Islam Tamadun Hakiki


Ketamadunan manusia yang hakiki ialah Ketamadunan Islam. Ketamadunan yang selain daripada Islam tidak menjamin keamanan dan kesejahteraan yang benar-benar bertepatan dengan fitrah kemanusiaan. Ia mungkin maju dalam bidang material tetapi mundur dalam jiwa dan rohani.

Ketamadunan Islam dinisbahkan kepada agama Islam kerana ia bertunjangkan kepada ajaran Al-Quran, As-Sunnah dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w yang merupakan cara hidup manusia yang sebenar.

 Ketamadunan atau kemajuan yang tidak berasaskan kepada unsur-unsur penting ini tidak diiktiraf sebagai Ketamadunan Islam bahkan hanya merupakan ketamadunan sesuatu bangsa atau kelompok manusia yang lebih bersifat kedaerahan.

Agama Islam adalah agama yang sempurna dan di iktiraf oleh Pencipta kepada seluruh. Allah s.w.t berfirman yang maksudnya:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu (Islam) dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepadamu” (Al-Maidah-3)

Islam juga merupakan fitrah bagi manusia. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus (Islam)” (Rum:30)

Ketamadunan Islam boleh juga difahami sebagai kemajuan yang berasaskan aqidah yang meliputi keimanan kepada rukun iman yang enam dan ia juga membawa maksud amalan-amalan yang bertepatan dengan aqidah tersebut.

Dari sudut perlaksanaan, ia terbahagi kepada dua. Pertama; aspek yang tetap dan tidak berubah iaitu bidang aqidah atau keimanan dan amal yang termasuk di dalamnya Islam, ihsan, adil, syura, amar maaruf, nahi mungkar, kemuliaan akhlak dan jihad pada jalan Allah. Manakala aspek yang kedua ialah perkara-perkara yang boleh berubah iaitu ijtihad, hukum yang berkait dengan qias, masolih mursalah dan sadduz zarai’e. Keempat-empat perkara ini boleh berubah mengikut kesesuaian masa dan tempat berpandukan kaedah yang telah ditetapkan kerana Islam meraikan kehendak manusia.

Perubahan-perubahan yang dibenarkan itu berasaskan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud “Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu” (Al-Maidah-6) 

Rasulullah s.a.w bersabda daripada Abi Hurairah r.a : “Hikmah itu barang kehilangan orang mukmin apabila ia memperolehinya maka dialah yang lebih berhak terhadapnya” (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Hadis ini membenarkan orang mukmin menggunakan kemudahan yang dicipta oleh manusia tanpa mengira kedudukan dan asal mereka.

Terdapat banyak kaedah Usul Feqh yang mengukuhkan perkara ini bahkan memberi peluang kepada manusia untuk melakukan perubahan dalam kehidupan mereka. Antaranya kaedah yang bermaksud, “Jalan yang membawa kepada haram adalah haram dan jalan yang membawa kepada halal adalah halal”

Kaedah yang lain menyatakan, “Sebab-sebab ditegah adalah sebab-sebab yang membawa kepada kerosakan bukan sebab-sebab kemaslahatan seperti juga sebab-sebab pensyariatan adalah sebab-sebab yang membawa kepada kemaslahatan bukan kerosakan”. Banyak lagi kaedah lain yang tidak disebutkan di sini.

Sebagai rumusan, asas kecemerlangan tamadun secara umumnya bertitik tolak daripada kepercayaan, agama, nilai, akhlak, moral, etika, tatasusila dan ilmu pengetahuan. Manusia sebagai pelakon utama dalam pembinaan tamadun harus menjalin hubungan yang rapat dengan Tuhan dan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger