KEISTIMEWAAN BULAN ZULHIJJAH


ZULHIJJAH adalah bulan kedua belas dalam takwim hijrah dan tergolong dalam bulan haram
selain dari Muharam, Rejab dan Zulkaedah.
Kelebihan bulan mulia ini disebutkan Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Dia
menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati.
Demikianlah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya dirimu dalam bulan itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa. (at-Taubah: 36) 

Zulhijjah bermaksud yang memiliki haji kerana rukun Islam kelima itu ditunaikan dalam bulan berkenaan. Amalan mulia ini dilakukan Nabi Ibrahim a.s dan diteruskan anak cucunya daripada keturunan Nabi Ismail a.s sehingga zaman Rasulullah s.a.w.
Bulan ini menghimpunkan banyak keistimewaan yang disediakan Allah bagi Muslim yang
mengharapkan keredaan dan pengampunan Allah. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya
mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah.
Sahabat Baginda bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar
Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi sesiapa yang keluar
dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.” (Hadis riwayat al-
Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun,
amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh
kerana itu perbanyakkan ucapan tahlil (La Ilaha Illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid
(Alhamdulillah).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w juga tidak ketinggalan menyatakan beberapa amalan yang sangat dianjurkan
pada bulan ini, antaranya:
Menunaikan ibadat haji dan umrah sebaik-baik amalan.
Berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, terutama pada hari Arafah. Rasulullah
s.a.w bersabda bermaksud: “Puasa pada hari Arafah dengan penuh pengharapan keredaan Allah
akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang. (Hadis riwayat
Muslim)

Bertakbir (Allahu Akbar) dan membasahkan lidah dengan pelbagai zikir pada sepuluh hari
Zulhijjah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada
beberapa hari yang termaklum.” (al-Hajj: 28)

Disyariatkan juga bertakbir pada hari yang mulia itu sama ada pada siang atau malam terutama
selepas menunaikan solat fardu (dikerjakan secara berjemaah). Bagi mereka yang tidak
menunaikan ibadat haji, takbir bermula dari waktu Subuh hari Arafah dan bagi yang menunaikan
haji, takbir bermula pada waktu Zuhur Aidiladha pertama iaitu pada 10
Zulhijjah. Semuanya berakhir pada waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
Bertaubat dan seterusnya meninggalkan semua perkara maksiat dan dosa. Dalam masa sama,
memperbanyakkan amalan baik dengan tujuan mencapai keampunan dan rahmat Allah. 

Memperbanyakkan amalan baik terutama amalan sunat yang sangat dianjurkan seperti solat
sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dan
sebagainya kerana semua amalan dilakukan pada hari berkenaan digandakan ganjarannya di sisi
Allah.

Disyariatkan umat Islam yang berkemampuan untuk melakukan amalan korban pada Hari
Raya Haji dan hari-hari Tasyriq yang berikutnya iaitu pada hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Setiap Muslim hendaklah menunaikan solat Aidiladha berjemaah dan mendengar khutbah
supaya mendapat pengajaran daripadanya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger