Solat Jamaah Perisai Mahasiswa/wi

2 comments


Umat islam yang beriman akan membenarkan apa yang dibawa datang oleh Junjungan Rasulullah SAW. Dengan ertikata lain melaksanakan segala yang difardhukan dan memperbanyakkan amalan sunnah.Firman Allah Taala:
((وما خلقت الجن والإنس الا ليعبدون))
Maksudnya: Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengerjakan ibadah.

Sebagai tanda syukur kehadrat Ilahi, umat islam difardhukan dengan ibadah  khusus (solat) sebagai bukti kesyukuran dan kehambaan kepada Allah Taala. Hadaf atau tujuan utama penciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT selain untuk menegakkan kalimah Allah di atas permukaan bumi. Amalan atau ibadah yang didirikan dapat menjadi bekalan untuk kehidupan yang sebenar-benarnya iaitu di akhirat kelak. Firman Allah Taala:
((وتزودوا فإن خير الزاد التقوى))
Maksudnya: Berbekallah kamu ! Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa.

Solat yang menjadi ibadat khusus bagi sekalian umat islam yang berbentuk tuntutan (iktidha’) sebagai medium utama bagi menjana ketakwaan yang diimpikan. Berkiblatkan satu arah menghadap Baitullah yang suci yang merupakan kiblat kedua umat islam menunjukkan kesatuan umat islam, Islam sesekali tidak menginginkan  umatnya berada dalam keadaan berpecah belah, oleh itu solat berjemaah adalah satu cara untuk menyatu-padukan umat islam supaya sentiasa berada dalam keadaan berjemaah. Jika ditelitikan,kedudukan semasa solat berjamaah yang menepati waqie berorganisasi dapat dilihat dengan penyusunan seorang imam dan makmum-makmum. Imam solat jamaah tidak boleh berbilang-bilang serta perlu diikuti dan tidak boleh mendahuluinya sepanjang solat didirikan selagi mana solat Imam tidak perlu di mufaraqah disebabkan berlaku hadas dan sebagainya. Keadaan ini mengajar kita cara taat dan patuh kepada pimpinan selagi mana pembawakannya berlandaskan Syariat Islam.  

.حي على الصلاة, حي على الفلاح
Marilah beribadah, marilah menuju kejayaan.

Kalimah atau lafaz ini seringkali dilaungkan oleh muazzin,terlalu pendek dan ringkas tapi merangkumi maksud yang begitu mendalam. Malangnya, manusia selalu lalai dengan urusan dunia masing-masing bahkan mengabaikan seruan untuk menghadap Ilahi tersebut. Muslim sejati dan bertaqwa sepatutnya mengambil iktibar dan intipati daripada lafaz nida’ (azan) tersebut bahawa dengan menunaikan solat berjemaah akan mendapat jaminan kejayaan dari yang Esa. Lafaz(alfalah) boleh diklasifikasikan sebagai kejayaan dunia dan kemenangan di akhirat dengan syarat  menunaikan kewajipan dengan sempurna (ikhlas) dan tidak meremeh-remehkan atau memudah-mudahkannya.


Sunnah Rasulullah S.A.W yang sering didirikan oleh baginda adalah solat berjemaah walaupun baginda dalam keuzuran dengan dibantu para sahabat. Umat Rasulullah SAW dijanjikan ganjaran yang lumayan dan berlipat kali ganda atas amalan yang dikerjakan walaupun amalan tersebut sekadar sebesar zarah. Bercakap mengenai ganjaran pahala solat jamaah disisi Allah Taala, sebagaimana sedia maklum, solat berjamaah pahalanya 27 darjat berbanding solat bersendirian dengan 1 darjat. Ini membuktikan bahawa kelebihan yang dikurniakan kepada umat Islam.  

Sabda Rasulullah S.A.W:
 “Bahawasanya seorang muslim apabila berwudhu’ dengan baik, kemudian pergi ke masjid, tidak ada tujuan lain kecuali solat, tidak melangkah kecuali diangkat baginya satu darjat, dan dihapuskan satu kesalahan, jika ia solat, malaikat sentiasa berselawat padanya selama berada di tempat solatnya, selama wudhu’nya tidak batal: ”Ya Allah, ampunilah ia, Ya Allah, kasihanilah ia, dan ia sentiasa dalam solat selama ia menuggu solat”. (Muttafaqun alaih)
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian." (Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242. Dan perlulah diingati solat itu adalah talian hayat manusia dengan Allah SWT dan solat jemaah adalah penyinambungannya. Sabda Rasulullah SAW:
"الصلاة عماد الدين ومن أقامها فقد أقام الدين ومن تركها فقد هدم الدين"

Apa yang boleh disimpulkan disini, mahasiswa islam perlu cakna mengenai solat berjemaah dan tidak menganggapnya sebagai satu perkara yang remeh-temeh dek kerana tidak mengetahui pro dan contranya. Mahasiswa islam khususnya menjadi harapan masyarakat sekeliling dan menjadi harapan kepada Islam itu sendiri sebagai agen perubah kepada masyarakat untuk memahami tuntutan Agama. Masyarakat Malaysia khususnya menilik tepat kepada golongan ini selaku role model atau qudwah daripada segenap sudut.Ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang masyhur: golongan ulama’ atau penuntut ilmu itu adalah pewaris para Nabi. Firman Allah SWT:
((إنما يخشى الله من عباده العلماء))
Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah Taala adalah golongan ulama’

Read More..

Perang Bani Quraizhah

0 comments


Kedatangan bulan Zulkaedah mengingatkan kita semua kepada beberapa peristiwa besar dan bersejarah yang telah berlangsung pada bulan ini antaranya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy dan juga Peperangan Bani Quraizah yang berlaku sebaik sahaja selesai Peperangan Ahzab tahun 5 Hijrah di mana peristiwa ini banyak meninggalkan pengajaran kepada umat Islam. Bermulanya gerakan untuk memerangi yahudi Bani Quraizah berlaku apabila Rasulullah s.a.w yang sedang membersihkan dirinya selepas pulang dari Peperangan Ahzab di mana tiba-tiba datangnya malaikat Jibril dan berkata : “ Adakah kamu telah meletakkan senjata? Sedangkan para malaikat belum meletakkan senjata mereka. Oleh itu bangkitlah dengan mereka yang bersamamu untuk menyerang Bani Quraizah. Aku akan pergi dahulu untuk mencampakkan rasa takut ke dalam hati musuh”.  Selesai sahaja memberitahu Rasulullah s.a.w lalu Jibril mengetuai rombongan malaikat menuju ke perkampungan Bani Quraizah.

        Selepas itu Rasulullah S.A.W pula bersama dengan 3 ribu orang tentera menuju ke tempat tersebut di mana  yahudi Bani Quraizah tidak menentang lalu tentera Islam mengepung musuh itu selama 25 malam. Walau pun yahudi Bani Quraizah boleh bertahan beberapa lama lagi di dalam kota mereka disebabkan bekalan makanan dan air yang banyak disamping di kelilingi oleh kota yang kukuh sedangkan tentera Islam masih keletihan kerana baru pulang daripada Peperangan Ahzab ditambah pula dengan musim sejuk dan kekurangan makanan. Namun tentera Islam mempunyai semangat jihad yang tinggi sedangkan yahudi berada dalam ketakutan dan lemah semangat. Ketakutan yahudi bertambah kuat apabila Sayyidina Ali dan Zubair bin al-Awwam mula mara di mana Sayyidina Ali bertempik menyatakan : “ Wahai tentera Iman! Aku merasa seperti yang telah dirasai oleh Sayyidina Hamzah iaitu gugur syahid atau aku berjaya membuka kota yahudi ini”.

         Akhirnya yahudi Bani Quraizah membuat keputusan untuk menyerah diri. Setelah berlaku sedikit rundingan lalu Rasulullah s.a.w menyerahkan hukuman terhadap yahudi pengkhianat ini kepada Sa’ad bin Mu’adz untuk menghakiminya. Sa’ad yang masih uzur akibat luka parah yang dialaminya semasa Peperangan Ahzab telah menjatuhkan hukuman agar kaum lelaki yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh manakala kaum perempuan dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Mendengar hukuman itu lalu Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya engkau telah berhukum dengan hukum Allah s.w.t yang datang dari 7 petala langit”.  Sa’ad mendapat keredhaan yang nyata daripada Allah S.W.T di mana doanya agar dilanjutkan usianya sehingga dia dapat menghukum Bani Quraizah dimakbulkan. Selepas peristiwa tersebut, keadaan Sa’ad semakin tenat sehingga nabi mengarahkan agar didirikan khemah di dalam masjid bagi membolehkan Sa’ad sentiasa berhampiran dengannya. Rasulullah s.a.w bersabda : 

اَهْتَزَّ عَرْشُ الرَّحْمنِ لِمَوْتِ سَعْدٍ  ( رواه الصحيحان)     
Maksudnya : ‘Arasy Allah S.W.T yang Maha Pemurah telah bergoncang kerana kematian Sa’ad

إِنَّ المَلائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ  ( رواه الترمذي)            
Maksudnya : Sesungguhnya para malaikat menanggung jenazahnya (Sa’ad bin Muazd).

              Walau pun hukuman yang dijatuhkan ke atas yahudi Bani Quraizah ini pada zahirnya begitu keras bagaikan berbentuk paksaan sedangkan musuh telah menyerah diri tetapi hakikatnya ia begitu adil dan tepat sekali apalagi dengan terdedahnya bagaimana yahudi Bani Quraizah itu bukan sahaja mengkhianati janji tetapi turut merancang untuk membunuh seluruh umat Islam dengan menyimpan begitu banyak senjata untuk tujuan itu. Pelaksanaan kepada hukuman bunuh ini dijalankan dengan yahudi Bani Quraizah itu ditahan di kampung Bani Najjar lalu di gali parit-parit di kawasan pasir di Madinah dan kemudiannya dibawa sekumpulan demi kumpulan yahudi itu untuk dipancung leher mereka yang menyaksikan antara 6 hingga 7 ratus yahudi Bani Quraizah dihukum bunuh. Terdapat juga dikalangan yahudi itu yang memeluk Islam


Kesan dan pengajaran


         Peristiwa yang bersejarah ini telah meninggalkan kesan dan pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam terutama dalam berhadapan dengan keganasan zionis yahudi pada hari ini. Sikap yahudi bagaikan tidak pernah berubah sebagai suatu bangsa yang mudah mengkhianati janji dan begitu benci terhadap Islam. Tindakan yahudi Bani Quraizah yang memberi bantuan kepada tentera Ahzab bagi memerangi umat Islam sedangkan mereka telah berjanji untuk taat setia sebagai rakyat Daulah Islamiah Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w ditambah pula dengan persiapan untuk memerangi keseluruhan umat Islam pada masa itu merupakan suatu peringatan kepada kita pada hari ini agar sentiasa berhati-hati ketika berdepan dengan musuh Islam terutama yahudi.

         Jika pada zaman pemerintahan Rasulullah S.A.W yang mempunyai kuasa dan daulah pun yahudi sanggup mengkhianati janji dengan umat Islam apatah lagi pada zaman kita yang tiada lagi Khilafah Islamiah yang mampu menjaga kebajikan dan hak umat Islam sejagat daripada dicerobohi sesuka hati oleh musuh Islam. Api permusuhan yang dinyalakan oleh musuh Islam yang diketuai oleh yahudi tidak pernah padam walau pun ramai di kalangan umat Islam terutama pemimpin negara umat Islam tunduk kepada kebanyakan desakan dan arahan musuh dengan mengenepikan Islam itu sendiri. 

         Kita memperingatkan buat sekian kalinya kepada pemimpin negara umat Islam yang lebih sanggup menjadi boneka dan khadam suruhan musuh Islam daripada menjadi pemimpin yang tunduk kepada perintah Allah S.W.T dan rasulNya. Adakah mereka tidak mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku kepada rakan sejawat mereka seperti Yaser Arafat yang telah memberi kesemua yang dikehendaki oleh yahudi tetapi kini dia menjadi bahan mainan yahudi. Serta kedaulatan Palestin terus menjadi impian yang belum dapat lagi dibuktikan sedangkan sudah berapa ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman yahudi. Berapa luas tanah yang tergadai dan dirampas serta begitu terdedahnya Masjid al-Aqsa untuk dirobohkan oleh yahudi. 

           Adakah pemimpin ini tidak mengambil iktibar dengan apa yang baru berlaku terhadap Saddam Husein yang dulunya dijadikan ayam laga musuh Islam bagi berhadapan dengan saudara seagama tetapi kini dari istana mewah berakhir dalam lubang tikus di bawah tanah sebagai tahanan yang menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman. Begitu juga dengan tekanan terhadap Libya dan Iran agar menghentikan pembinaan senjata tidak ketinggalan Syria yang dianggap antara paksi keganasan oleh musuh Islam terus berlangsung. Tujuan kuffar durjana yang sebenar ialah bagi memastikan yahudi terus berkuasa serta memastikan tiada lagi negara umat Islam yang boleh menggugat kedudukan yahudi Israel yang merupakan negara pengganas utama dunia.


Realiti di tanah air 

         Tekanan dan penghinaan musuh Islam tidak akan terhenti sekali pun adanya umat Islam yang mengikut telunjuk mereka. Tidak terlepas dengan apa yang berlaku terhadap negara kita sendiri di mana tekanan terhadap agama Islam begitu teruk seperti ramai umat Islam termasuk pelajar yang masih muda usianya ditahan di bawah ISA atas tuduhan pengganas tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini sebagai antara pusat keganasan. 

         Tekanan terhadap pengajian agama sehingga sudah banyak sekolah agama rakyat yang terpaksa ditutup pada awal tahun ini, pengharaman bertudung labuh, serban dan jubah di sesetengah tempat kerja dan pengajian, tindakan merobohkan surau serta usaha yang bersungguh dalam memastikan sistem perundangan Islam agar tidak dapat dilaksanakan dalam negara. 

      Malah tindakan dalam persempadanan pilihanraya turut menyaksikan usaha untuk memastikan umat Islam menguasai Parlimen semakin lama semakin kurang tetapi Amerika tetap menyatakan bahawa negara ini tiada toleransi agama. Musuh Islam tidak akan berpuas hati sehinggalah umat Islam tunduk dan mengikut jejak langkah mereka sampai ke dalam lubang biawak. Oleh itu kita berpesan kepada pemimpin agar jangan terus menjadi barua musuh Islam sebaliknya marilah kita bersatu menjulang seluruh sistem Islam sekali pun dibenci musuh asalkan dikasihi oleh Allah S.W.T.


Read More..

Tak Kenal Maka Tak Cinta!

1 comments



Salam  sejahtera diucapkan buat pencinta kedamaian, keindahan, keadilan juga buat pencinta Sang Pencinta mutlak iaitu Allah SWT yang mencipta CINTA untuk yang dicintai-NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih  Allah SWT, Rasulullah SAW dan seluruh ahli keluarga baginda serta para sahabat yang diredhai Allah.

            Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu” dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. “Katakanlah (Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”                                         (Ali-Imran : 31-32)

            Bila berbicara tentang CINTA, ramai yang tersenyum sendiri, ada juga yang tersengih malu. Namun, insan yang pernah mengalami sahaja yang dapat merasai betapa nikmatnya CINTA. Timbul persoalan, adakah cinta yang kita rasai itu cinta mutlak atau hanya cinta nafsu? Islam telah datang dengan syumulnya dari aspek ilmu Akidah, Syariat dan Akhlak untuk dihayati dan diamali oleh penganutnya demi mencapai redha Ilahi. Untuk mendapatkan cinta hakiki tidak dapat tidak mesti melalui jalan yang telah digarisi syariat. Cinta atau boleh juga dipanggil mahabbah terbentuk melalui pengamalan tiga aspek ilmu tadi. Bila hati sudah cinta maka segala yang dilakukan adalah untuk yang dicintainya. Begitulah manusia, bila cinta kepada Allah, segala tujuan dan kefokusannya hanyalah untuk Allah.

            Berlandaskan apa yang Islam terapkan, Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM telah menubuhkan Unit Biah Solehah yang berperanan besar memastikan biah yang solehah terlaksana di bumi Anbiya’ khususnya, dan di negara lain umumnya. Ini kerana sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang menjadikan Islam sebagai cara hidup, maka Biah Solehah adalah satu amanah untuk kita semua. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tiada keimanan bagi yang tidak beramanah, tiada solat bagi yang tidak bersuci, dan tiada agama bagi yang tidak bersolat”.

            Mari kita koreksi balik objektif Unit Biah Solehah kali ini dengan 5 pembawakan agar dapat kita terapkan dalam kehidupan seharian demi membentuk generasi berakhlak Quran dan insan yang mencintai dan dicintai Allah. Insya-ALLAH. Bila ada mahabbah semuanya akan jadi solehah.


Memperkasakan Solat Jemaah
          
           Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Solat berjemaah lebih afdhal dari solat bersendirian dengan 27 darjat, manakala solat bersendirian 1 darjat.” (Muttafaqun ‘Alaih)

         Juga telah bersabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Ke atas kalian dengan berjemaah.” Berdasarkan hadis tersebut, boleh kita simpulkan seruan agar meletakkan diri dalam jemaah atau kumpulan, hatta ketika solat, kerana ia melambangkan kesatuan hati muslimin. Orang kafir begitu gerun melihat sesebuah solat yang didirikan dengan berjemaah kerana ia menunjukkan betapa ramainya umat Islam seperti mana beberapa kisah yang berlaku ketika zaman sahabat terdahulu. Ahli teori fizik juga mengakui kehebatan solat berjemaah bilamana sistem tubuh manusia dapat distabilkan apabila cas-sas positif dan negatif saling bertukar ketika tubuh manusia tersentuh satu sama lain semasa solat berjemaah.

Manfaatkan media elektronik
            
            Di dalam dunia yang serba canggih ini, pelbagai kemudahan tercipta yang mana jika disalahguna boleh membawa kepada kehancuran umat akhir zaman. Firman Allah Taala (mafhum) : “ Tidaklah Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia, Maha Suci Allah yang menyelamatkan kami daripada azab api neraka. ” Maka yang terbentang di depan mata manfaatkanlah ia. Jika media elektronik tidak dimanfaatkan maka terjadi pelbagai maksiat tanpa disedari, contohnya ikhtilat di alam maya. Sering kita alpa dengan masalah ini.

Tautan ukhuwwah
            
            Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Tidaklah beriman seorang mukmin sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya. ” Ramai dalam kalangan kita mengetahui hadis ini, namun sejauh mana kita dapat praktikkannya? Tepuk dada tanya iman. Beberapa cara berukhuwwah telah di gariskan oleh Abdullah Naseh Ulwan di dalam kutaibnya ‘Ukhuwwah Islamiah’. Antaranya, bersalaman apabila bertemu dan memberi hadiah kerana ianya dapat menimbulkan kasih sayang.

Pembentukan fikrah dan syakhsiah
            
          Fikrah Islam atau fikrah kita adalah ajaran Allah SWT, yang lengkap sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan Muslim. Iaitulah Islam atau Ad-din yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah SAW.

     Seorang mujahid Islam, Ustaz Fathi Yakan ada menyatakan pembentukan syakhsiah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya. Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Sesiapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam dikira telah menyeleweng. Firman Allah Taala : “ Dan jika kamu mengikuti orang-orang yang berada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya prasangka belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan. ” (Al-An’am : 116)


Mengetahui dan mendalami sejarah Islam

Ianya bertujuan supaya seorang muslim mempunyai gambaran nyata tentang hakikat Islam yang sebenarnya, yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’ dan tabi’n serta golongan  terkemudian.

 “Siapa yang meninggalkan sejarah dia akan mengulangi sejarah tersebut.” Kata-kata ini amat masyhur dalam masyarakat sekarang, maka ayuh kita cakna dengan sejarah Islam yang berlaku agar ianya menjadi  langkah awal dalam pembinaan Daulah Islamiah yang segemilang zaman terdahulu. Cukup banyak sumber yang kita boleh dapatkan seperti merujuk para ulama, kitab-kitab lama dan moden, dan melakukan pengkajian. Ramai yang mahu bekerja tetapi tidak ramai yang mahu berfikir.

Sedikit renungan bersama, “ Sesuatu yang dilakukan dengan mahabbah, akan menghasilkan ketenangan dan kebahagian di dalam hati walaupun fizikal penat ” (Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani Al-Husaini).

Wallahua’lam…
Read More..

Syawal : Kemenangan Yang Di Syukuri.

0 comments



الله أكبر كبيرا, والحمد لله كثيرا, وسبحان الله بكرة وأصيلا,
لا إله إلا الله وحده,
صدق وعده,
ونصر عبده,
وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده.
لا إله إلا الله والله أكبر. الله أكبر ولله الحمد.


Kegembiraan jelas terpancar pada wajah kaum Muslimin saat Allah menurunkan pertolongan kepada mereka berupa kemenangan dalam menentang tentera kuffar dalam peperangan Ahzab. Kemenangan ini dirai dengan penuh ketaqwaan dan munajat serta dihiasi dengan tasbih, tahmid juga takbir yang berterusan tanda cinta mereka kepada Rabbul Jalil dan kekasih Nya , Nabi Muhammad Sallallahua’laihi Wa Sallam. 

Aidilfitri yang dihadiahkan buat hamba-hambaNya begitu bermakna dalam konsep Ramadan yang banyak mentarbiah ruhiah ummah. Rangkap takbir yang dialunkan setiap kali raya tiba menggambarkan suatu keizzahan dalam diri setiap Muslim yang tetap teguh berpegang dengan syariat Allah SubhaanahuwaTaa’la.

Namun, realiti masyarakat kini memandang enteng tentang erti sebenar sebuah kemenangan. Hari-hari yang dimuliakan ini seringkali dicemari dengan gelagat-gelagat maksiat seperti pendedahan aurat, tabarruj (berhias berlebih-lebihan), pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan, pembaziran dan sebagainya. Apakah ini natijah yang diharapkan setelah sebulan berada dalam madrasah pentarbiahan?

Firman Allah Subhaanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Jelas dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah bagi menggapai ketaqwaan seterusnya sebagai ‘pengecas’ iman agar  bertambah teguh dalam mendepani cabaran dalam kehidupan. 

Oleh itu, ubahlah budaya jahiliah dalam diri kita dengan kembali berpaut pada garisan Al-Quran dan Sunnah agar kita dapat menyebarkan budaya yang terbaik ke seluruh alam. Koreksi iman kita setelah Ramadan kali ini berlalu, adakah kita bertambah baik ataupun sebaliknya?

:: Betulkan yang biasa, Biasakan yang betul ::

SALAM LEBARAN 1433 Hijrah




















Read More..

Hikmah Berdiam Diri

0 comments






Dalam 24 jam masa yang dikurniakan kepada manusia, boleh dikatakan hampir setiap masa digunakan untuk manusia berbicara. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia dan jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Perkara ini telah Baginda SAW jelaskan dalam sabda Baginda :
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( Muttafaqun 'alaih)

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia sebaliknya ia digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Rasulullah SAW berpesan lagi :
“Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat Tarmidzi)

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia. Diam juga merupakan salah satu alternatif  bagi manusia untuk menundukkan hasutan syaitan kerana orang yang lebih banyak diamnya, lebih banyak fikirnya. Justeru jalan yang terbaik ialah diam sekiranya seseorang itu tidak mampu berbicara ke arah kebaikan bertepatan dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya, dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Nuaim)

HIKMAH DIAM

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutup segala aib.

MADAH HUKAMA’:
* SEKIRANYA DIHINA, BUKANLAH KERANA TERHINA, YANG SEBENARNYA ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI. MAKA BALASLAH DENGAN DIAM.

Lebih indah pula sekiranya diam itu dihiasi dengan senyuman. Kitab Syamail Muhammadiah susunan Imam Tirmidzi merakamkan periwayatan hadis dari Abdullah bin Harits ra berkata: 
“Tiadalah ketawa Rasulullah SAW kecuali tersenyum.”

Railah sunnah Rasulullah SAW dengan senyuman. Sesungguhnya ganjaran yang besar tersedia bagi insan yang dapat meraikan sunnah Baginda SAW di kala keadaan menghimpit. Inilah janji yang tiada sangsi, janji Allah dan janji Nabi. Rebutlah janji ini kerana senyum bukanlah sesuatu yang menyusahkan bahkan ianya diam yang menyelamatkan diri.

Read More..

Ada Apa Dengan Usrah

0 comments
Usrah ibarat seorang yang sedang mencangkul tanah. Mereka nampak pada zahirnya, namun mereka tidak tahu sebenarnya kita sedang membina batas. Begitu juga usrah, mereka nampak kita berhimpun, berbincang tapi mereka tidak tahu sebenarnya kita sedang membina semula Islam dalam hati-hati kita.
Read More..

Khalid Al-Walid

0 comments
Khalid al-walid dilahirkan 17 tahun sebelum pembangunan Islam. Berasal dari suku Banu Makhzum (suku Quraisy). Ayahnya bernama Walid dan ibunya Lababah. Khalid termasuk di antara keluarga Nabi yang sangat dekat. Maimunah, ibu saudara dari Khalid, adalah isteri Nabi s.a.w. dan Umar adalah saudara sepupunya. Khalid al-Walid dikenali sebagai Saifullah al-Maslul yang bermaksud Pedang Allah yang terhunus.

Ayah Khalid seorang yang kaya dan mempunyai kebun buah-buahan yang membentang dari kota Mekah sampai ke Taif. Kekayaan ayahnya ini membuat Khalid bebas dari kewajiban-kewajibannya dan tidak perlu belajar berdagang. Beliau hanya melakukan kegemarannya iaitu berlawan, tinju dan berkelahi. Ketika itu Kepahlawanan adalah satu perkara terhormat di mata rakyat. Ayah Khalid dan beberapa orang bapa saudaranya adalah orang-orang yang terpandang di mata rakyat. Hal ini memberikan dorongan  kepada Khalid untuk mendapatkan kedudukan terhormat, seperti ayah dan bapa saudaranya. Beliau juga mempelajari keahlian menunggang kuda, bermain pedang,memanah dan memimpin angkatan perang.

Pandangan yang di tunjukkannya mengenai taktik peperangan menakjubkan setiap orang dan beliau juga akan menjadi ahli dalam seni ketenteraan dan ketua peperangan. Semasa kanak-kanak beliau berharap untuk menjadi ahli perang yang luar biasa dan menjadi pahlawan Quraisy.Khalid menjadi pemimpin sewaktu orang-orang Quraisy sedang memusuhi Islam dan nabi Muhammad s.a.w. 

Khalid bin Walid pernah memimpin sayap kanan tentara Quraisy yang angkatan tenteranya empat kali jauh lebih ramai dari pasukan Islam didalam Peperangan Uhud. Ketika kekalahan menyelubungi tentera Quraisy beliau tidak mengalah dan sarafnya tetap membaja untuk mendapatkan kemenangan. Dia mengumpulkan kembali anak buahnya dan mencari kesempatan yang baik dan menyerbu pemanah-pemanah Islam yang masih tinggal dan membunuh mereka. Dengan kecepatan yang tiada taranya Khalid masuk dari garis belakang dan menggempur orang Islam di pusat pertahanannya. Orang-orang Quraisy yang telah lari berkumpul kembali dan mengikuti jejak Khalid menyerbu dari belakang. Dan kemenangan akhirnya berpihak kepada kaum Quraisy.

Ketika Perjanjian Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam dan memohon maaf kepada Nabi Muhammad s.a.w atas tindakan beliau sebelum ini. Rasulullah sangat bahagia, kerana Khalid mempunyai kemampuan berperang yang dapat di gunakan untuk membela Islam dan meninggikan kalimatullah dengan perjuangan jihad. Beliau diangkat menjadi ketua perang dan menunjukkan hasil gemilang di atas usaha jihadnya. Dengan izin Allah,setiap kali beliau menjadi panglima perang maka kemenangan akan memihak kepada mereka.

 Ketika zaman nabi Muhammad s.a.w, beliau menyertai tentera Islam dalam Perang Mu'tah dan juga perang-perang lain. Perang Uhud dan Perang Mu’tah adalah dua keadaan yang berbeza sebagaimana berbezanya peribadi Khalid bin Al-Walid. Dalam perang Uhud, beliau adalah panglima Quraisy yang berjaya mengalahkan mujahid-mujahid Islam tetapi perang Muktah menampakkan penampilan Khalid Al-Walid yang baru.Beliau adalah hero penyelamat di saat ambang kekalahan tentera Islam.
 
Ketika Saidina Abu Bakar As-Sidiq menjadi khalifah,maka bermulalah murtad dan nabi palsu kepada orang  Islam.Maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailamah dalam suatu pertempuran. Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi kerana kedegilan mereka untuk menerima dakwah yang dibawa. Dia berjaya mengislamkan pahlawan Rom "Gergorius Theodorus" ketika peperangan di Yarmuk. Tidak lama selepas di Islamkan Gergorious mati syahid ketika membantu Islam dalam peperangan yang sama. Khalid Al-Walid juga berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. "Saifullah"gelaran yang di berikan kepada beliau. Khalifah Abu Bakar pernah berkata "Tiada lagi wanita yang dapat melahirkan anak seperti Khalid Al Walid".

 Pada zaman Saidina Umar al-Khattab, beliau telah dilucutkan dari jawatan panglima perang kerana risau orang-orang Islam akan menjadi syirik kerana mereka akan mengatakan kemenangan tentera Islam adalah kerana pimpinan Khalid al-Walid, bukan kerana bantuan Allah."dan akhirnya digantikan oleh Abu ubaidah. Beliau terus berjuang sebagai mujahid tanpa mempedulikan statusnya.
Betapa hebatnya Khalid bin Walid di dalam medan pertempuran, dengan berbagai luka di badannya, namun ternyata kematianya di atas katilnya sendiri inilah bukti "Saifullah". Oleh itu, mustahil dengan gelaran yang Rasulullah berikan beliau akan rebah di medan pertempuran oleh pihak lawan. Beliau hanya meninggalkan kuda perang dan pedang.
Read More..

Rahsia Solat Dari Sudut Sains Dan Kesihatan

0 comments
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Media tempatan telah  mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger