AKHLAK DALAM ISLAM

SIRI SATU 

 
((بسم الله الحمن الرحيم

1. PENGENALAN

            Manusia adalah makhluk Allah S.W.T yang teristimewa yang memiliki tabiat dan mentaliti yang mempengaruhi amalan dan tingkah lakunya, maka keperibadian inilah yang menjadi perbicaraan dan perbincangan yang utama dalam akhlak.
           
Memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa akhlak merupakan nadi utama dalam pembangunan manusia. Setiap tamadun umat manusia dari  dahulu sehingga kini ianya terbina dari asas akhlak ataupun dikenali sebagai tamadun kemanusiaan, iaitu asas yang membina tamadun tersebut di luar kuasa kebendaan. Walau bagaimanapun, Islam mempunyai persepsinya yang tersendiri dan memiliki asas akhlaknya dan asas tamadunnya yang tersendiri.

2. MAKSUD AKHLAK

Dari sudut bahasa :
                         Ianya membawa maksud tabiat dan perangai.
Manakala dari sudut istilah ulamak :
                        Sepertimana yang ditakrifkan oleh Al- Ghazali : "Akhlak adalah suatu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan."

            Oleh itu, akhlak boleh disimpulkan dengan makna ianya sebagai suatu himpunan ma'ani dan sifat-sifat yang bertapak kukuh di dalam diri, dan ianya menjadi neraca bagi manusia dalam baik buruk sesuatu amalan dan perbuatan tersebut.

3. KEPENTINGAN AKHLAK

31. Akhlak mencorak tingkah laku.

            Akhlak memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya. Sebagaimana menurut Al-Ghazali : "Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakkannya adalah berlandaskan kepadanya".
            Maka dengan ini sehinggalah apabila akhlak menjadi sebati
di dalam diri ia akan melahirkan tindakan spontan, bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya.

3.2 Neraca akhlak mempengaruhi pertimbangan.

            Neraca akhlak yang sebati di dalam diri manusia akan mempengaruhi pertimbangannya dalam menilai sesuatu perbuatan. Oleh itu, kesahihan dalam pertimbangan ini bergantung kepada sejauh mana kesahihan neraca yang dipegangnya.

3.3  Akhlak mencerminkan keimanan.

            Akhlak adalah cermin keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna akan memprodukkan akhlak yang mulia atau dengan perumpamaan yang  mudah, ibarat pohon yang semata-mata bergantung kepada keelokan akarnya. Sabda Rasulullah S.A.W  :

أكمل المؤمنين أحسنهم خلقا

                         
Maksudnya : "Di kalangan mu'minin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya.(1)

3.4  Akhlak sebagai simbol tamadun manusia.

            Tamadun sesuatu umat adalah terletak kepada sejauh mana penghayatannya dan kemurnian sumber peradabannya. Akhlak adalah sebagai mercu tanda, berjaya atau tidaknya sesuatu umat dalam melakukan proses kemajuan dan pembangunan. Tanpa akhlak nescaya manusia akan berada di lembah kehinaan biarpun kejayaan material yang dicapai sangat menakjubkan. Faktor membelakangkan akhlak jugalah yang menyebabkan sesuatu umat tersebut tidak mencapai ketamadunan yang sebenarnya. Contohnya kepercayaan Hindu yang membelakangkan etika akhlak mengakibatkan umatnya tiada bertamadun seperti berlakunya perhambaan diri kepada hawa nafsu. (2)  Begitu juga tamadun barat yang berasaskan oleh ideologi kapitalis dan lain-lain, jatuh satu persatu kerana mengkesampingkan nilai-nilai akhlak.

3.5 Akhlak adalah mangkin perubahan
           
               Aspek keluhuran akhlak dan kerohanian perlulah diambil berat serta diberi pemfokusan yang utama dalam melakukan setiap agenda perubahan kepada masyarakat. Ini adalah kerana sebagai mangkin perubahan, sebagaimana yang telah diulas oleh Imam As Syahid Hassan Al-Banna sebagai "tongkat perubahan". Ini kerana krisis yang dihadapi oleh dunia adalah merupakan krisis kejiwaan dan kerohanian sebelum ianya menjadi krisis ekonomi  dan politik.(3)

            Begitulah pentingnya akhlak dalam membantu proses perubahan walaupun di saat- saat kritikal seperti dalam medan peperangan. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa keruntuhan akhlak dan moral akan menggagalkan usaha perubahan. Seolah-olah akhlaklah yang menjadi sebagai persiapan dan persediaan dalam menempuh situasi genting perubahan ini. Kita melihat apa yang telah berlaku di Turki ketika kejatuhan Khalifah  Uthmaniah, di antara faktor kelembapannya dan kejatuhannya adalah disebabkan keruntuhan nilai akhlak di kalangan pemerintah dan tentera-tenteranya.(4)

            Secara kesimpulannya, dapatlah kita nyatakan bahawa akhlaklah merupakan sumber kekuatan yang dapat mengangkat darjat manusia ke tahap yang mulia. Ini kerana seseorang insan itu bukan dilihat berdasarkan tubuh badan atau anggota tetapi ianya dilihat dari segi perlakuan akhlaknya.(5)

4 . PEMBAHAGIAN AKHLAK        

4.1  Al - Akhlak Al - Insaniah Al - Asasiah. ( Akhlak Asasi Manusia)

4.1.1    Ianya bermaksud segala sifat asas yang telah sedia ada bersama kewujudan insan tersebut serta mencakupi sifat-sifat yang melayakkan mereka untuk mencapai kejayaan di dunia ini. Tidak kira sama ada ianya diarahtujukan kepada matlamat yang sahih atau sebaliknya, dan sama ada dalam kontek insan tersebut beriman kepada Allah S.W.T dan hari kebangkitanNya  serta risalah yang dibawa oleh para rasul  bersama wahyu yang telah diturunkan, ataupun insan tersebut beriman kepada perkara-perkara yang tersebut.

4.1.2    Maka di antara sifat-sifat yang asasiah yang membolehkan seseorang insan tersebut mengecapi kejayaan di muka bumi ini ialah seperti :  mempunyai kekuatan dan keazaman yang kuat dalam sesuatu perkara, menampilkan  diri dalam sesuatu bidang, sabar dan thabat serta mempunyai daya ketahanan diri yang kuat dalam memikul setiap perkara yang besar lagi berat, mempunyai jiwa yang berani, nasyat dalam setiap bidang, bersedia untuk berkorban dalam apa jua keadaan ke arah mentahkikkan tujuan tersebut, ihsas tentang mas'uliah yang tertaklif ke atas dirinya, berkemampuan dalam menentukan sesuatu maukif yang berbeza berdasarkan kepada keadaan dan situasi yang juga berbeza, begitu juga berkemampuan dalam mentadbir sesuatu perkara bertepatan dengan zuruf mahupun keadaan, seterusnya menguasai dirinya apabila berada dalam situasi yang menyentuh a'watif dan perasaan dirinya serta juga mampu menarik perhatian orang ramai ke arah apa yang dia hajati.

            Aspek ini juga disebut oleh Iman Syahid "Bahawa pembentukan ummah, pendidikan bangsa, merealisasikan cita-cita dan memperjuangkan prinsip memerlukan sesuatu ummah atau kumpulan yang berusaha menyeru kepadanya maka perlulah di sana mempunyai kekuatan jiwa yang hebat."

            Seterusnya beliau menyambung: "Maka setiap bangsa sama ada  pemimpin atau duatnya yang kehilangan empat sifat ini ia adalah bangsa yang sia-sia dan lemah yang tidak mampu sampai kepada cita-cita."

4.1.3.   Dipandang pada sudut kemasyarakatan pula, masyarakat yang ingin maju, setiap individunya mestilah memiliki visi bersama yang lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi. Maka bagi membina masyarakat yang tersusun perlu juga ada padanya segala bentuk sifat yang terpuji dan mulia seperti perkara yang menjadikan insan tersebut sopan- santun, thiqah di dunia ini dan hati yang terbuka, amanah, menepati akan janji, mempunyai sifat yang wasotiah dan juga jiwa yang suci, bersih bersama pemikiran yang sentiasa sihat.

            Inilah sifat-sifat yang telah difahami oleh kebanyakan umat dan jemaah yang mana seolah-olah dijadikan bahan revolusi dan kebangkitan insaniah dan ummah, malah merupakan modal-modal yang amat berharga bagi kemanusiaan tersebut.

4.2 AL- AKHLAK AL- ISLAMIAH  

            Akhlak Al- Islamaiah mempunyai pertautan yang erat dengan akhlak Al-Insaniah Al-Asasiah malah akhlak inilah yang merupakan pelengkap bagi akhlak Al-Asasiah dan juga penyempurna serta mempertingkatkannya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :
 انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

4.2.1. Keistimewaan dan juga muhimmah yang ada pada akhlak Al- Islamiah :

i)          Akhlak Al- Islamiah meletakkan akhlak asasi manusia pada paksi dan fungsinya yang sebenar serta mengarahkannya kepada kebaikan. Ini jika dilihat di sisi akhlak asasi manusia pada persepsinya yang awal boleh diarahkan kepada mana-mana arah sama ada yang baik atau sebaliknya secara serentak. Ianya terungkap ketika datangnya Islam. Akhlak Al-Islamiah dijadikan obor dan memandu akhlak Al-Asasiah tersebut kepada kedudukan yang betul dan kepada landasan yang lurus, maka apabila dikaitkan dengan suasana sekelilingnya sudah tentu akan membawanya ke arah kebaikan dan petunjuk yang benar.

            Bolehlah diumpamakan sebagai pedang yang tajam yang dijadikan alat oleh perompak untuk melakukan kezaliman tanpa belas apabila senjata tersebut berada di  tangannya, akan tetapi sekiranya pedang tersebut berada di tangan seorang mujahid yang berjuang fi sabilillah maka ianya merupakan satu alat yang amat baik malah ianya menjadikan suatu yang hak.

            Maka, kita tidak boleh menghukum kepada sesuatu akhlak tersebut baik ataupun bagus dengan berdasarkan wujudnya akhlak tersebut di sisi seseorang tertentu, ataupun kumpulan tertentu, tetapi baik dan bagusnya adalah berdasarkan akhlak tersebut digunakan ke arah yang lurus dan betul mengikut landasan syarak.

            Maka, Islam sentiasa memberikan motivasi kepada akhlak Al-Asasiah ke arah kebaikan dan yang hak. Begitu juga dalam segala keadaan yang seharusnya kepada dakwah Islam ke arah at-tauhid dan tidak ada di situ segala maksud dan tujuan yang sebalik setiap usaha manusia kecuali hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. Seterusnya,  perlulah menentukan segalanya di ufuk pemikirannya dan amalannya berdasarkan garis panduan yang telah disediakan oleh Allah S.W.T. Maka dengan itu, kita akan dapati natijahnya bahawa akhlak Al-Asasiah yang telah disebutkan tadi akan menuju ke arah yang lurus, manakala segala kekuatan yang terlahir dari akhlak tersebut tidak akan diekploitasikan dan dilaksanakan kecuali hanya ke arah meninggikan kalimah Al-Hak. Ini dapat mengelakkan daripada ianya digunakan ke arah kepentingan diri, keturunan, ummah ataupun negara sahaja yang hanya berdasarkan ianya boleh dan tidak boleh ataupun sesuai dan tidak sesuai.

4.2.2.  Memperkemaskan dan memperkukuhkan akhlak Al-Asasiah sebagai tunjang di satu tahap. Seterusnya mengembangkan pratikalnya ke dalam hayah dan kehidupan insani sehingga mencapai ke tahap yang maksima dan agung.

            Contohnya  : Sabar.......Di sisi bukan Islam ia direalisasikan pada tahap yang sangat terhad, sehingga mereka yang dilihat sebagai seorang yang sabar hanya mampu bertahan di dalam medan perang dan sanggup bergelumang dengan darah namun sebaliknya terkulai layu di hadapan tuntutan hawa nafsu. Tetapi di sisi Islam di samping mempraktikkan kesabaran ia juga memperluaskan perlaksanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar menggunakan kesabaran bagi menghadapi cabaran dan bencana sahaja bahkan ianya juga terhadap segala sesuatu yang meminggirkan manusia dan tersisir daripada jalan yang benar.

            Inilah prinsip yang diingini oleh Islam yang menghendaki setiap muslim berdiri teguh di jalan yang benar. Begitulah juga akhlak-akhlak asasi yang lain, ianya dipratikkan dalam ruang lingkup yang sempit, sedangkan Islam merangkumkan ke semua akhlak dan membinanya di atas asas yang betul lalu memperluaskan daerah kemungkaran.
 
akan bersambung...

4 comments:

Akhlak Kepada Orang Tua said...

Alhamdulillah, terimakasih artikelnya. Semoga kita semua termasuk orang-orang yang berakhlak baik sesuai dengan yang diperintahkan Islam.

Unknown said...

izin copasstt

_Asya.Rz_�� said...

Sgt membantu

_Asya.Rz_�� said...

Sgt membantu

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger