Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ke-43 Lubuk Khazanah Para Ulama'


Dalam kehangatan Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ke-43 yang sedang berlangsung, jelas keterujaan para pencinta ilmu memburu khazanah-khazanah berharga tinggalan ilmuan terdahulu atau sarjana masa kini. Benarlah seperti yang pernah diungkapkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW bahawa dua golongan yang tidak pernah kenyang dan puas ialah pengumpul harta dan penuntut ilmu. Dalam usaha mendalami dan memahami lautan ilmu yang luas, para penuntut perlulah terlebih dahulu mengetahui serba sedikit tentang pembahagian ilmu pengetahuan secara umum dan kunci-kuncinya. Syeikh ‘Alawi al-Saqqaf dalam kitab al-Fawaid al-Makkiah karangannya ada menyebut tentang empat      pembahagian ilmu iaitu :-

1.    Syar’iyyah – Tafsir, Hadis dan Fekah
2.    Kesusasteraan – Bahasa, Nahu, Sorof, dll.
3.    Latihan – Tasawuf, Matematik, Muzik, Politik, dll.
4.    Akal – Mantiq, Usul al-Fiqh, Usuluddin, Perubatan, Falsafah, dll.

Terdapat empat syarat utama yang digariskan oleh Syeikh ‘Alawi al-Saqqaf perlu diberi perhatian atau sebagai kunci empat mata iaitu :-

1.    Guru yang menerang
2.    Akal yang jernih
3.    Kitab yang sahih
4.    Berterusan dalam mengulang kaji

Kitab yang sahih atau betul adalah syarat yang penting kerana mampu membantu dalam penghasilan ilmu dan sebagai satu cara mengekalkannya kerana sesuatu yang ditulis akan kekal, manakala sesuatu yang dihafaz akan mudah hilang.  Tambahan pula, para ulama’ menyatakan bahawa hukum menulis ilmu adalah fardhu kifayah. Sahih yang dimaksudkan di sini ialah kitab tersebut tidak terdapat padanya cacat cela seperti kekurangan atau telah diseleweng isinya.

    Sewajarnya bagi penuntut ilmu untuk mendapatkan kitab yang diperlukannya sama ada dengan cara membeli, menyewa, atau meminjam. Kitab yang diperoleh secara pinjaman perlulah dijaga dengan sebaiknya dengan tidak menulis atau mencatat sesuatu di atas kitab tersebut kecuali dengan izin pemiliknya. Peminjam perlu memulangkan kembali kitab apabila diminta oleh pemiliknya, berterima kasih dan memberinya sebarang ganjaran walaupun hanya sekadar doa.


    Adab-adab dalam menyusun kitab di atas rak juga ditik beratkan oleh para ulama’ dengan diletakkan mengikut kemuliaan ilmu dan pengarangnya. Mushaf al-Quran perlulah diletakkan di atas rak yang tertinggi, diikuti kitab Tafsir, Hadis, Syarah Hadis, Usuluddin, Usul al-Fiqh, Fiqh, Nahu, Sorof, Ilmu al-Ma’ani, al-Bayan, al-Badi’, dan seterusnya. Jika terdapat kitab-kitab yang sama dalam satu cabang ilmu, maka didahulukan kitab yang paling banyak ayat al-Quran, dan kemudian paling banyak Hadis. Setelah itu diperhatikan pula kemuliaan pengarangnya, yang mana terdahulu, dan paling banyak mendapat pujiaan di kalangan ulama’.

      Tiadalah teman yang paling bermakna dalam kehidupan seorang penuntut ilmu melainkan kitab. Kemuliaan mendampingi kitab menurut para sarjana Islam amatlah banyak sehingga tidak terkira. Bahkan seorang ilmuan dalam timbunan kitab-kitabnya menyebut jika beliau ingin berkomunikasi dengan Allah Taala, beliau akan mencapai Mushaf al-Quran. Jika ingin bersama Rasulullah SAW beliau akan mencapai kitab Hadis. Begitulah seterusnya beliau akan lakukan jika ingin berbicara dengan para ilmuan yang terdahulu atau terkemudian. Kehangatan berdamping dengan kitab bagi para ulama’ cukuplah jika digambarkan melalui syair yang dikarang.

Cukuplah penghibur kedukaan bersendirian seketika
bersama kitab, padanya penyelesai masalah sukar.
Penemanmu yang diredoi, fasih, dan pendiam,
bercakap apa dikehendaki, menjawab segala persoalan.  

Kekasih duniaku adalah kitab, tiada bagiku
selainnya, tiadalah aku faqir kerananya.
Singsananya pangkuanku tika duduk,
tika berbaring kuhamparkannya didada.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger