Kalam Pengarah Unit Biah Solehah 2010

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kehadrat ilahi di atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga, selawat dan salam buat Junjungan Mulia Rasulullah s.a.w., para sahabat baginda r.a., ahli keluarga serta penerus perjuangan baginda zaman berzaman.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hendaklah ada dikalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang Berjaya”. Surah a-li ‘imran: ayat 104
Umat kini semakin jauh dengan agama. Hawa nafsu menjadi Ikutan. Maksiat berlaku dimana-mana. Yang mengajak kembali kepada agama dikatakan kolot, berfikiran sempit, tidak membawa kemajuan, sebaliknya yang mempromosikan maksiat itulah dikatakan mengikut peredaran zaman dan perlu diikuti.
Amat mendukacitakan lagi, umat Islam selaku umat yang terpilih, ramai
dikalangan mereka terikut-ikut dengan budaya ini. Sebagai contoh dari segi pakaian yang mendedahkan aurat, pergaulan yang tidak membataskan antara lelaki dan perempuan, semua ini membawa kepada keruntuhan akhlak yang amat ketara pada hari ini. Saya memandang berat masalah ini lebih-lebih lagi kepada mahasiswa mahasiswi yang berada dibumi Mesir samada yang mengambil jurusan agama atau yang sebaliknya.
Rentetan dari masalah ini, Saya selaku yang ditaklifkan sebagai pengarah Unit Biah Solehah (UBS), dibawah Lajnah Dakwah PMRAM sesi 2010 merasa terpanggil untuk memikirkan serta mencari satu inisiatif bagi memastikan biah solehah yang sedia ada dipertingkatkan lagi, seterusnya menjaga akhlak serta pergaulan antara mahasiswa, dan membentuk satu suasana yang baik berlandaskan al-quran dan as-sunnah. Disamping itu, memastikan mahasiswa mahasiswi mesir ini mempunyai kefahaman atau fikrah yang jelas dan thaqafah yang tinggi akan nilai-nilai Islam serta mampu mengaplikasikan dalam diri masing-masing dan mewujudkan biah solehah dikalangan mereka.
Perlu diingat bersama, tugas dakwah atau
kata lainnya amal ma’ruf nahi mungkar tidak hanya terletak pada bahu seseorang, mana-mana organisasi, atau perlu meminta izin kepada orang-orang tertentu sahaja, bahkan ianya menjadi tanggungjawab kepada seluruh umat Islam. Senario yang berlaku hari ini, dakwah disempitkan bidang kuasanya, hanya mereka yang diberi tauliyah sahaja yang dibenarkan untuk bercakap mengenai Islam dan agama. Amat menyedihkan apabila orang Islam sendiri yang menghalang orang berdakwah kepada Islam.
Oleh itu, kami di pihak UBS PMRAM mengharapkan kerjasama dari semua pihak, mahasiswa dan mahasiswi yang berada di bumi Mesir ini, terutama BKAN dan DPM untuk sama-sama kita menjayakan usaha yang kami cuba lakukan. Semoga segala masalah yang berlaku samada salahlaku, pemakaian yang tidak menutup aurat, ikhtilat tidak syari’e dan yang seumpamanya dapat kita tangani. Saya mengingatkan diri saya dan semua agar kita sama-sama menjaga solat, puasa sunat, qiamullail dan amalan-amalan lain yang mendekatkan kita kepada Allah. Mudah-mudahan amalan yang kita lakukan ini dapat menjadi penghalang kepada kita daripada terjebak kepada perkara-perkara maksiat. Tingkatkanlah pengetahuan kita tentang Islam dari segi hukum hakamnya agar kita dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, dapat membezakan yang halal dan yang haram. Ingatlah! siksa Allah s.w.t teramatlah pedih bagi mereka yang melakukan maksiat kepadaNya, sebaliknya syurga Allah s.w.t itu teramatlah indah bagi mereka yang taat, patuh serta tunduk kepadaNya.
Sebagai kesimpulan, suka saya menyebut bahawa tugas dakwah ini merupakan tugas para nabi-nabi dan rasul-rasul. Pastinya disana kita dihidangkan dengan kesusahan, rintangan. Oleh itu, sama-sama kita menyiapkan diri kita dari segi jasmani mahupun rohani, agar kita mampu menyambung tugas yang diwariskan kepada kita oleh nabi-nabi dan rasul-rasul, sehingga akhirnya akan tertegak Islam di atas muka bumi ini. Semoga usaha kecil kami ini diberkati oleh Allah s.w.t. dan sentiasa dilindungi olehNya dari anasir-anasir jahat yang tidak suka melihat Islam itu berdiri teguh.
Sekian.

Pengarah Unit Biah Solehah 2010
Al-Hashir in Mohamad Rabeh

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger