Memanfaatkan Media Massa

          Dalam kehidupan seharian manusia, pasti tidak dapat lari daripada penggunaan media massa. Apakah itu media massa?  Media massa adalah alat yang digunakan dalam menyampaikan pesanan-pesanan dari suatu sumber kepada khalayak ramai melalui alat-alat komunikasi seperti surat khabar, radio dan televisyen. Segala informasi, maklumat dan berita yang berlaku di dunia ini akan disampaikan melalui media massa. Golongan yang tidak bergelumang dengan media massa ibarat “katak di bawah tempurung” kerana tidak mengetahui perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Pada zaman ‘dunia di hujung jari’ ini, konsep media massa semakin meluas kerana segala maklumat boleh didapati melalui internet. Penggunaan internet ibarat makanan ruji penduduk dunia pada hari ini. Oleh sebab itu, tidak pelik,  semakin hari,semakin banyak program-program aplikasi yang diwujudkan seperti facebook, twitter, skype, viber, blogspot dan lain-lain. 

          Namun begitu, segala ciptaan manusia tidak sempurna dan pasti ada kekurangannya. Kemajuan ini tidak membawa kepada kebaikan semata-mata, ia juga boleh membawa kepada keburukan hatta ke arah keruntuhan moral masyarakat dan perpecahan masyarakat seluruh dunia. Penentu samada ke arah kebaikan atau keburukan ini terletak di tangan manusia itu sendiri. Oleh itu, bagaimana cara untuk memanfaatkan media massa?

          Senang kata, kita dianggap memanfaatkan media massa jika kesan penggunaannya membawa ke arah kebaikan, jika membawa ke arah keburukan, kita dianggap menyalahgunakannya. Konteks kita pada hari ini sebagai seorang pelajar dan pendakwah, kita boleh memanfaatkan media massa ini sebagai medan menuntut ilmu dan berdakwah. Medan menuntut ilmu yang dimaksudkan di sini bukanlah bermakna ia sebagai sumber atau rujukan utama tetapi sebagai sumber sampingan atau pemudah cara dalam menuntut ilmu, kerana seorang penuntut ilmu itu tidak dapat lari dari konsep “duduk” bersama guru sebagai platform utama dalam menuntut ilmu yakni menghadiri majlis ilmu dan pengajian di universiti. Sebagai contoh, kita boleh menggunakan perkhidmatan internet untuk mendengar ceramah secara dalam talian (online) , menggunakan youtube untuk melihat rakaman-rakaman video berkaitan ilmu dan isu semasa serta melayari laman web dan blogspot untuk pencarian maklumat dan percambahan pengetahuan isu semasa.

         Seterusnya, cara pemanfaatan yang kedua iaitu sebagai medan dakwah pula merupakan cara yang paling utama dalam memanfaatkan media massa pada hari ini. Pendakwah dan penuntut ilmu pada hari ini perlu mempunyai kekreatifan dalam menggunakan semua media massa pada hari ini untuk berdakwah kepada masyarakat. Peluang keberkesanan dakwah lebih cerah melalui media massa kerana teras platform penyampaian maklumat mutakhir ini adalah melalui media massa. Sebagai contoh, penyampaian dakwah melalui penulisan boleh disebarkan melalui surat khabar, laman web, blogspot serta facebook. Dalam masa yang sama menjadi medan untuk pendakwah berkongsi ilmu dan memberi penjelasan sesuatu masalah berkaitan ilmu atau isu semasa.Selain itu, kebanyakan daripada kita mempunyai akaun dalam rangkaian facebook, maka manfaatkanlah ia sebaik mungkin, antaranya  dengan cara menulis “status” yang berfaedah dan memberi manfaat kepada orang lain.  Antara contoh lain, sebaran dakwah melalui penyampaian ceramah boleh disebarkan melalui penerbitan program khas di televisyen dan radio. Rakaman-rakaman dari ceramah boleh dimuatnaikkan ke youtube, facebook, laman web  dan lain-lain. Malahan, hari ini sudah wujud fenomena  vlogger, mereka berkongsi pendapat dan buah fikiran mereka melalui rakaman video.

         Satu kerugian umat Islam pada hari ini, penularan budaya barat yang merosakkan pemikiran umat Islam kebanyakannya bersalur melalui media massa. Penyebar “budaya kuning” telah menguasai media massa seluruh dunia sehingga membawa kepada kemunduran umat Islam hari ini. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk memerangi semula serangan pemikiran ini. Umat Islam perlu membuat satu transformasi atau anjakan paradigma dengan menjadi penguasa media massa dunia. Media massa yang selama ini dikatakan punca kemunduran umat Islam perlu diubah menjadi senjata utama kebangkitan umat Islam. Jika mereka boleh menggunakan media massa sebagai platform penyebaran kefahaman mereka,kenapa tidak kita? Kenapa tidak umat Islam memerangi semula serangan pemikiran ini dengan mengggunakan platform yang sama? Tambahan pula, platform ini tidak bertentangan dengan ketetapan syara’. 

         Oleh itu, anak muda Islam terutamanya perlu bangkit  segera, manfaatkan media massa semaksima mungkin. Tidak mustahil, penguasaan umat Islam terhadap media massa adalah titik pertama kepada kebangkitan umat Islam yang dijanjikan suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger