Fekah: Wanita, tudung dan perhiasan


Rata-rata kita mengetahui bahawa hukum bertudung itu adalah wajib, namun dari segi praktikalnya, muslimah kita masih belum dapat memahami secara tepat bagaimana cara pemakaian tudung yang dikehendaki oleh agama islam. Bahkan, lebih menyedihkan lagi, muslimah yang kita harapkan menjadi contoh wanita di dunia ini telah gagal menjadikan pemakaian tudung sebagai tanda ketaatan kepada perintahan syarak bahkan mereka menjadikan tudung hanya semata-mata tuntutan fesyen dan gaya terkini.
Apabila kefahaman terhadap isu tudung tidak berjaya dikuasai oleh muslimah, maka su tabarajjuj (make-up/berhias diri) juga akan terbias. Ini dapat dilihat di sekeliling kita, apabila wanita muslimah dapat diketogerikan kepada tiga golongan utama ;
1-    Bertudung dan bijak berhias diri
2-    Bertudung tetapi tidak mengikut panduan syarak
3-    Tidak bertudung
Kategori pertama adalah golongan yang terbaik sekali, mereka telah menuruti perintah hukum seperti yang akan dinyatakan selepas ini.
Manakala katogeri kedua dan ketiga dianggap gagal kerana mereka tidak berjaya memahami kehendak syarak dalam isu bertudung dan menutup aurat.
Bila ditanya, mengapa memakai tudung tetapi masih berpakaian ketat, sendat dan mengiurkan? Mereka menjawab dengan mudah "untuk menutup aurat", subhanaallah.. niat yang baik namun praktikal yang kurang tepat.

Hukum bertudung menurut Al-Quran dan As-Sunnah?
Siapa sahaja dari kalangan umat islam pastinya mengetahui hukum kewajipan bertudung dan menutup aurat, namun apakah pula yang disebutkan oleh Al-quran tentang isu ini?
Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nur, ayat 31 bermaksud;
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak- anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan.” (H.R Abu Daud)
Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi yang telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk surga dan tidak akan mencium baunya“ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Etika bertudung dan berhias diri
Secara ringkasnya, pemakaian tudung dan menutup aurat itu perlu dipenuhi oleh beberapa etika penting :
1-    Menutup seluruh tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan
2-    Memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat
3-    Tidak terlalu menarik perhatian orang
4-    Tidak menampakkan susuk badan apabila bergerak

Imej Muslimah
Bertudung dan berhias diri dengan menuruti tuntutan syarak itu dapat memberikan imej yang baik dan murni kepada wanita islam, mengapa? Kenapa?
Wanita di dunia kini telah dirosakkan oleh masyarakat dunia, maruah mereka dikorbankan, watak mereka digondolkan sehinggakan wanita dijadikan simbol yang tidak baik oleh beberapa golongan manusia berotak kuning dan berfikiran hedonisme.
Lihat sahaja masyarakat barat, wanita mereka dibogelkan, menjadi lambang seks, diperagakan disana-sini, menjatuhkan maruah wanita!!. Oleh itu, mereka bukanlah masyarakat yang dapat dijadikan contoh tauladan.
Justeru , Islam memberikan panduan yang praktikal dan terbaik bagi menjaga maruah wanitanya. Wanita dijaga seperti barangan asli yang disimpan didalam balang kaca beralaskan baldu merah lembut dan mahal. Oleh itu, wanita islam harus berbangga dengan kemuliaan sebegini.
Tuntasnya, menutup aurat dan berhias diri menurut kefahaman syarak itu adalah kewajipan yang penting untuk difahami dan dipraktikkan oleh seluruh umat islam, semoga dengan usaha kita mentaati perintah Allah SWT, kita akan digolongkan dalam golongan yang menunjukkan imej peribadi muslim muslimah contoh bagi ummat manusia yang semakin hari kian rosak.

UBS PMRAM cawangan Dumyat

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger