ialah apabila kita meneliti 'teori  Pertembungan Tamadun'   yang dikemukakan oleh profesor dari Harvard, Samuel Huntington yang menggambarkan abad yang ke-21 akan menyaksikan peperangan di antara Islam dengan Barat i.e. Kristian. Islam diletakkan di 'kandang  orang salah' dan secara tidak langsung teori Huntington ini mahu meniupkan kembali semangat Salibiah yang berusaha untuk menghapuskan Islam dari muka bumi ini lebih 900 tahun yang lalu. Ia seolah-olah mahu menggerakkan kembali dunia barat (Kristian) agar bersiap untuk menghadapi ancaman Islam yang dipelopori oleh kelompok  'Fundamantalis dan Ekstrimis' ini.

Yang nyata teori Hungtinton ini mempunyai kaitan rapat dengan polisi luar kerajaan Amerika syarikat bagi mengekalkan hegemoni politiknya sebagai kuasa utama dunia. Polisi 'The New American Order' dengan agenda 'penjajahan ekonomi' sebagai teras terpenting terutamanya di negara umat Islam akan berterusan."Puppet Leadership" yang diwujudkan di kebanyakan negara umat Islam yang kaya dan berkedudukan strategik jelas membuktikan polisi ini adalah untuk kepentingan ekonomi dan politik Amerika Syarikat serta sekutu terapatnya Israel.

Tidak diragukan lagi bahawa kesan penjajahan mental dan budaya lebih sukar untuk dirawat, berbanding penjajahn meliter. Kesan dari kerja-kerja orientalis dan Kristianisasi memang terlalu banyak. Antaranya ialah menambahkan keadaan jenayah dan salah laku sosial. Akibat dari dasar Liberalisme, pengenyahan Syariat Islam, dasar langit terbuka, faham materialism yang bercambah mengakar dengan teguhnya dalam tiap lapangan hidup, penyakit masyarakat semakin merebak dan menular. Kes bunuh, rogol, curi, rompak dan buang anak kian meningkat. Amalan bohsia, lepak dan berbagai macam bentuk salah laku belum berjaya ditangani oleh kebijaksanaan pentadbiran pihak yang bertanggungjawab. Gejala-gejala tersebut bagaikan sumpah laknat Ilahi kepada golongan yang ingkar terhadap suruhanNya iaitu golongan yang sering patuh menurut telunjuk dan saranan Nasrani dan Yahudi.

Kesan gerakan Orientalis, Zionis, Kristianisasi berlaku dalam berbagai badan dan organisasi, di dalam dan luar negeri. Di peringkat antara bangsa - umpamanya - ada agensi-agensi sosial di bawah pertubuhan tertentu yang menyarankan perubahan menyeluruh termasuk dalam nilai-nilai dan konsep kekeluargaan, akhlak, sosial dan lain-lain kepada kerajaan, badan-badan berkanun dan NGO di negara-negara Islam.


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGHADAPI PERANCANGAN OREANTALIS

Umat Islam bukan perlu sekadar mengetahui ancaman ini tetapi juga perlu menyebarkannya di kalangan umat Islam akan bahaya dan ancaman yang dimainkan oleh golongan orientalis. Langkah kedua adalah perlunya di kalangan Ulama dan cerdik-pandai Islam berbincang dan menyusun strategi bagi menyebarkan penyelewengan orieantalis ini serta  berusaha untuk meningkatkan penyebaran Islam terutama di dalam perspektif sejarah Islam dan tamadunnya. Institusi-institusi penyelidikan yang khusus menyelidik gerak-geri dan taktik golongan Orieantalis juga harus diwujudkan segera bagi menghalang penyebaran sebarang maklumat mengenai Islam di kalangan golongan orieantalis.

Langkah ketiga pula ialah, bagi umat Islam membongkar konspirasi golongan oreantalis ini yang berselindung di bawah 'Islamic Research Centre' yang juga memperalatkan golongan cendikiawan Islam samada secara sedar atau sebaliknya. Pusat-pusat penyelidikan ini mempunyai pembiayaan kewangan yang banyak dari sumber-sumber yang memusuhi Islam dan mereka menggunakan cendikiawan Islam sebagai 'Fellow' atau rakan penyelidik mereka untuk megkaji Islam dengan lebih mendalam.

Akhirnya sama-samalah kita merenung Firman Allah Taala ini ;

"Ramai dari kalangan Ahlli Kitab yang mahu menjadikan kamu kufur selepas kamu beriman, kerana perasaan dengki mereka terhadap kamu dan selepas kebenaran itu telah diperjelaskan kepada mereka."
( Baqarah : 109, al Quran)

"Dan golongan Yahudi serta ahli kitab tidak akan merasa senang selama-lamanya dengan kamu selagi kamu tidak mengikut agama mereka. Katakanlah pertunjuk itu dari Allah dan dariNyalah pertunjuk yang benar. dan jika kamu mengikut kehendak mereka ini selepas diberikan pertunjuk dari kamu, ingatlah sesungguhnya Allah tidak akan menjadi penolong kamu serta pelindung." ( Baqarah : 120, al Quran).

- MANHAL PMRAM - Qutuz'slegacy
Read More..

Jaga Aurat Anda Sebagai Wanita

0 comments


Sabda Rasulullah s.a.w. "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (Riwayat Muslim)

Sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 59: "Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin (yang benar-benar beriman), hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka keseluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih dikenali, kerana mereka tidak diganggu, dan Allah maha pengampun lagi maha Penyayang"
Read More..

Saintis Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun

8 comments

Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Sumber
Read More..

Akhlak Mulia Jambatan Ke Syurga

0 comments

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk syurga? Baginda menjawab, “takwa kepada Allah dan akhlak mulia”. Beliau juga ditanya tentang sebab paling banyak yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka baginda menjawab, “mulut dan kemaluan” (HR. Tirmidzi)

Rasulullah saw bersabda, “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya". (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasai)

Rasulullah saw bersabda, “Yang paling memberatkan mizan(timbangan) pada hari kiamat ialah akhlak yang baik.” (HR. Ahmad)

Sabda Rasulullah, "Aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya" [HR Abu Dawud]
Read More..

Nafsu Umpama Keldai, Usah Biarkan Diri Dikuasai Nafsu

0 comments

Menurut al-Ghazali : Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa. Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang juga boleh membelenggunya sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan peranannya. Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang akan mendatangkan kecelakaan , ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan sekali-kali diberi muka dan dilayani keinginannya.

Ulamak sufi menganjurkan tiga langkah untuk melemahkan hawa nafsu:

Pertama, setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan. Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung atau ditambat, ia menjadi jinak juga akhirnya.

Kedua, hendaklah diberikan suatu tekanan atau deraan yang berat ke atasnya. Umpama kaldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya, nescaya ia menjadi lemah dan akan menurut perintah, apa lagi kalau dikurangkan rumput untuknya.

Ketiga, hendaklah sering berdoa, memohon perlindungan daripada Allah Taala agar terselamat daripada angkara nafsu jahat (nafsu ammaratun bil-su`).

Langkah ini penting, kerana hanya dengan mendapat rahmat Allah Taala, hamba-Nya akan bebas daripada pengaruh atau runtunan nafsu.

Dalam al-Quran, Allah mengisahkan, bahawa nabi Allah Yusuf alaihissalam bersabda, mafhumnya : Sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan kecuali orang yang dirahmati oleh Tuhanku. (Yusof:53)

Berpuasa juga antara cara untuk mengawal nafsu.
Read More..

Jangan Pesongkan Iman Kami Sesudah Kami Menerima HidayahMu

1 comments

Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.
Read More..

Hari Jumaat Dan Surah Al-Kahfi

2 comments
 
1.Membaca surah Al-Kahfi Setiap Hari Jumaat

Hazrat Abu Darda (RA) menyatakan bhw Rasulullah SAW bersabda:

"Jika sesiapa belajar dengan MATA HATI dalam 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi, dia akan dilindungi dari Dajjal" (HR Muslim)
...
2. Membaca surah Al-Kahfi Pada Siangnya

Dari Ibnu Umar r.a katanya bhw Rasulullah SAW bersabda:

“Rasulullah SAW bersabda: (bermaksud) “Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka terbitlah cahaya dari bawah kakinya mencecah hingga ke langit tinggi meneranginya pada hari kiamat dan dia akan diberi keampunan (terhadap dosanya) di antara dua Jumaat” (HR. Ibnu Katsir)

3. Membaca surah Al-Kahfi Pada Malamnya

Dari Abu Said Al-Khudri menyatakan; bhw Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dia akan mendapat cahayanya di antara tempatnya dengan Kaabah” (HR. Ad Darimi)

4. Membaca surah Al-Kahfi Pada Malamnya

Sabda Rasulullah:
"Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka dia diberi cahaya yang menerangi antara dua Jumaat" (HR. al-Baihaqi & al-Hakim)
Read More..

Filem Pendek Tarbiyah Ruhiyyah - Kolokium Ilmuan PMRAM

0 comments
Read More..

Syeikh Ali Sobuni Bersama Kebangkitan Rakyat Syria

0 comments
Read More..

Muhasabah Seketika

0 comments

Bahawasanya orang-orang yang mempunyai hati yang bersih suci dan pemikiran yang lurus sihat meyakini bahawa mereka sekalian akan diberi balasan terhadap amal yang mereka kerjakan dan mereka akan menuai hasil tanaman yang mereka bercucuk-tanam.

Jika perbuatan baik yang mereka lakukan, maka balasan baiklah yang akan mereka terima. Jika amal bakti yang mereka kemukakan, maka pahalalah yang akan mereka perolehi. Demikian pula sebaliknya, jika perbuatan jahat yang mereka kemukakan, maka balasan siksalah yang akan mereka tempuhi kelak.

Bagi orang-orang yang melangkah dan menjalani jalan menuju Allah, alangkah bahagianya hidup mereka. Di dunia lagi mereka telah pun merasai hembusan bayu syurga. Firman Allah swt: "Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah sedia ada)." (Al Fath : 4)

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: 'Tuhan kami ialah Allah', kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): 'Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.'" (Fushshilat : 30)

Dalam sebuah hadith, Rasulullah saw bersabda:

"Apabila Allah kasih kepada seorang hamba, maka Ia memanggil Jibrael dan memberitahu kepadanya: 'Allah telah kasih kepada fulan, maka kasihlah engkau kepadanya.' Kemudian diumumkan kepada sekalian ahli langit: 'Sesungguhnya Allah kasih kepada fulan maka kasihlah kamu sekalian kepadanya', dan setelah dikasihi penghuni langit, diberinya kejayaan pada orang bumi." (Bukhari, Muslim)

Alangkah indahnya saat tatkala Allah swt berfirman kepada kita: "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu." (Al Fajr : 27-30)

Itulah pembalasan ni'mat yang dikurniakan Allah kepada orang-orang yang teguh pendirian di dalam perjalanan menujuNya. Bagi orang-orang yang enggan memilih jalan itu sebaliknya mengambil jalan menuju kehancuran, kelak mereka akan menyesal. Allah menggambarkan keadaan mereka di saat itu dengan firmanNya:

"Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.'" (As Sajdah : 12)

Betapa ruginya mereka disebabkan hanya menyesal ketika tidak ada gunanya penyesalan. Merugilah hidup mereka di hari yang tidak berguna taubat mereka. Azab yang paling ringan yang ditimpakan kepada mereka, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw ialah:

"Seringan-ringan siksa ahli neraka pada hari kiamat ialah orang yang diletakkan di bawah tumitnya bara api yang akan mendidihkan otaknya. Sedang ia merasa tiada seorang pun yang lebih siksa daripadanya, padahal itu adalah siksa yang paling ringan." (Bukhari, Muslim)

Lantaran itu marilah kita sama-sama membukakan hati dan pendengaran kita untuk mendengar seruan kepada Allah. Moga-moga kita sedar dari kelalaian dan terjaga dari tidur, lalu segera untuk beramal bakti agar terselamat dari bencana-bencana di hari kemudian. Firman Allah swt:

"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah dia." (Ali Imran : 185)

Moga ada manfaat
Read More..

Jangan Ambil Mudah, Fatwa Merokok Adalah Haram

0 comments

PUTRAJAYA: Masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai fatwa Merokok Adalah Haram, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha.

Justeru itu katanya, Jakim dan Kementerian Kesihatan hari ini bekerjasama mengadakan Seminar Pendidikan Fatwa Merokok Adalah Haram sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, Othman berkata jumlah penghisap rokok terus meningkat.

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun ini lebih lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok antaranya serangan jantung, strok dan kanser.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Keterangan/Hujah:

1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.

ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.

iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.

v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”

e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:

i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.

Antaranya seperti berikut:

a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.

b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.

c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.

2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.

3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”

Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

Sumber :  Harian Metro
Read More..

Hidupkan Hari Jumaat Anda Dengan Kebaikan

0 comments

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan an-Nawawi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi.)
Read More..

Indahnya Solat Berjemaah

0 comments

Firman Allah s.w.t : “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang yang diharapkan termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.(Surah at-Taubah :18)

Solat berjemaah merupakan salah satu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Dari segi bahasa membawa maksud solat secara berkumpulan. Dalam fiqh, solat itu dikira berjemaah walaupun hanya dua orang sahaja yang menunaikan solat tersebut. Maka perlulah kita hidupkannya di dalam kehidupan seharian kita selaku seorang insan yang bergelar muslim.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam memberi hukum tentang solat berjemaah ini. Ada yang mengatakan wajib,ada yang mengatakan sunat,ada yang mengatakan ianya adalah sunat muakkad(yang dituntut). Perselisihan ini membuktikan betapa pentingnya solat berjemaah itu kepada kita kerana ganjaran bagi yang menunaikan solat secara berjemaah sangat berbeza dengan solat bersendirian. Sabda Nabi Muhammad s.a.w daripada Ibnu Umar r.a : “Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda” Riwayat Bukhari dan Muslim. Hadis ini ada juga perbahasan ulama yang mengatakan dengan dua puluh lima kali ganda pahala maka membuktikan betapa besarnya ganjaran yang Allah taala berikan kepada sesiapa yang menunaikan solat secara berjemaah.

Selain itu, solat berjemaah ini mempunyai banyak faedah kelebihan kepada kita lebih-lebih lagi sebagai mahasiswa. Perlu kita pupuk dari awal supaya budaya solat berjemaah menjadi darah daging kita yang sangat sukar untuk kita tinggalkan. Antara kelebihan-kelebihan kita dapat jika menunaikan solat secara berjemaah ialah:

1)Saling kenal mengenali antara satu sama lain. Apabila kita pergi ke masjid kita akan berjumpa ramai sahabat-sahabat kita yang sudah lama kita kenal, baru kenal ataupun tidak kenal langsung. Maka masjid adalah ‘Rumah’ yang pintunya tidak pernah ditutup pintunya untuk menerima tetamu tidak seperti rumah kita. Jika kita tidak mengenali seseorang itu mustahil kita akan menjemputnya masuk ke dalam rumah kita dengan selamba.

2)Saling tampung menampung pahala khusyuk antara satu sama lain. 
Jika kita menunaikan solat berjemaah, tidak semua yang mendapat khusyuk dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Ada yang khusyuknya pada doa iftitah, ada yang khusyuknya pada rukuk, ada yang khusuknya pada sujud dan yang tidak khusyuk langsung.jadi ada pelbagai tempat  dan keadaan seseorang itu akan merasai khusyuk dalam solat dan secara automatik pahala khusyuk akan dapat. Maka dengan solat berjemaah ini akan saling tampung menampung pahala khusyuk dalam solat. Jika solat bersendirian kita memang tidak boleh kelebihan seperti ini.

3)Hadith Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan daripada Anas r.a : “Sesiapa yang solat selama empat puluh hari dalam jemaah yang tidak luput dari takbiratul ihram, maka Allah menuliskan(mewajibkan) baginya kelepasan : kelepasan dari munafiq dan kelepasan dari neraka”.

4)Allah taala akan memberi cahaya dalam kegelapan hari akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w : “Bergembiralah orang yang berjalan dalam gelap untuk ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”.Para ulama’ memberi maksud pada ‘ solat yang gelap’ialah solat subuh dan asar.

5)Dijanjikan oleh Allah taala dengan ganjaran syurga. Siapa yang tidak mahu masuk syurga. Hanya orang yang otaknya terputus wayar sahaja tidak mahu masuk syurga. Ini adalah janji Allah maka perlulah kita merebutnya kerana peluang tidak datang berkali-kali. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Abi Musa r.a : ”Sesiapa yang melakukan dua solat yang sejuk secara berjemaah akan memasuki syurga”. Dua solat yang sejuk ialah solat subuh dan asar.

Ini adalah sedikit daripada kelebihan yang Allah taala ganjarkan jika kita melakukan solat secara berjemaah. Kalau nak dihimpunkan memang terlalu banyak kelebihan tentang solat berjemaah ini. Namun begitu, jangan kita lupa yang Rasulullah s.a.w pernah memberi ancaman kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak menunaikan solat secara berjemaah maka kita jadikan ancaman itu sebagai motivasi untuk berusaha sebanyak mungkin untuk menunaikan solat secara berjemaah.
Di dalam fatrah imtihan ini mari kita panjatkan munajat kita kepada Allah disamping usaha kita mengulangkaji pelajaran. Allah taala sangat suka kepada sesiapa yang selalu meminta-minta kepadaNya. Tidak seperti kita kalau sahabat kita meminta apa-apa daripada kita setiap masa sudah tentu bukan sahaja maki hamun yang kita berikan tetapi periuk dan kuali juga akan sampai ke muka sahabat kita. Bila kita mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang dan tenteram kerana lidah kita basah dengan zikrullah akan melahirkan rasa rendah diri, hilang ego kita dan pengharapan kita kepada Allah itu akan semakin tinggi.

Semoga kita memanfaatkan nikmat yang Allah taala berikan dengan melakukan amal-amal soleh supaya kita boleh mendapat cinta Allah kerana cinta Allah tiada tandingan dari cinta-cinta yang lain.

“Jangan kita lupakan Allah takut-takut Allah akan lupa pada kita”



Muhammad Bukhari bin Yahaya

Pengarah Unit Biah Solehah PMRAM 2011
Read More..

Kelebihan Menghidupkan Jumaat

0 comments
Kita selalu mencari kesenangan duniawi namun kesenangan akhirat kita kurang memberi perhatian.Mudah mudahan kita dapat melakukan sedikit sebanyak amalan yang sunat dengan ikhlas kerana Allah untuk menambah pahala ganjaran dari Allah taala..Mari kita manfaatkan Jumaat yang Allah kurniakan kepada kita takut-takut ianya adalah Jumaat yang terakhir buat kita..Sama-sama kita amalkan..
Read More..

Kerana Dirimu Begitu Berharga

1 comments

Lebih 1400 tahun yang lalu, sebuah cara hidup bernama Al-Islam telah lahir lantas menobatkan manusia di tempat sewajarnya, tidak lagi dibelenggu Jahiliah, tidak lagi diseret ke makam terendah. Agama Islam telah meninggikan semula martabat golongan wanita, dan pernyataan ini bukanlah hakikat yang mampu ternafikan.

Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka.

Justeru, wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman Jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.

Bahkan lagi, sebagai salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda SAWN suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.

Rasulullah SAW bersabda,

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lagi sabda Rasulullah SAW,

“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)

Lebih istimewa, apabila wanita solehah itu sendiri dianggap lebih baik daripada bidadari syurga. Kenalkah anda siapa bidadari syurga?

“Dan di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka ( penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.”- QS. Ar-Rahman : 56

“ Seakan-akan bidadari itu permata yaqut dan marjan” – QS. Ar-Rahman : 58

“ Sesungguhnya Kami menciptakan mereka ( bidadari-bidadari ) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya”- QS. Al-Waqiah : 35-37

Sabda Rasulullah SAW:

(...Seandainya salah seorang wanita penduduk syurga menengok penduduk bumi, nescaya dia akan menyinari keduanya ( penduduk syurga dan penduduk bumi ) dan akan memenihinya dengan bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya ) ( HR. Bukhari dari Anas bin Malik RA )

Jadi, percayakah anda, bahawa insan lemah bernama wanita, seandainya dialah wanita solehah, maka dia lebih unggul daripada bidadari syurga.

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang): ( Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari? Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”

Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)

Demikianlah tingginya darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Maka, amat malang sekali seandainya wanita itu meletakkan dirinya kembali ke kancah Jahiliah, merendahkan martabat diri sendiri dengan meninggalkan saranan-saranan agama, sedangkan kelebihan mentaati agama itu jauh lebih istimewa daripada ketaatannya itu.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

Baginda S.A.W bersabda lagi:

“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Demikianlah, wahai wanita, kerana apa? Kerana dirimu begitu berharga!

Oleh :
Zakiatun Nazneen
Mahasiswi Universiti Al-Azhar Cawangan Iskandariah
Read More..

Media Elektronik Medium Dakwah Interaktif

0 comments

Memang tidak dinafikan bahawa di zaman yang canggih ini perbagai jenis media telah dihasilkan. Manusia sekarang tidak hairan dengan kecanggihan yang wujud sekarang. Media cetak dan media elektronik memang telah mempengaruhi kehidupan manusia di dunia ini. Media-media inilah yang berperanan untuk menyebarluaskan maklumat terkini.

Penciptaan media cetak dianggap suatu fenomena hidup bagi manusia pada kurun ke-19 dan ke-20 dan kepentingannya sering disamakan dengan senjata yang boleh digunakan untuk keamanan ataupun kemusnahan.

Bahkan Napeoleon Bonaparte dalam abad ke 17 pernah menyatakan bahawa jika meriam memusnahkan sistem feudal, dakwat pula akan memusnahkan organisasi sosial medan.

Media elektronik merujuk kepada alat sebaran yang menggunakan teknologi elektronik atau elektromekanik untuk dicapai pengguna seperti radio, televisyen, konsol permainan, komputer, telefon dan lain-lain. Media elektronik berlawanan dengan media cetak.

Kesempatan ini, pihak Unit Biah Solehah PMRAM sesi 2011 ini mengajak semua mahasiswa/wi Malaysia yang berada di bumi Anbiya’ untuk memanfaatkan media elektronik iaitu salah satu objektif atau pembawakan UBS PMRAM pada kali ini. Supaya suasana Islamik masih boleh diteruskan walaupun dengan penggunaan media elektronik sahaja.

Mungkin pada peringkat awal, kita melihat kemudharatan penggunaan media elektronik itu lebih banyak daripada kebaikannya. Dan sebaliknya, penggunaan media elektronik banyak faedahnya seperti cepat untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Selain itu, ia boleh digunakan sebagai medium dakwah yang lebih interaktif.

Pada masa kini, facebook dan blog merupakan pendekatan terkini untuk menyampaikan dakwah Islamiyah kepada masyarakat. Sebahagian masyarakat lebih senang dengan pendekatan seperti ini kerana tidak perlu bersua muka dan menjimat masa. Sekiranya ada persoalan, terus rujuk individu yang pakar tentang agama seperti AF Ustaz Azhar Idrus dan sebagainya.

Selain daripada itu, ia boleh menghubungkan dua belah pihak yang jauh dan sebagai contoh seorang anak yang melanjutkan pengajian di Bumi Mesir berhubung ahli keluarga di Malaysia. Dengan ada alat perhubungan seperti telefon, internet dan sebagainya, maka jalinan hubungan tersebut masih boleh diteruskan walaupun jauh di perantauan.

Secara kesimpulannya, memang benar kesemua jenis media ini berperanan untuk menyebarluaskan maklumat, untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan kita serta membantu dalam tugas dan kegiatan sehari-hari.

Dengan menggunakan alat media kita akan mengetahui apa sahaja maklumat-maklumat yang tidak kita ketahui sebelumnya. Di samping itu juga media berpengaruh kuat dalam menggugat keimanan seseorang jika disalahgunakan media tersebut. Firman Allah Taala dalam surah Al-Imran: 104 yang bermaksud:

“Hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekaitulahorang-orang yang beruntung.”

Oleh yang demikian, masyarakat memahami betapa kuatnya peranan media untuk mencorakkan tingkahlaku dan sikap manusia terhadap kehidupan. Kepercayaan yang wujud pada diri manusia datang dari apa yang disimpan dalam minda mereka.

Dalam dunia sejagat sekarang, kuasa besar seperti Amerika tidak menjajah secara fizikal tetapi cukup dengan menggunakan alat-alat media mereka seperti media cetak, visual, audio, filem dan internet untuk menjajah kepada minda negara-negara yang disasarkan.

Demikian juga halnya maklumat yang diisi dan dimuatkan dalam komputer dan alat-alat perhubungan tidak semuanya betul dan berfaedah yang memerlukan kepada penggunanya berhati-hati dan meneliti maklumat berkenaan. Oleh itu Allah SWT awal-awal lagi memberikan peringatan sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Hujuraat:6 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasakh membawa sesuatu berita, maka selidikilahuntuk menentukan kebenarannya supaya kamutidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"




Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger