KEJAYAAN BERSAMA KEIMANAN




KEJAYAAN BERSAMA KEIMANAN

Assalamualaikum w.b.t. buat azhariyyin dan azhariyyat sekalian. Saya kira ketika antum membaca risalah ini pasti antum sedang memegang kitab kuliah atau mendengar ceramah motivasi. Namun, tidak kiralah benar ataupun tidak, debaran menghadapi imtihan yang bakal tiba tidak sampai dua bulan sahaja lagi pasti wujud di dalam diri antum.

Berbicara soal imtihan, ada 2 jenis karakter manusia sama ada aktif atau pasif. Jika aktif, segala persediaan giat dilakukan. Adapun bagi karakter pasif, mungkin masih acuh tidak acuh dengan kitab kuliah dan leka dengan benda yang tidak sepatutnya. Jadi, mana satu karakter antum?

Di dalam fatrah imtihan ini, adakah ‘Biah Solehah’ di dalam diri antum masih terjaga? Jika “ya”, segulung mubarak buat antum, jika “tidak”, mari memuhasabah diri masing-masing. Menghadapi imtihan ibarat  berjuang di medan perang. Rasulullah SAW dan para sahabat ketika menghadapi musuh, persediaan rohani lebih dititikberatkan berbanding persediaan fizikal. Begitu juga bala tentera Sultan Muhammad Al-Fateh dan banyak lagi sejarah terdahulu yang kita boleh contohi dalam menghadapi ujian dunia.

Kita mungkin tidak sedar rupa- nya dengan hanya merapatkan ukhuwah sesama kita contohnya menghadiahkan senyuman dan salam, Allah SWT jadikan sebagai gantian dengan kejayaan di dalam imtihan. Hanya dengan secebis ikhlas sewaktu menuntut ilmu atau membantu sahabat, Allah SWT ganjari kita sebuah kemenangan di dalam bidang yang diceburi. Masya-Allah, baik sungguh Allah terhadap hamba-NYA

Firman Allah SWT (mafhum): “Dan kemudian dikatakan kepada  orang yang bertaqwa, “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan mu?” Mereka menjawab: “Kebaikan”. Bagi orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (balasan) yang baik. Dan sesungguhnya negeri akhirat pasti lebih baik. Dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang bertaqwa”. (An-Nahl : 30).

Dikisahkan seorang pemuda datang kepada seorang alim dan berkata: "Saya seorang lelaki yang mempunyai hawa nafsu yang kuat. Saya tidak dapat menahan diri dan mata dari melihat orang orang yang lalu-lalang di bazar atau pasar. Apa perlu saya lakukan untuk menahan diri saya?".

Orang alim itu memberikannya secawan penuh air susu dan mengarahkannya untuk menghantar ke satu alamat dengan syarat dia tidak boleh menumpahkan air susu tersebut walau sedikitpun. Dia akan ditemani seseorang untuk mengawasinya dan jika ia menumpahkan air susu tersebut maka dia akan dipukul dengan kuat.

Akhirnya pemuda tersebut  berjaya menghantar air susu itu ke tempat yang diarahkan tanpa tumpah walau sedikitpun. Orang alim bertanya kepadanya: "Seperti apa dan siapakah yang kamu lihat sepanjang perjalananmu tadi?"
Pemuda itu menjawab: "Saya tidak sedarpun apa-apa yang berlaku di sekeliling saya sebab saya asyik memberi tumpuan kepada air susu yang saya bawa, takut ia tertumpah dan saya pasti malu jika dipukul di khalayak ramai".

Orang alim pun berkata: "Situasi yang sedang kamu hadapi samalah seperti keadaan orang yang beriman. Orang beriman bimbang Allah akan menghinanya di hadapan ramai orang pada hari kiamat, jadi imannya itu tersimpan kukuh di dalam hatinya".

Pengajaran:
Orang yang sentiasa menjaga tindakan di dalam kehidupan ataupun berhati-hati dan bersungguh-sungguh menjaga imannya, takut berbuat dosa dan tidak menghiraukan pandangan manusia kerana Allah SWT semata-mata, mereka akan lebih fokus kepada hari pengadilan atau hari pembalasan.

Sama juga di dalam persediaan menghadapi imtihan, jika kita memberi sepenuh tumpuan di samping menjaga akhlak-akhlak Islamiah, kejayaan hakiki pasti kita genggam. “What you give, you get back”.

Ayuh kita memperkasakan lagi 5 Objektif Biah Solehah di dalam diri dan di sekeliling kita agar kita tergolong di dalam orang yang menjadi wasilah hidayah Allah SWT untuk orang lain, insya-Allah.

Firman Allah SWT (mafhum): “…Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan…” (Al-Baqarah : 148).

Walaupun imtihan kuliah hanya di atas kertas, namun jika diniatkan untuk mencari redha Allah SWT dan menolong agama-NYA, usaha kita pasti tidak sia-sia hatta keputusan nanti kita ditakdirkan gagal. Gagal di dunia tidak  bermakna gagal di akhirat, namun haruslah disertai dengan keimanan. Firman Allah SWT (mafhum): Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman". (Al-Mukminun : 1).

Antara nasihat Syeikh Nuruddin Al-Banjari kepada penuntut ilmu:

- Jangan terpesona dengan gelaran PhD atau MA dan sebagainya. Menuntut ilmu untuk menolong agama Allah, bukan untuk sijil, syahadah atau untuk dunia serta pangkat.

- Bekerjalah untuk Islam, jangan biarkan musuh Islam menguasai tanah umat Islam disebabkan ulamak kita tidur sedang kita asyik bertengkar sesama sendiri.

Wallahua’lam.



Disediakan oleh
Unit Biah Solehah
Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan
PMRAM 2012

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger