Solat berjamaah perintis segala kebaikan

Oleh      : Ahmad Muzani Abd Rahman,
Kelolaan : Mutmainnah

Pada hari ini kita sering berkata mengenai biah solehah yang mana ianya memang tidak dapat disangkal lagi sebagai sesuatu yang amat penting di dalam memainkan peranan membentuk akhlak islamiah. Maka perlu kita sedari di sana terdapat satu perkara yang perlu kita ambil berat kerana ianya merupakan perintis segala kabaikan. Jika baik ianya maka baiklah segala amalan yang kita lakukan. Justeru, perkara tersebut adalah solat.

 Sabda nabi junjungan SAW,
   Perkara pertama yang akan dipersoalkan di hadapan Allah pada hari kiamat kelak adalah solat, jika baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya dan jika rosak solatnya maka rosaklah sekalian amalannya”. (Hadis riwayat atTabrani.)

Maka sudah tentu menjadi muhasabah buat kita semua bahawa jika ujian yang paling awal yang dikenakan oleh Allah SWT terhadap kita sudah tidak dapat dilalui dengan jayanya maka apakah mungkin kita akan berjaya untuk menempuh persoalan-persoalan yang seterusnya. Justeru, akan ramailah mereka yang akan gagal di hadapan Allah nanti dek khalal mereka terhadap solat.

Seterusnya kita sering terdengar persoalan mengenai firman Allah SWT,
   “Bacakanlah wahai Muhammad apa yang diwahyukan oleh Tuhanmu yang terdapat di dalam Al-Quran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada berlakunya perkara fahsya’ dan mungkar, dan mengingati Allah itu adalah satu perkara yang teramat besar dan Allah maha mengetahui apa yang kamu lakukan”. ( Surah al-Ankabut ayat 45).

Persolan yang timbul adalah mengapa tetap ada mereka yang melakukan maksiat seperti berikhtilat, menyalahgunakan teknologi serta bermusuh-musuhan antara satu sama lain sedangkan mereka telah mendirikan solat?.

Maka al-‘Allamah as-Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni hafizahullah telah menafsirkan ‘solat’ di dalam ayat di atas adalah solat yang sempurna syarat dan rukun serta adabnya. Maka apabila kita sempurna dan lengkap dengan semua syarat-syarat ini akan timbullah tiga perkara yang disebut oleh Abu ‘Aliah (di dalam kitab Sofwatut tafasir) iaitu al-Ikhlas, al-khasyyah(takut) dan zikrullah. Seterusnya bagi mereka yang tidak sempurna solat mereka maka akan berlakulah sebaliknya. Oleh kerana itu ramai yang mendirikan solat tetapi masih melakukan maksiat yang nyata.

Maka al-ikhlas itulah yang menyerunya kepada ma’ruf, dan al-khasyyah menghalang dirinya dari melakukan mungkar seterusnya zikrullah mengarahkannya kepada kebaikan dan menghalang dari kemungkaran.
Seterusnya haruslah kita ingati bahawa di dalam solat terdapat dua natijah yang perlu kita gapai iaitu sah di sisi hukum feqah dan maqbul di sisi Allah. Maka untuk menjadikan solat kita sah di sisi hukum feqah maka haruslah didirikan solat sesempurna yang mungkin mengikut segala syarat (sebelum solat) dan rukun (dalam solat). Tetapi untuk mendapat maqbul daripada Allah maka harus ditambah dengan satu perkara lagi iaitu khusyu’ dan hadir hati kita ketika menghadap Allah.

 Firman Allah SWT,
     “Sesungguhnya telah berjaya orang beriman yang khusyu’ di dalam solatnya”.
Maka apabila kita solat sendirian penerimaan daripada Allah akan kita dapat hanya apabila kita khusyuk. Tetapi bagi mereka yang melakukannya secara berjemaah maka penerimaan oleh Allah telah dijamin olehya.

Sabda nabi Muhammad SAW,
     “Solat berjamaah itu afdhal daripada solat secara sendirian dengan gandaan 27 darjat”.
(Hadis riwayat as-syaikhan).

Tambahan lagi bagi mereka yang bersolat jemaah dan sempat takbiratul ula dengan imam. Maka lebih besarlah ganjarannya di sisi Allah.

Sabda nabi Muhammad SAW,
      “Barangsiapa yang solat secara jemaah dan mendapat takbiratul ula selama 40 hari secara berturut-turut maka akan diberi dua pelepasan oleh Allah iaitu pelepasan daripada api neraka dan sifat munafiq”.

Begitulah peri pentingnya solat berjamaah di dalam hidup kita. Bahkan solat tidak hanya mengajar kita menjadi hamba di dalam solat akan tetapi falsafah daripada solat itu harus terus dibawa ke luar solat. Di dalam solat jemaah kita mempunyai imam dan makmum yang memainkan peranan masing-masing. Di dalam solat jemaah juga terdapat lelaki dan perempuan lalu Islam mengajar agar ianya diasingkan kerana dua jenis manusia yang saling bertarikan ini tidak boleh dicampuradukkan.

Imam perlulah mengikut kriteria yang ditetapkan sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab feqah seperti kitab ‘Umdatus Salik Wa ‘Uddatun Nasik oleh Syeikh Ibnu Naqib al-Misri hafizahullah. Beliau menyebut 11 ciri mereka yang perlu diutamakan untuk menjadi imam dan ciri yang pertama adalah ‘afqah’ iaitu mereka yang lebih faqih dalam agama. Maka begitulah juga di luar solat kita mesti memilih pemimpin yang faham tentang Islam dan membawa dasar Islam.

Makmum pula wajib mengikut imam selagi imam tidak melakukan kesalahan. Jika imam melakukan kesalahan maka wajib ditegur dan sekiranya tiba keadaan wajib mufaraqah maka wajib mufaraqah. Begitulah juga di luar solat, kita wajib mentaati pemimpin selagi mana tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

 Firman Allah SWT,
     “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul (secara mutlak) dan pemimpin dalam kalangan kamu”.
Dan firmannya lagi,
      “ Pada hari dibalikkan wajah mereka ke dalam api neraka mereka berkata kami berharap agar dapat (balik semula) untuk mentaati Allah dan rasul kami. Dan mereka berkata sesungguhnya kami dulunya telah mentaati pemimpin-pemimpin kami (yang salah) maka kami disesatkan jalan olehnya”.

Maka dua ayat ini mengajar kita supaya mentaati pemimpin akan tetapi apabila bertembung dengan perintah dan larangan Allah maka wajib kita utamakan Allah dan rasul.

Begitulah juga dengan hikmah yang Allah ajar kepada kita di dalam solat iaitu pengasingan di antara lelaki dan perempuan di dalam solat dengan pakaian yang menutup aurat. Justeru, begitulah sepatutnya yang kita amalkan di luar solat dalam erti kata tidak berikhtilat dengan golongan ajnabi seperti berdua-duaan, melembutkan suara yang boleh memberi fitnah kepada lelaki, tidak menjaga pandangan, ber‘chatting’ perkara yang tidak penting serta banyak lagi.

Firman Allah SWT,
    “Dihiasi seorang manusia itu dengan kasih (syahawat) kepada wanita”.

Maka dua jantina yang saling mempunyai daya tarikan ini haram untuk kita campuradukkan urusan mereka seperti pergaulan bebas diantara mereka. Oleh kerana itu digunakan tabir untuk mengasingkan diantara lelaki dan perempuan di dalam solat. Mengapa? Kerana fitnah perempuan itu besar sehinggakan wanita lebih pahalanya untuk bersembahyang di rumah.

 Sabda nabi SAW,
     “Seorang perempuan itu apabila ia lebih tersembunyi maka dialah yang afdhal”.

Walaupun nabi tidak melarang wanita untuk ke masjid, namun yang terlebih pahalanya adalah wanita yang sembahyang di rumah.

Kesimpulan daripada contoh yang terhad yang dapat kita lihat di atas, segala perbuatan baik dan buruk bergantung kepada khusyuk atau tidak kita dalam sembahyang. Jika buruk sembahyang kita pada hari itu maka buruklah segala amalan yang kita lakukan pada hari tersebut. Justeru, marilah kita sama-sama menghidupkan suasana solat berjemaah kerana di sana ada janji Allah buat mereka yang lakukan yang terbaik untuk Allah. Kita perteguhkan lagi akhlak islamiah kita dengan memulakannya dengan solat secara berjemaah.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger