Tazkirah Ramadhan


Ketaqwaan adalah impak tambahan yang kita idamkan di bulan yang dijanjikan pengampunan dan rahmat bagi mereka yang ikhlas mendambakannya.Sejauh manakah Ramadhan ini  mampu menjadi satu medan tarbiyah kepada jiwa-jiwa manusia,ia tergantung kepada sang pemilik hati yang menguruskan matlamat hidupnya.

     Dewasa ini kegilaan manusia terhadap sambutan syawal lebih extrem berbanding sambutan ramadhan,namun hakikatnya ia sudah disalah ertikan oleh kesalahfahaman yang berbelit dalam benak fikiran manusia yang tidak memahami pada fatrah manakah yang patut kita utamakan.

    Ramadhan yang dilalui anak-anak muda kini seharusnya menarik dengan pengisian yang berkualiti.Ingatkah kita kisah pahlawan Islam Salahuddin Al-Ayubi,pada tahun 587 Hijrah beliau bersama pasukan tenteranya mengalahkan tentera salib,apabila tiba ramadhan penasihat beliau menyarankan agar beliau berehat kerana bimbang ajalnnya akan tiba lantas beliau menjawab:“Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”.Perjuangannya diteruskan dengan menawan benteng Shafad  dan memori sejarah ini terukir di lembaran sejarah Islam pada pertengahan Ramadhan.

    Itu adalah semangat pahlawan yang jiwanya meronta agar Islam terus tersebar lalu dihayati oleh segenap penduduk di muka bumi ini.Saatnya kita bandingkan semangat kita dengan dia pencinta agama melebihi nyawa.Tiada seruan jihad di medan peperangan hari ini namun berjihad dengan perkataan,harta serta kekuatan senantiasa ada.Melibatkan diri dengan jemaah dan menghulur bakti, itu adalah salah satu langkah bijak yang perlu diambil oleh anak-anak muda yang tidak mengetahui ke manakah darah dan keaktifan muda ini harus dilaburkan.Dan ia sememangnya akan menjadi imbalan penambahan ataupun extra pahala di bulan yang dijanjikan pertambahan bagi segala kebaikan, namun menjadi malang apabila anak-anak muda ini mengutamakan alasan dari pelaksanaan.Umat dewasa ni terlalu kaya dengan alasan,sedang yang ditawarkan adalah pahala iaitulah saham baginya pabila bertemu Dia Pencipta seisi alam.

Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w,sabdanya:
“Apabila bermula malam yang pertama bulan Ramadhan menyerulah malaikat,katanya: ‘Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan tampillah mengerjakannya,dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan berhentilah daripada meneruskannya,dan ketahuilah Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan neraka daripada memasukinya’.Seruan dan keampunan yang demikian ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan tersebut)”. Riwayat Tirmizi dan al-Nasai.

    Ketahuilah Ramadhan menjadi saksi bagi setiap pelepasan muslimin dari su’ulmasir iaitu neraka jahim.Namun mengapa lebih besar golongan yang mencuaikan dari memanfaatkan.Fahamilah pabila ia berlalu belum tentu kamu akan melaluinya buat kesekian kali.Barangkali mata tertutup degupan jantung terhenti sebelum menikmatinya buat beberapa kali lagi.

   Sebagaimana Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat Baginda menghayati Ramadhan begitulah seharusnya keadaan kita,mengikut aturan Baginda kerana Baginda lebih mengetahui apakah yang terbaik bagi umat ini dan amal apakah yang selayaknya ditampilkan di bulan istimewa ini.

   Anak-anak muda,detik-detik di bulan Ramadhan ini sememangnya sesuatu yang mahal tidak ada harga untuk memperdagangkannya,maka malanglah bagi mereka yang masih berkesempatan menontot bola juga menghayati filem,rugilah bagi mereka yang masih ada masa untuk mendengar halwa telinga yang tidak mendorong hati untuk bermunajat kepada yang Maha Esa,serba muflislah bagi mereka yang menyiakan usia Ramadhan ini.Sabda Rasulullah s.a.w. firman Allah s.w.t :
  “Setiap amalan anak adam adalah baginya kecuali puasa,sesunggahnya puasa itu adalah bagiku dan   aku yang mengganjarinya..”

    Para ulama’ juga tidak mampu menetapkan sebesar manakah pahala berpuasa kerana ia adalah rahsia Allah.Puasa juga amat istimewa berbanding ibadah-ibadah lain kerana ia tidak dizahirkan seperti solat,zakat juga haji.Ia juga menjauhkan si pelaku dari berlaku riya’ dan takabbur dan seharusnya ia membuahkan rasa ikhlas dari orang-orang yang berpuasa keranaNya.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman!Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadhan) sebagaimana yang difardukan kepada umat sebelum kamu semoga kamu beroleh taqwa”.
 
    Melalui ayat azza Wajall di atas maka kita dapat fahami bahawasanya bukan satu kepastian bahawa mereka yang melepasi Ramadhan ini mereka akan menjadi orang yang bertaqwa,tetapi Ramadhan merupakan sebuah sekolah yang di dalamnya terdapat golongan yang berjaya juga wujud golongan yang gagal.Maka ia bukan suatu kejayaan yang datang bergondong menerpa kita,ia sinonim dengan usaha yang kuat dan mujahadah yang tepu.

   Semoga segala amal kebaikan kita sepanjang bulan Ramadhan ini diangkat di sisiNya sebagai amal soleh,dan tiada noktah bagi setiap amalan selepas keluarnya kita dari medan tarbiyah ini.kemenangan yang kita capai pada Syawal kelak bukan sekadar kemenangan kosong namun penuh intifada yang mampu melumpuhkan syaitan dengan agendanya selepas diberi cuti sebulan oleh Rabbul Izzati.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger