Ikatan Ukhuwah




Firman Allah s.w.t bermaksud:“Orang mu’min itu (lelaki dan perempuan) sebahagiannya menolong sebahagian yang lain.”

Ukhuwwah merupakan anugerah daripada Allah yang dikurniakan kepada mereka yang ikhlas di kalangan hamba yang berjiwa suci dan bersih. Inilah kekuatan iman yang diwariskan oleh perasaan yang mendalam, jiwa yang benar dan mahabbah, kasih sayang dan rasa hormat, saling mempercayai sesama mereka, saling membantu, mengutamakan orang lain, rasa belas kasihan, memberi kemaafan dan bertoleransi dengan ikatan aqidah tauhid, manhaj islam yang kekal. Inilah antara perkara lazim kepada iman: Tiada ukhuwwah tanpa iman,tiada keimanan yang sempurna tanpa ukhuwah sepertimana tiada persahabatan tanpa takwa dan tiada ketakwaan tanpa persahabatan.

Saudara seislam yang sebenar  memandang saudaranya adalah lebih utama dari dirinya sendiri, kerana jika ia tidak bersama mereka nescaya ia tidak akan bersama dengan orang lain manakala jika mereka tidak bersamanya, mereka akan bersama orang lain. Kata as-syahid Imam Hassan Al-Banna: ..Aku maksudkan dengan ukhuwwah ialah : Hati dan jiwa ditautkan dengan aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan paling berharga. Ukhuwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang..”

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam muslim menceritakan bahawa: Ada seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di sebuah perkampungan. Allah telah mengutuskan seorang malaikat ketika lelaki ini dalam perjalanan. Malaikat itu telah bertanya kepada lelaki tadi apabila mereka bersua: “Saudara hendak ke mana? ”. Maka lelaki itu pun menjawab, saya hendak menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya lagi “Adakah (kamu menziarahinya) kerana kamu akan memperolehi kesenangan lalu kamu  menjaga perhubungan ini”. Lelaki itu menjawab: “Tidak!”  Aku mengasihinya kerana Allah. Kemudian malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada kamu dan Allah telah mengasihi kamu sebagaimana kamu mengasihi saudaramu kerana-Nya”. (Riwayat muslim)
 
Sesungguhnya darjat ukhuwah yang paling rendah adalah berlapang dada terhadap sahabat lain dan tingkatan tertinggi adalah ithar, iaitu mengutamakan sahabat lebih dari diri sendiri. Nah, cuba tanya kembali dimanakah darjat ukhuwah kita sesama Islam? Adakah masih ada di dalam lingkungan ukhuwah yang dimaksudkan, ataupun sudah jauh lari kerana kepura-puraan. Fikir-fikirkan bersama...

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger