Hikmah Berdiam Diri







Dalam 24 jam masa yang dikurniakan kepada manusia, boleh dikatakan hampir setiap masa digunakan untuk manusia berbicara. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia dan jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Perkara ini telah Baginda SAW jelaskan dalam sabda Baginda :
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". ( Muttafaqun 'alaih)

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia sebaliknya ia digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Rasulullah SAW berpesan lagi :
Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat Tarmidzi)

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia. Diam juga merupakan salah satu alternatif  bagi manusia untuk menundukkan hasutan syaitan kerana orang yang lebih banyak diamnya, lebih banyak fikirnya. Justeru jalan yang terbaik ialah diam sekiranya seseorang itu tidak mampu berbicara ke arah kebaikan bertepatan dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud :
Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya, dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya". (Riwayat Abu Nuaim)

HIKMAH DIAM

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutup segala aib.

MADAH HUKAMA’:
* SEKIRANYA DIHINA, BUKANLAH KERANA TERHINA, YANG SEBENARNYA ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI. MAKA BALASLAH DENGAN DIAM.

Lebih indah pula sekiranya diam itu dihiasi dengan senyuman. Kitab Syamail Muhammadiah susunan Imam Tirmidzi merakamkan periwayatan hadis dari Abdullah bin Harits ra berkata: 
Tiadalah ketawa Rasulullah SAW kecuali tersenyum.”

Railah sunnah Rasulullah SAW dengan senyuman. Sesungguhnya ganjaran yang besar tersedia bagi insan yang dapat meraikan sunnah Baginda SAW di kala keadaan menghimpit. Inilah janji yang tiada sangsi, janji Allah dan janji Nabi. Rebutlah janji ini kerana senyum bukanlah sesuatu yang menyusahkan bahkan ianya diam yang menyelamatkan diri.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger