BULAN MENDIDIK JIWA.

Kelolaan : Abdul Hakim Sazali
                Ketua Lajnah Dakwah & Tarbiah BKASM 2009/2010.
    Alhamdulillah, Allah S.W.T masih lagi dapat mempertemukan kita dalam bulan yang mulia, penghulu segala bulan, iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan merupakan bulan untuk melatih dan mendidik diri dari segi zahir dan batin. Ramadhan juga bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu dan keinginan. Ujian-ujian yang ada didalam bulan Ramadhan amat berat dan memang susah sekali. Jika tiada kekuatan, sudah pasti kita akan mudah tumbang dan dikuasai oleh nafsu. Daripada keseluruhan ujian yang diberikan, hanya segelintir sahaja yang lulus dan  berjaya. Allah datangkan ujian-ujian ini, semata-mata untuk menguji tahap keimanan hambanya. Mari kita lihat, apakah madah-madah yang ada dalam ujian Madrasah Ramadhan.



Puasa
    Madah puasa. Sudah tentunya madah yang wajib. Puasa, menahan diri dari makan dan minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Tetapi, adakah konsep puasa yang dimaksudkan hanya sekadar ini sahaja? Puasa yang sebenarnya bukan saja puasa mulut daripada makan dan minum, tetapi bagaimana pula dengan hati, mata, dan pancaindera yang lain? Adakah kita sudah benar-benar mempraktikkannya? Itulah hakikat sebenar puasa. Jika ianya tidak dilatih taat kepada ALLAH melalui puasa, maka buruk akibatnya. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “ Pada hari ini Kami tutp mulut mereka dan berkata-katalah kepada Kami oleh tangan-tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” ( Yaasin : 65)

Baca Al-Quran
    Bulan Ramadhan bulan diturunkan al-quran. Al-quran merupakan mukjizat terbesar dan dipelihara oleh Allah S.W.T hingga hari akhirat. Maka, dituntut untuk kita mempernbanyakkan pembacaan al-quran. Bukan setakat baca, malah hendaklah disertai dengan tadabbur,penuh penghayatan apa sahaja yang terdapat dalam al quran. Apa yang dimaksudkan disini, kita mengambil didikan Al-quran sebagai panduan membentuk diri, keluarga, masyarakat dan seluruhnya dengan acuan Al quran. Ia juga mengandungi ayat-ayat tabsyir, berita-berita gembira tentang syruga, supaya manusia berlumba-lumba mengejar kebaikan dan berjuang fisabilillah.
    Terdapat juga ayat-ayat tanzir, berita tentang azab neraka, supaya manusia gerun dengan azab Allah, gerun terhadap azab bagi orang-orang yang menyeleweng dari jalan Allah.Dan lain-lain lagi berkaitan dengan Al quran, tentang hukum-hakam supaya manusia terpandu berdasarkan Al quran.

Zakat & Fitrah
    Di bulan Ramadhan, kita diperintahkan supaya berlaku pemurah kepada fakir miskin dengan mengeluarkan zakat fitrah dan sedekah. Firman Allah Taala yang bermaksud, “ Sesungguhnya orang-orang yang selalu mambaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara diam-diam mahupun terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak merugikan.” (Fathir : 29)

    Kesusahan yang melanda oleh saudara-saudara kita yang tidak mampu, hendaklah sama-sama kita kongsikan agar ukhuwah islamiah dapat dijalinkan. Bagaimana dengans audara-saudara kita di Palestin, khusunya di Semenanjung Gaza, yang tertindas oleh Israel? Sudahkah kita melakukannya? Ringankah tangan kita untuk menghulurkan sebahagian milik kita kepada orang lain tanpa meminta apa-apa bayaran?

Terawih, zikir, iktikaf & bertaubat
    Kesemua ibadah ini, amat digalakkan untuk dilakukan dalam bulan Ramadhan, bahkan dalam bulan lain juga. Tapi, apakah kita sudah melakukannya? Segala amalan-amalan yang digalakkan dalam bukan puasa, adalah untuk kita mempertingkatkan keimanan kita dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Adakah kita sudah mencapai tingkatan ketaqwaan yang ditetapkan oleh syariat?. Firman Allah yang bermaksud, “ Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (mengingati ALLAH), dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (sentiasa mendoakan kamu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman.” (Al Ahzab : 41-43)
    
      Bagaimana nak merasai kemanisan zikir? Apabila ianya dirasai, dihayati, difahami oleh semua pancaindera, maka disitulah kita akan merasai kemanisan dalam memandam rindu dan cinta kepada ALLAH S.W.T. Adakah kita sudah memilikinya?

Mujahadah Nafsi
    Bulan Ramadhan juga bulan mujahadah. Mujahadah melawan dan berperang dengan hawa nafsu. Hanya iman dan taqwa,serta kekuatan muajahadah itu sendiri mampu untuk melepasi tahap ujian ini. Firman Allah Taala yang bermaksud, “ Dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami; nescaya akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al Ankabut : 69)
    Kita kena mujahadah terhadap segala kejahatan yang ada dalam diri kita. Anggota yang mahu menghala kepada maksiat. Kita hendaklah menguasai hawa nafsu supaya ianya tidak menguasai akal. Jika akal dapat menguasai nafsu, insya allah mudah. Dan mujahadah yang lebih sulit, melawan dan membuang sifat-sifat mazmumah yang masih lagi bersarang dalam diri.. Dosa batin, jika tidak dihapuskan dan dibersihkan, akan membawa kita ke neraka, namun payah sekali mujahadah itu.

    Jadi, ujian-ujian yang diatas tadi, sekiranya dapat dilepasi, maka hadiah yang akan kita perolehi ialah maghfirah dan ganjaran Allah. Seseorang yang dapat hadiah itu, dapat dilihat pada watak dan akhlaknya, tidak ada penyakit hati, dan sentiasa bersemangat untuk berjuang di jalan Allah S.W.T

Rujukan : Nida’ Ramadhan, Journal Muzakarah BKASM 1998/1999.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger