Menyelusuri Sejarah Tentera Bergajah


Satu sejarah yang sangat bermakna bagi umat Islam, dan telah di rakamkan dalam Al Quran:

Di dalam Al Quran Allah ada menceritakan tentang kisah tentera bergajah dan juga burung Ababil. Tetapi perlu di ingatkan Al-Quran itu bukan cerita yang dibuat-dibuat tetapi Al-Quran itu menjelaskan segala sesuatu dan pada kisah-kisah tersebut terdapat pelajaran bagi orang yang berakal.

SURAH Al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah dan di turunkan selepas surah Al-Kafirun.

Hubungan surah ini dengan surah Al-Humazah ialah dalam surah Al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.

Abrahah merupakan seorang Raja yang angkuh, dia telah mendirikan sebuah gereja yang paling besar di Yaman yang dinamakan Al-Qulais.
Abrahah menghantar wakil-wakilnya ke seluruh suku kaum Arab untuk mengerjakan haji di gereja tersebut, padahal orang-orang Arab mengangungkan Kaabah, BaitulAllah. Hasilnya,
timbul kemarahan orang-orang Arab sehingga ada orang Arab yang pergi ke al-Qulais, membuang air besar dan menyapu najisnya pada dinding Al-Qulais. Dan tentu sekali Abrahah
marah akan tindakan itu.
Bermulalah sejarah tentera Abrahah dengan membawa gajah-gajah ingin menghancurkan Kaabah, tempat yang diagungkan suku kaum Arab itu. Abrahah dengan yakin akan kekuatan tenteranya untuk menyelesaikan misinya.
Apabila hampir tiba di Makkah, Panglima Abrahah telah merampas dan membawa balik kepada beliau binatang-binatang ternakan kaum Quraish dan merampas 200 ekor unta milik Abdul Mutalib (Datuk Nabi SAW) dan pergilah Abdul Mutalib menuntut haknya kepada Abrahah.

Abdul Mutalib, "Serahkan kembali milikku!".

Abrahah terkejut, kerana sangkaannya Abdul Mutalib ingin memohon agar Kaabah tidak diruntuhkan. Abdul Mutalib menyambung, "Unta-unta itu milik aku, dan Kaabah itu ada tuannya. Oleh itu serahkan semula unta-untaku. Kalau Kaabah itu rumah Tuhan, pasti Tuhan menjaganya. Kaabah ada Tuhan yang menjaganya!". Maka, Abrahah menyerahkan kembali unta-unta itu dan tidak menganggu penduduk Makkah.

Pada hari yang dirancang, Abrahah dan tenteranya ingin menuju terus ke Kaabah dan melunaskan hasrat mereka. Namun, gajah-gajah yang ditunggani tidak mahu bergerak apabila dihadapkan ke arah Kaabah. Jenuh di pukul dan di pukul gajah, tidak jua bergerak walau seinci.

Dan pada masa itulah kelihatan sekelompok awan bergerak menuju ke arah mereka, dan yang sebenarnya itu burung-burung Ababil yang membawa batu untuk dijatuhkan ke atas tentera Abrahah.

Bagi setiap batu kecil yang menimpa tentera Abrahah, akan menanggalkan daging-daging mereka. Satu persatu tentera dan gajah Abrahah gugur mati. Abrahah yang melihat keadaan itu mula berlari ke belakang, namun dia juga tidak terkecuali terkena bisa hujan batu yang hanya di bawa burung Ababil. Tubuh Abrahah telah menjadi sasaran anak-anak batu itu dan
dia menderita parah. Kerana itu ia telah dibawa keluar dari Makkah bersama-sama
tenteranya, sedangkan jari-jemarinya gugur sebatang demi sebatang sehingga sampai ke San'aa ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan jantungnya. Tahun berlakunya peristiwa ini dinamakan Tahun Gajah.

Burung adalah sejenis binatang yang boleh terbang dan sentiasa berada di udara. Adakalanya mendarat di kawasan tempat tinggalnya. Di lihat dari sudut ketenteraan burung yang berpasukan-pasukan ini adalah sebuah tentera udara.Bagaimana pula tentera udara ini menghancurkan tentera darat? Dengan membawa batu yang terbakar iaitu sejenis bahan yang sememangnya boleh terbakar. Maka batu yang terbakar itu diumpamakan seperti bom. Jadi burung yang membawa batu terbakar itu adalah seperti jet yang membawa bom-bom.
Kisah tentera bergajah dan burung Ababil itu sememangnya kisah yang nyata di dalam Al-Quran.Sehingga di wahyukan dalam surah ke 105 iaitu Surah Al-Fiil. Tetapi kisah tersebut bukan setakat mati di situ sahaja sebagai cerita sejarah. Ia haruslah di ambil iktibar dan pelajaran. Maka apa pelajaran yang boleh diambil dari kisah ini ialah untuk mengalahkan tentera darat adalah melalui tentera udara! Allah Maha Besar. Allah itu Maha Berilmu. Allah sudah mengajarkan kepada umat Islam strategi ketenteraan lebih kurang 1400 tahun yang lampau.
Begitulah kisah Abrahah, dari seorang panglima perang yang menjadi Raja Yaman dan kemudiannya menjadi bongkak dan angkuh sehingga berani untuk menhancurkan Kaabah, rumah Allah. Tempat menunaikan haji dan umrah sehingga ke saat ini. Maha Suci Allah yang Merancang segala-galanya.
Pengajaran yang boleh diambil dari kisah tersebut, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera walau dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.
Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh memusnahkan manusia.
Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.
Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang di limpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang ingin menghancurkan Baitu Haram yang tidak berdosa itu.
Apabila dihayati kembali sejarah lalu dan dibawakankan pada rialiti dunia hari ini, sejarah mungkin berulang.
Dunia hari ini berhadapan dengan penindasan yang amat dahsyat, Umat islam di tindas oleh puak kuffar. Berlakunya pergolakan-pergolakan di negara-negara arab hari ini kerana kezaliman pemerintah yang cintakan pangkat dan kekayaan dunia sehinggakan nyawa rakyat tidak lagi berharga, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu, rumah-rumah ibadat orang Islam di musnahkan.
Persoalannya mengapakah kita di zaman ini dipermainkan sesuka hati oleh musuh Islam.
Mungkinkah kerana penyakit yang melanda umat hari ini yang terlalu cintakan dunia dan takut mati.
Kepada semua saudara seislam, jangan berhenti untuk terus mendoakan saudara-saudara Islam kita yang di tindas, kita tidak mampu untuk mengangkat senjata untuk menolong mereka dan tidak mampu menjadi sukarelawan negara, tidak mampu juga untuk menyumbangkan wang berjuta. Tapi ingat saudaraku! Kita masih ada satu senjata iaitu doa kita untuk mereka.
Moga Allah menghantar pertolongannya sepertimana Allah menghantar tentera ababil yang memusnahkan bala tentera abrahah satu ketika dahulu.
Sesungguhnya agama islam adalah milik Allah dan Allah pasti akan memelihara kesucianya.
ولا تايئسوا من روح الله انه لا يايئس من روح الله الا القوم الكافرين

“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum yang kafir.”
Kemenangan islam pasti berlaku, janji Allah itu pasti…

3 comments:

Animb Azman said...

seronok bila baca sirah ni..tq

bLog Juga said...

bukankah kisah itu menjadi tanda kebencian orang yaman kepada mekah hingga sekarang

Unknown said...

dimana terdapat bukti kata2 Abdul mutalib kepada raja yemen tersebut? boleh bagi surah?

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger