Minda manusia pastinya berbeza. Ada yang mengganggap teknologi hanya sekadar teknologi yang akan memudahkan kerja sehariannya. Contohnya seperti internet, ada segelintir golongan yang mengganggap internet hanya mampu membantu dirinya bagi mencari maklumat-maklumat penting. Dan lebih malang lagi, ada juga yang menyalahgunakan internet sebagai tempat untuk mengumpul dosa. Namun bagi seorang pendai’e yang kreatif, pasti dia akan menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk menyebarkan dakwah. Dai’e yang bijak tidak akan hanyut dibawa arus globalisasi yang semakin menjadi-jadi sebaliknya akan mengikut arus kemajuan tersebut untuk turut mengalirkan dakwahnya. Tidak dinafikan, bukan mudah untuk menyampaikan mesej dakwah, apatah lagi menjadikannya mendapat perhatian dan minat ramai.
Allah SWT menyebut dalam surah Al-Qasas, ayat 56 :
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Rasulullah SAW juga ada bersabda :
“Jika kamu menjadi asbab (pembawa) kepada seseorang itu mendapat kesedaran dan petunjuk (Islam), ia lebih baik bagimu daripada unta yang paling berharga (simbolik kepada nilai yang sangat tinggi).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maka, pendai’e seharusnya mampu sekali sekala bertukar teknik dan mencampuradukkan kaedah penyampaian mereka selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam contohnya dengan menghasilkan pelbagai video, fotografi, rekaan grafik, kartun mahupun permainan video yang dapat memberikan faedah dan manfaat kepada masyarakat. Ada juga yang dulu hanya bergantung kepada ceramah di masjid dan surau, kini dilebarkan menerusi blog, website dan atau laman sosial seperti Facebook. Maka, penguasaan ilmu dalam teknologi tersebut amat perlu supaya mesej dakwah yang ingin disampaikan mampu diterima dengan baik.
Tidak dinafikan ada beberapa caranya yang terdedah kepada kesan antara mudarat dan manfaat. Namun, sewajarnya kita menggunakan segala teknologi yang ada pada masa kini bagi menembusi pasaran ummah supaya lebih ramai yang dapat cuba disedarkan dan dapat dirapatkan kepada Islam
Nukilan oleh : Nur Amalina Abdul Malik
Timbalan Unit ICT
Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM
No comments:
Post a Comment