Fikrah dan Syakhsiah

Imam Hassan Al-Banna telah menegaskan:
"Pembentukan suatu ummah, pendidikan suatu bangsa, pencapaian cita-cita, dan pendukungan prinsip memerlukan kekuatan jiwa yang besar dari ummah atau bangsa yang ingin mencapai cita-citanya itu. Kekuatan jiwa yang terjelma dalam kemahuan yang kuat dan tak mengenal lemah; kesetiaan yang terpadu, tak mudah terpengaruh, dan tak kenal uzur; memiliki pengorbanan yang tinggi yang tak terhalang oleh perasaan tamak; mengenal serta mengimani dan memandang tinggi terhadap prinsip perjuangan sehingga seseorang dapat memelihara diri dari penyelewengan atau terpedaya oleh prinsip-prinsip lain"

     Beliau menjelaskan bahawa pembinaan syakhsiah dan fikrah ini adalah merupakan titik permulaan dalam dakwah seterusnya yang menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat umat islam. Itulah matlamat kita selaku hamba yang mengucapkan dua kalimah syahadah.
Oleh kerana itulah, Rasulullah SAW membina peribadi para sahabat melalui Qiamullail misalnya, untuk mentarbiah rohn, emosi, akal dan harakahnya melalui siri-siri tarbiyah yang panjang dan penuh liku. Namun hasilnya sangat lumayan bilamana peribadi-peribadi yang lahir dari acuan Baginda Rasulullah SAW benar-benar memasukkan diri sahabat dalam celupan ALLAH, iaitu telah masuk hidup sahabat secara keseluruhannya ke dalam agama Islam.

     
       Semuanya bermula melalui gabung-jalin antara elemen TAHU agama, kemudian MAHU beragama, seterusnya MAMPU dalam beragama. Yang mana puncaknya adalah tidak teragak-agak lagi untuk mengorbankan seluruh jiwa raganya demi menegakkan Islam dan meninggikan kalimah ALLAH di muka bumi biarpun semua menentangnya.

     Demikianlah antara proses pembinaan syakhsiah atau peribadi seorang muslim yang diharapkan. Antara 3 pendekatan yang digunapakai sepanjang proses pembinaan ini ialah:

1. PROSES AWAL 'TAHU'

       Bermula daripada tahu, kita cuba dikenalkan dengan agama melalui membaca kitab-kitab, berkongsi ilmu dan kefahaman, tazkirah, ceramah dan kuliah-kuliah yang disampaikan. Istiqamah dan iltizam sangat ditekankan ketika ini untuk mendapatkan tasawwur(worldwide) yang jelas supaya fikrah yang terbentuk mantap dan matang.

      Kekuatan asasi, iman, ilmu, jasadiah dan lain-lain perlu diteliti supaya sumber kekuatan ini dipasak sedalamnya. Ibarat membina sebuah rumah, kita mesti menanamkan tiang-tiang dan membina foundation yang kuat, supaya batu bata yang ingin kita susun menjadi bangunan yang indah dan kukuh. Selagi proses pembinaan asas ini tidak berjaya, selagi itu proses seterusnya tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Sekiranya berjaya sekalipun, bimbang akan retak atau berhenti di tengah jalan.


2. 'TAHU' YANG MENGUNDANG 'MAHU'

        Namun kita diingatkan supaya tidak tergesa-gesa dalam mencapai tujuan. Bermula dari pembinaan asas yang kukuh iaitu dari pembinaan fikrah dan syakhsiah melalui apa jua medium baik usrah, seminar, qiamullai, seterusnya disusuli dengan mereka yang mahu menyambutnya dengan baik serta menghayati agamanya.

     Perumpamaanya seperti membina rumah tadi, mereka-mereka yang sedia diajar ini meneruskan proses-proses yang seterusnya seperti menyusun batu-bata, membancuh simen, mengecat dan akhirnya terbinalah sebuah rumah. Meskipun sepanjang membina rumah tadi ada yang mentertawakan lantaran tidak kena gaya, tapi dengan keyakinan yang mereka ada bahawa mereka mesti menyiapkan sebuah rumah yang kukuh, maka semua itu tidak dipedulikan kerana yakin dengan apa yang mereka bangunkan.
Jadi soal 'mahu' inilah yang menjadikan agama Islam boleh diterjemah dengan baik dalam perbuatan hariannya, malah dibuktikan pula dengan baik. Hasilnya juga, mereka menyiapkan diri untuk dididik dan dibimbing demi menuju kesempurnaan. Benar, kita tidak boleh menjadi sempurna, tetapi kita boleh bergerak kearah kesempurnaan kebaikan.

3. SANGGUP BEKORBAN

          Meskipun pembinaan syakhsiah manusia dan pembentukan fikrahnya ini satu yang rumit, tetapi melalui pendekatan 'tahu' dan 'mahu', secara sedar atau tidak sedar akan melahirkan golongan yang mampu untuk mengorbankan dirinya atas nama ALLAH, Rasul dan Islam.

      Ketika ramai mereka yang rapuh dan futur di pertengahan jalan, golongan ini sanggup melaksanakan gerak kerja Islam dan dakwah dengan dahsyat sekali, tanpa memikirkan imbalan dunia kerana telah kembali kepada tujuan asal dakwah iaitu mencapai redha ALLAH SWT. Paling kurang, mereka mampu merealisasikan sifat fardhu muslim yang utama iaitu aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih dan akhlak yang mantap.

        Kefahaman islam yang diterima dengan jelas menggunakan konsep ini, bermula daripada mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, seterusnya membuka dirinya untuk ditarbiah dan diajar, akhirnya sedia bekorban demi cintanya pada Islam dan ummatnya. Itulah kesanggupan untuk memberi dengan ikhlas semuanya.

      Selagi ada ALLAH, tidak mustahil untuk kita membina syakhsiah dan fikrah serta pemikiran yang hebat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dengan peribadi yang baru. Apa yang perlu adalah mendapatkan kefahaman yang syumul terhadap Islam dan mewajibkan diri untuk berubah, carilah dan komited dengan tarbiyah, jangan remehkan kerana di situlah titik awal dakwah. Mulakan dengan diri sendiri, atur gerak langkah dan teruskanlah mencari hikmah, satu barang yang telah hilang dari umat islam. Dan barangsiapa yang menjumpainya, maka dialah yang berhak ke atasnya.

Yakinlah! sesungguhnya pertolongan ALLAH itu dekat. Allah berfirman yang bermaksud:

"Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad ayat 5-7)

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger