Hidupkan Hari Jumaat Anda Dengan Kebaikan

0 comments

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan an-Nawawi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi.)
Read More..

Indahnya Solat Berjemaah

0 comments

Firman Allah s.w.t : “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian,serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang yang diharapkan termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.(Surah at-Taubah :18)

Solat berjemaah merupakan salah satu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Dari segi bahasa membawa maksud solat secara berkumpulan. Dalam fiqh, solat itu dikira berjemaah walaupun hanya dua orang sahaja yang menunaikan solat tersebut. Maka perlulah kita hidupkannya di dalam kehidupan seharian kita selaku seorang insan yang bergelar muslim.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam memberi hukum tentang solat berjemaah ini. Ada yang mengatakan wajib,ada yang mengatakan sunat,ada yang mengatakan ianya adalah sunat muakkad(yang dituntut). Perselisihan ini membuktikan betapa pentingnya solat berjemaah itu kepada kita kerana ganjaran bagi yang menunaikan solat secara berjemaah sangat berbeza dengan solat bersendirian. Sabda Nabi Muhammad s.a.w daripada Ibnu Umar r.a : “Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda” Riwayat Bukhari dan Muslim. Hadis ini ada juga perbahasan ulama yang mengatakan dengan dua puluh lima kali ganda pahala maka membuktikan betapa besarnya ganjaran yang Allah taala berikan kepada sesiapa yang menunaikan solat secara berjemaah.

Selain itu, solat berjemaah ini mempunyai banyak faedah kelebihan kepada kita lebih-lebih lagi sebagai mahasiswa. Perlu kita pupuk dari awal supaya budaya solat berjemaah menjadi darah daging kita yang sangat sukar untuk kita tinggalkan. Antara kelebihan-kelebihan kita dapat jika menunaikan solat secara berjemaah ialah:

1)Saling kenal mengenali antara satu sama lain. Apabila kita pergi ke masjid kita akan berjumpa ramai sahabat-sahabat kita yang sudah lama kita kenal, baru kenal ataupun tidak kenal langsung. Maka masjid adalah ‘Rumah’ yang pintunya tidak pernah ditutup pintunya untuk menerima tetamu tidak seperti rumah kita. Jika kita tidak mengenali seseorang itu mustahil kita akan menjemputnya masuk ke dalam rumah kita dengan selamba.

2)Saling tampung menampung pahala khusyuk antara satu sama lain. 
Jika kita menunaikan solat berjemaah, tidak semua yang mendapat khusyuk dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Ada yang khusyuknya pada doa iftitah, ada yang khusyuknya pada rukuk, ada yang khusuknya pada sujud dan yang tidak khusyuk langsung.jadi ada pelbagai tempat  dan keadaan seseorang itu akan merasai khusyuk dalam solat dan secara automatik pahala khusyuk akan dapat. Maka dengan solat berjemaah ini akan saling tampung menampung pahala khusyuk dalam solat. Jika solat bersendirian kita memang tidak boleh kelebihan seperti ini.

3)Hadith Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan daripada Anas r.a : “Sesiapa yang solat selama empat puluh hari dalam jemaah yang tidak luput dari takbiratul ihram, maka Allah menuliskan(mewajibkan) baginya kelepasan : kelepasan dari munafiq dan kelepasan dari neraka”.

4)Allah taala akan memberi cahaya dalam kegelapan hari akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w : “Bergembiralah orang yang berjalan dalam gelap untuk ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”.Para ulama’ memberi maksud pada ‘ solat yang gelap’ialah solat subuh dan asar.

5)Dijanjikan oleh Allah taala dengan ganjaran syurga. Siapa yang tidak mahu masuk syurga. Hanya orang yang otaknya terputus wayar sahaja tidak mahu masuk syurga. Ini adalah janji Allah maka perlulah kita merebutnya kerana peluang tidak datang berkali-kali. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan dari Abi Musa r.a : ”Sesiapa yang melakukan dua solat yang sejuk secara berjemaah akan memasuki syurga”. Dua solat yang sejuk ialah solat subuh dan asar.

Ini adalah sedikit daripada kelebihan yang Allah taala ganjarkan jika kita melakukan solat secara berjemaah. Kalau nak dihimpunkan memang terlalu banyak kelebihan tentang solat berjemaah ini. Namun begitu, jangan kita lupa yang Rasulullah s.a.w pernah memberi ancaman kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak menunaikan solat secara berjemaah maka kita jadikan ancaman itu sebagai motivasi untuk berusaha sebanyak mungkin untuk menunaikan solat secara berjemaah.
Di dalam fatrah imtihan ini mari kita panjatkan munajat kita kepada Allah disamping usaha kita mengulangkaji pelajaran. Allah taala sangat suka kepada sesiapa yang selalu meminta-minta kepadaNya. Tidak seperti kita kalau sahabat kita meminta apa-apa daripada kita setiap masa sudah tentu bukan sahaja maki hamun yang kita berikan tetapi periuk dan kuali juga akan sampai ke muka sahabat kita. Bila kita mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang dan tenteram kerana lidah kita basah dengan zikrullah akan melahirkan rasa rendah diri, hilang ego kita dan pengharapan kita kepada Allah itu akan semakin tinggi.

Semoga kita memanfaatkan nikmat yang Allah taala berikan dengan melakukan amal-amal soleh supaya kita boleh mendapat cinta Allah kerana cinta Allah tiada tandingan dari cinta-cinta yang lain.

“Jangan kita lupakan Allah takut-takut Allah akan lupa pada kita”



Muhammad Bukhari bin Yahaya

Pengarah Unit Biah Solehah PMRAM 2011
Read More..

Kelebihan Menghidupkan Jumaat

0 comments
Kita selalu mencari kesenangan duniawi namun kesenangan akhirat kita kurang memberi perhatian.Mudah mudahan kita dapat melakukan sedikit sebanyak amalan yang sunat dengan ikhlas kerana Allah untuk menambah pahala ganjaran dari Allah taala..Mari kita manfaatkan Jumaat yang Allah kurniakan kepada kita takut-takut ianya adalah Jumaat yang terakhir buat kita..Sama-sama kita amalkan..
Read More..

Kerana Dirimu Begitu Berharga

1 comments

Lebih 1400 tahun yang lalu, sebuah cara hidup bernama Al-Islam telah lahir lantas menobatkan manusia di tempat sewajarnya, tidak lagi dibelenggu Jahiliah, tidak lagi diseret ke makam terendah. Agama Islam telah meninggikan semula martabat golongan wanita, dan pernyataan ini bukanlah hakikat yang mampu ternafikan.

Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berjaya menyempurnakan budi pekerti kaum lelaki. Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah SAW telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada ibu mereka.

Justeru, wanita solehah tidak boleh sembarangan mencintai lelaki. Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah pembela nasib kaum wanita. Baginda telah mengangkat martabat kaum wanita daripada diperlakukan dengan kehinaan pada zaman Jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.

Bahkan lagi, sebagai salah satu tanda kasih Baginda SAW terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya ahli keluarga mereka. Rasulullah SAW sendiri menjadikan diri dan keluarga baginda SAWN suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.

Rasulullah SAW bersabda,

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lagi sabda Rasulullah SAW,

“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)

Lebih istimewa, apabila wanita solehah itu sendiri dianggap lebih baik daripada bidadari syurga. Kenalkah anda siapa bidadari syurga?

“Dan di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka ( penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin.”- QS. Ar-Rahman : 56

“ Seakan-akan bidadari itu permata yaqut dan marjan” – QS. Ar-Rahman : 58

“ Sesungguhnya Kami menciptakan mereka ( bidadari-bidadari ) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya”- QS. Al-Waqiah : 35-37

Sabda Rasulullah SAW:

(...Seandainya salah seorang wanita penduduk syurga menengok penduduk bumi, nescaya dia akan menyinari keduanya ( penduduk syurga dan penduduk bumi ) dan akan memenihinya dengan bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya ) ( HR. Bukhari dari Anas bin Malik RA )

Jadi, percayakah anda, bahawa insan lemah bernama wanita, seandainya dialah wanita solehah, maka dia lebih unggul daripada bidadari syurga.

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang): ( Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari? Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”

Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)

Demikianlah tingginya darjat wanita solehah, sehingga dikatakan lebih baik daripada bidadari syurga. Maka, amat malang sekali seandainya wanita itu meletakkan dirinya kembali ke kancah Jahiliah, merendahkan martabat diri sendiri dengan meninggalkan saranan-saranan agama, sedangkan kelebihan mentaati agama itu jauh lebih istimewa daripada ketaatannya itu.

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

Baginda S.A.W bersabda lagi:

“Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Demikianlah, wahai wanita, kerana apa? Kerana dirimu begitu berharga!

Oleh :
Zakiatun Nazneen
Mahasiswi Universiti Al-Azhar Cawangan Iskandariah
Read More..
 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger