Maulid Nabi: Cinta Adalah Tanggungjawab.

Mutakhir ini ramai di kalangan umat Islam yang membicarakan mengenai cinta Nabi. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk menunjukkan tanda cinta kepada Baginda S.A.W. Namun, terkadang kita lupa yang mana sifat kecintaan yang wujud di dalam diri itu perlu diterjemahkan melalui tanggungjawab secara zahiriah.

Sepertimana yang telah digariskan dalam Al-Quran berkenaan kriteria golongan yang layak bersama Nabi Muhammad S.A.W, firman Allah SWT :

وكَاَيِّن مِّن نَّبِىٍّ قٰتَلَ مَعَه رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَاۤ اَصَابَهُم فِى سَبِيلِ اللّٰهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا استَكَانُوا وَاللّٰهُ يُحِبُّ الصّٰبِرِينَ

"Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar” (Ali Imran : 146)


Sensitif Dengan Maruah Islam.                                                                               
Inilah kriteria pertama yang telah digazetkan di dalam Al-Quran. Kerana itu para sahabat tidak membiarkan Nabi S.A.W keluar berjihad seorang diri sedangkan mereka hanya sebagai pemerhati. Cinta mereka dizahirkan bersama tanggungjawab berjihad menegakkan agama Allah samaada berjuang dengan mata pedang ataupun sebaliknya.
Sepertimana ikrar para sahabat ketika peperangan Badar, “Pergilah Engkau S.A.W bersama TuhanMu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganMu turun berjuang."
Mesti Dalam Golongan Yang Bertaqwa.
Mereka yang mengaku sebagai pencinta Nabi mestilah dalam golongan orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih mempertahankan agama yang dibawa oleh Nabi S.A.W. Berkata Dr. Yusof Al-Qardhawi “ Tegakkan Islam di dalam dirimu nescaya ia akan tertegak di atas tanah airmu.”

Gagah Perkasa, Kalis Tekanan.
Jatidiri seorang pecinta mestilah gagah dan kalis terhadap tekanan yang mendatang. Sekiranya mereka meletakkan diri mereka untuk berjihad, mereka bersedia menghadapi segala risiko dalam menghadapi kejahilan manusia. Dua remaja Ansar yang berusia belasan tahun, Muaz dan Auf bin Afra telah menawarkan diri untuk menyertai peperangan Badar. Lahir dari kecintaan kepada Nabi S.A.W., mereka telah berazam ingin membunuh Abu Jahal kerana Abu Jahal telah banyak mencaci kekasih mereka itu. Inilah sifat yang ditanamkan dalam diri para sahabat.
Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi S.A.W tidak sudi mengaku sebagai ummatNya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka.” (HR Tabarani)

Misi Mati Syahid.
Bahkan sebagai golongan yang mengaku cinta akan Nabi S.A.W perlu memiliki misi untuk mati syahid. Kerana untuk mendapatkan tiket ke syurga perlulah melalui jalan perjuangan dengan bersungguh-sungguh dalam erti kata lain, berjihad. Allah telah berfirman dalam ayat sebelumnya yang bermaksud :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?. “Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran : 142-143)

Manifestasi cinta Saidina Bilal bin Rabah menjadi teladan buat pecinta-pencinta Nabi S.A.W. Selaku juru azan di Madinah, selepas kewafatan Nabi S.A.W beliau tidak mampu menuturkan kalimah menyebut nama kekasih hati dek kerana suara yang tersekat dan menangis terlalu merindui Baginda S.A.W. Demi mengubati rindu yang amat menebal kepada Baginda, Bilal meminta izin Saidina Abu Bakar untuk keluar dari Madinah bagi menggabungkan diri dalam misi jihad membebaskan Baitul Maqdis pada ketika itu.

Realiti Kini.
Sambutan memperingati Maulidur Rasul haruslah diterjemahkan juga dalam bentuk tanggungjawab sebagaimana lisan menuturkannya. Daripada sudut akhlak, muamalat, ekonomi, sehinggalah cara mentadbir sebuah negara membentuk sebuah daulah Islamiah perlulah merujuk kepada apa yang telah ditinggalkan oleh Nabi S.A.W iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.

Syurga tidak diperolehi dengan semata-mata memuja, memuji dan merintih atas kewafatan Nabi S.A.W. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dengan perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat. Pecinta hanya layak dinobatkan kepada umatnya yang menyambung mata rantai perjuangan Baginda S.A.W. dengan semangat jihad tanpa ragu-ragu dan tidak terpesona dengan permainan musuh Islam. Kesemua kerja jihad ini memerlukan kekuatan fizikal menongkah arus kejahilan manusia yang harus dipasak di dalam diri sebati dengan keinginan hati yang mengaku mencintai Nabi.
Sepertimana kata-kata hukamak : همة الرجال قطة الجبال
“Wibawa seorang lelaki boleh meruntuhkan sebesar manapun benteng sekalipun ia berupa gunung di hadapan kita.”

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger