Punca Perbuatan Maksiat

            Imam Muslim meriwayatkan daripada Al-Nu'man Bin Basyir r.a. berkata beliau: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Perkara Yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar), yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menghindari perkara-perkara yang syubhat (yang samar), maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya, dan sesiapa yang jatuh pada perkara-perkara yang syubhat, maka ia pasti jatuh pada yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir ia memasukinya. Sesungguhnya setiap kerajaan mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah bahawa di dalam jasad ada segumpal daging, yang jika ia elok maka eloklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati". 

             Perkataan ‘akhlaq’ asal daripada khuluq yang dari segi bahasa ertinya perangai, tabiat, adat, maruah dan agama. Adapun dari segi istilah, Ibnu Miskawaihi mentakrifkan khuluq sebagai sifat yang sempurna di dalam jiwa yang sentiasa mengajak melakukan
perbuatan tanpa berfikir. Imam Ghazali pula mentakrifkannya sebagai satu bentuk atau keadaan (hai'ah) yang tetap atau melekat di dalam jiwa, daripadanya keluarlah perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa berfikir. Apabila daripada hai'ah tersebut keluar perbuatan-perbuatan yang baik lagi terpuji, sama ada mengikut pandangan syara' atau akal, maka hai'ah tersebut disebut akhlaq yang baik. Tetapi apabila daripada hai'ah itu keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka hai'ah tersebut disebut akhlaq yang buruk. 
Sifat dalam jiwa dan kesannya pada anggota badan
 
             Akhlak mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas Suluk atau tingkah-laku dan perbuatan-perbuatan yang keluar daripada manusia. Imam Ghazali menyatakan bahawa, setiap sifat yang ada di dalam jiwa atau hati akan menampakkan kesannya pada anggota-anggota badan, sehingga anggota-anggota badan tersebut tidak bekerja melainkan mengikut sifat yang ada di dalam jiwa atau hati tersebut. Dengan demikian, jelaslah bahawa punca daripada segala perbuatan manusia, sama ada yang baik atau pun buruk, sama ada berupa kebajikan ataupun ma'siat, pahala atau dosa, adalah datang daripada sifat-sifat yang ada di dalam jiwanya. Imam Ghazali berkata lagi bahawa manusia
mempunyai sifat-sifat yang banyak, tetapi yang menjadi punca perbuatan ma'siat atau dosa ada empat sifat, iaitu: sifat rububiyah (ketuhanan), sifat syaitaniyah (kesyaitanan), sifat bahimiyah (kebinatangan), dan sifat sabu'iyah (kebuasan). Hal yang demikian disebabkan kerana perwatakan manusia diadun dan digaul daripada campuran yang bermacam-macam. Setiap satu daripada campuran dalam adunan tersebut mempunyai kesannya. 
Pertama: Dari kumpulan sifat-sifat rububiyah, muncullah sekumpulan daripada dosa-dosa besar, seperti riya', sukakan pujian, takabbur, cintakan kedudukan, kepimpinan dan pengaruh, suka memaksa, sukakan kekayaan, menghinakan atau merendahkan orang lain dan lain-lain seumpamanya.
Imam Abu Daud, Ibnu Majah, dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasullah SAW bersabda:
"Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kesombongan itu adalah pakaianKu, dan kebesaran itu adalah selendangKu. Barangsiapa yang menyaingi Aku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka". 
Imam Muslim, Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda.
"Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah daripada kesombongan".
 
Kedua: Dari sifat-sifat syaitaniyah, muncul sifat dengki, zalim, muslihat, tipu, mengajak kepada kerosakan dan kemungkaran, hipokrit, menyeru kepada bid'ah dan kesesatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Dari sifat-sifat bahimiyah, muncul sifat tamak, rakus, garang, gemar memuaskan syahwat, yang muncul daripada zina, liwat (homosek), mencuri, memakan harta anak yatim dan lain-lain seumpamanya. 

Keempat: Dari sifat-sifat sabu'iyah, muncul sifat marah, dendam, menceroboh, bergaduh, memaki, membunuh dan memusnahkan harta. 

             Kemunculan sifat-sifat ini adalah secara beransur-ansur yang bermula dengan sifat bahimiyah, dan sifat sabu'iyah. Apabila berkumpul kedua sifat ini, maka akan berlakulah manipulasi akal dalam menipu, membuat helah, yang merupakan sifat-sifat syaitaniyah. Kemudian, diikuti sifat-sifat rububiyah, iaitu sifat megah, bongkak, suka meninggi diri, suka dipuji, gila kuasa, gila pangkat dan seumpamanya. Inilah punca utama yang menjadi sumber perbuatan dosa, yang daripadanya mengalir ke anggota-anggota badan, sebahagiannya ke dalam hati khususnya, seperti kufur,nifaq,menyembunyikan kejahatan, sebahagiannya ke perut dan kemaluan, sebahagiannya ke tangan dan kaki, dan sebahagiannya ke seluruh badan. Dosa-dosa ini terbahagi antara hamba dengan Allah SWT, seperti meninggalkan solat, puasa dan kewajiban-kewajiban khusus, dan dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia, seperti tidak membayar zakat, membunuh,merampas harta, memaki, dan lain-lain. Kemudian ia juga terbahagi kepada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil, yang mengenainya terdapat perbezaan pandangan yang terlalu banyak untuk dihuraikan. Kita boleh lihat beberapa perkara yang perlu diambil berat dan peringatan ;-
Pertama: Dosa kecil boleh menjadi dosa besar disebabkan, melakukannya secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada ulamak  yang mengatakan:
"Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan". 
Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil yang dilakukan secara berterusan. 

Kedua: Perbuatan dosa menjadi besar jika dianggap kecil, tetapi, sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah SWT, kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpalingnya hati daripadanya. Sebahagian ulama berkata: Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya. 

Ketiga: Dosa kecil menjadi besar dengan disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.

Keempat: Dosa kecil menjadi besar dengan menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azabNya. 

Kelima:Dosa kecil menjadi besar dengan dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya, atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain. 

Keenam: Dosa kecil menjadi besar apabila dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti oleh masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya. 

HUKUM & KEUTAMAAN TAUBAT

Bertaubat hukumnya adalah wajib dengan segera dan diberi pahala, kerana ia adalah perkara yang diperintah. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Nur: 31, maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung". 
Di dalam surah Al-Tahrim: ayat 8, Allah SWT berfirman, maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal salih) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan disebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas segala sesuatu".
 
            Dalam ayat di atas disebut perkataan taubatannasuha, Qatadah berkata: Al-nasuh al-sadiqah, al-nasihah, maksudnya adalah yang benar. Ada juga yang mengatakan bahawa al-nasuh ertinya al-khalisah, bererti yang ikhlas, atau yang murni. Berkata Al-Farra' : Nasuha adalah daripada sifat taubat, maknanya ialah taubat yang menasihati pelakunya untuk tidak kembali kepada perbuatan yang ia bertaubat daripadanya. Al-Kilabi r.a. berkata: Al-taubah al-nasuh ialah: penyesalan dengan hati, beristighfar (minta ampunan) dengan lidah, meninggalkan dosa (dengan badan), dan bertekad untuk tidak kembali(kepada dosa yang dilakukan). Said bin Jubair r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh ialah taubat yang diterima, dan tidak diterima taubat selama mana belum terpenuhi tiga syarat iaitu: perasaan takut dengan Allah, mengharap agar diterima dan istiqamah dalam ketaatan. 
 Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, Nu'man bin Basyir, Abdullah bin Mas'ud dan Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seseorang daripada kamu daripada seorang lelaki yang berada di tanah lapang yang sunyi, yang berbahaya, bersamanya untanya yang di atasnya perbekalan, makanan, minuman, dan segala keperluannya. Kemudian untanya hilang, maka iapun keluar mencarinya, sehingga apabila ia (berputus asa) dan merasa akan mati, maka ia berkata: Aku akan kembali ke tempat di mana aku kehilangan untaku supaya aku mati di sana. Kemudian iapun kembali ke tempatnya, maka matanya dikalahkan oleh rasa mengantuk dan iapun tertidur, kemudian ia bangun dan tiba-tiba ia jumpai untanya berada di hadapannya di atasnya makanan, minuman dan segala yang diperlukannya".  
 
 
 
 
 
Rujukan :
-          Al-Quran
-          Mausu’ah Fathul Mulhim Syarah Soheh Muslim
-          Tuhfatul Ahwazi Syarah Imam Tirmizi oleh Mubarakfuri
-          Riyadhu Salihin oleh Imam Nawawi
-          Al-Wafi, Sarah Hadith Arbaien oleh Imam Nawawi
-          Bidayatul Hidayah oleh Imam Al-Ghazali
-          Ihya’ Ulumuddin oleh Imam Al- Ghazali
-          Haqaieq Tasawwuf oleh Syeikh Abdul Qadir
-          Buku Perjalanan Rabbani: Merentas alam dunia, barzakh dan akhirat
-          Kamus Thullab oleh Ust. Husain Unang

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger