Mahasiswa Agen Perubahan

Peranan pemuda dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara tidak dinafikan. Suara pemuda lebih di dengari lebih-lebih lagi jika berada dalam kelompok mahasiswa.

Sejarah ribuan tahun yang lampau memaparkan kehebatan barisan pemuda islam dalam memartabatkan kebenaran agama yang dianuti. Para sahabat baginda sallallahu ‘alaihi wasallam terdiri daripada golongan pemuda. Sultan Solahuddin al-Ayubi mampu menewaskan Eropah sehingga 2/3 dunia dapat dikuasai di usia yang begitu muda. Usamah bin Zaid, berusia belasan tahun sewaktu diangkat menjadi panglima perang ketika menentang tentera Rom di Syria. Di Malaysia pula, mahasiswa merupakan lidah dan suara masyarakat dalam mengetengahkan kehendak rakyat kepada pemerintah pada era 70-an. Gelombang reformasi di beberapa Negara arab pada tahun 2011 termasuk di Malaysia adalah hasil cantuman semangat golongan muda terutamanya mahasiswa. 
  
Mahasiswa adalah golongan yang menuntut di institusi pengajian tinggi dalam pelbagai bidang. Sinonim dengan ilmu, golongan ini dipandang tinggi oleh masyarakat terutamanya azhari dan azhariyyah. Situasi ini merupakan batu loncatan bagi mahasiswa dalam menumpahkan khazanah ilmu yang dicari ke arah pembangunan ummah. Ini kerana suara mereka lebih didengari berbanding golongan berusia. 

Kedatangan bulan Mac melontarkan kita ke daerah tragis lampau kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah.  3 Mac 1924, mana mungkin sejarahnya terhakis dari ingatan umat Islam masa lalu dan kini.
Menyingkap sejarah kegemilangannya, kerajaan Turki Uthmaniyyah pernah melalui zaman keunggulannya hampir 800 tahun, Lebih-lebih lagi selepas pembukaan kota kostantinople pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad  al-Fateh terus melalui frasa kecemerlangan. Kemakmuran negara di bawah perlaksanaan undang-undang Sang Pencipta berterusan sehingga pemerintahan Sultan Suleiman II (Sulaiman  al-Qanun). 

Turki Uthmaniah merupakan wilayah besar yang meliputi Eropah, Afrika, Asia Kecil  mengalami kemerosotan pada tahun 1566 selepas kemangkatan Sultan Suleiman al-Qanuni. Tambahan lagi selepas tewasnya tentera Uthmaniyyah dalam peperangan di Vienna pada tahun 1683. Perpaduan Islam mula retak. Akhirnya tersungkur jatuh kemegahan wilayah Negara Islam  yang selama ini ditakuti musuh-musuh Islam selepas melalui beberapa siri hitam.

Persoalannya, adakah peristiwa pedih ini sekadar di ingat di kenang, dengan guguran air mata sebak membuak-buak tanpa sesuatu untuk mengembalikan kegemilangannya tiada dalam rangka kehidupan?

Menegakkan Daulah Islam bukan semudah merangka pelaksanaannya, bahkan lansung tidak akan tertegak dengan hanya perancangan yang sekadar mapan di hujung lidah.

Dalam hal ini mahasiswa harus meneladani ke akraban panglima perang Islam zaman silam dengan al-Khaliq. Berhati-hatilah, perancangan yang hebat tanpa pedoman yang di pohon dari Allah tidak akan melamar nusrahNya. Lazimi solat tanpa bersendirian, hadiri muzakarah berkelompok yang menyumbang  thaqafah dan banyak lagi. Isu semasa dunia Islam pula perlu di cakna agar sensitiviti terhadap permasalahan ummah sebati dalam diri lalu di terjemahkan dalam doa. 

Pelbagai strategi yang terancang perlu di rangka oleh golongan mahasiswa. Sudah tentu bukan dari sudut ketenteraan tetapi dari sudut kemantapan ilmu. Penguasaan dalam pelbagai cabang ilmu agama tidak sepatutnya di remehkan. Lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan dengan amalan seharian antaranya ilmu akidah.

Kesempatan mengaut mutiara berharga peninggalan ulama silam di bumi kiblat ilmu ini bagi azhari dan azhariyah seharusnya di gunakan dengan sebaik mungkin. Merupakan antara agen perubah ummah seterusnya mengangkat kembali kedudukan dan kegemilangan Islam, ilmu yang di buru seharusnya di senergikan dengan keikhlasan. Bukan sekadar memenuhi hasrat orang tua ataupun demi sekeping pengiktirafan lewat konvokesyen serta inginkan kedudukan.

Satu kerugian jika mahasiswa hanya belajar semata-mata tanpa mencambahkannya melalui integrasi yang wujud di alam kampus. Percampuran dengan rakan-rakan berlainan negeri di dalam kuliah juga satu peluang yang baik. Hal ini demikian kerana proses perkembangan minda turut berlaku dengan pertukaran kefahaman secara sihat.

Mengembalikan Khilafah Islamiyyah bukanlah tugas individu tetapi merupakan usaha yang berbentuk jama’i (organisasi). Organisasi tersebut mestilah memiliki fikrah dan manhaj yang benar dan jelas bagi memastikan ianya bergerak di atas jalan yang sepatutnya.
Ketepikan tohmahan dan sinis pandangan sesetengah pihak terhadap kepentingan berorganisasi. Ini kerana ilmu bermasyarakat akan di perolehi melalui persatuan. Kepimpinan yang baik dalam diri akan terhasil melalui kemahiran menguruskan persatuan. Selain itu juga proses kematangan seseorang akan bercambah melaluinya.

Melalui keistimewaan berpersatuan inilah yang akan memudahkan mahasiswa mendepani masyarakat tanpa kaku. Mahasiswa akan lebih mudah menaburkan benih dakwah yang terlebih dahulu di adun rapi di dalam acuan manhaj yang sesuai untuk masyarakat.

Antara lain peranan yang perlu dimainkan oleh mahasiswa adalah persiapan akhlak dan penerapan nilai-nilai Islam. Nilai-nilai ini perlu disuburkan dalam diri kerana akidah yang benar akan mencerminkan akhlak yang mulia lagi luhur. Pembinaan keterampilan pula tidak harus di ketepikan kerana ianya mampu memberi nilai tambah dalam menyampaikan risalah Islam. 

Tumpuan utama mahasiswa bukan sekadar tertumpah kepada lapangan ilmu semata-mata bahkan keterlibatan mereka dalam gerakan Islam turut menjadi suatu kewajipan. Justeru pinggirkan segala bentuk aktiviti yang tidak memberi sebarang manfaat. Jadilah pemuda yang bermanfaat untuk Islam dan ummah. Akrab dan mesrailah gerakan Islam dengan serahan tenaga, material dan idea serta kepatuhan terhadap arahan pimpinan. Hanya jika anda yang bergelar mahasiswa ingin melihat kembali Islam mengharmonikan dunia.

Namun perlu diingat, Daulah Islam tidak akan tertegak di bumi nyata sebelum ianya tertegak dalam diri kita selaku pemegang amanah ilmu.

Resapi pesanan as-Syahid Imam Hasan al-Banna, pemimpin mahasiswa yang ulung,
“Bersungguh-sungguhlah dalam belajar, istiqamahlah dalam melaksanakan Islam, dan taburkanlah kasih sayang sesama islam.”

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger