Manifestasi Cinta Seorang Kekasih



Cinta, kasih dan sayang diterjemahkan dengan pelbagai makna dan erti oleh ramai orang. Sehinggakan pepatah melayu sendiri telah menukilkan cinta itu umpama "makan tak lalu, tidur tak lena , mandi tak basah". Itulah cinta yang berada disekeliling kita, persoalannya, bagaimanakah cinta yang dikehendaki oleh kita sebagai pemuda dan pemudi yang mempunyai tanggungjawab besar kepada agama, bangsa dan negara??
Adakah kehidupan kita merupakan manifestasi cinta??

***********
Mungkin ramai yang pernah mendengar dan terbaca kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, namun sedalam manakah kita menghayati kisah cinta baginda selaku Khalilullah [kekasih Allah] dipersada penghambaan ini?

SEJARAH RINGKAS KEHIDUPAN KHALILULLAH AS

Nabi Ibrahim mendapat gelaran "kekasih Allah" daripada Allah SWT sendiri. Baginda adalah bapa para Nabi selepas Nabi Nuh alaihimassalam. Baginda dilahirkan di Iraq. Kaum Nabi Ibrahim menyembah bintang-bintang dan berhala,sehinggakan setiap orang dari mereka mempunyai patung berhala tersendiri. Namun, suasana yang berada disekelilingnya tidak mampu mempengaruhinya, bahkan bagindalah yang mempengaruhi suasana tersebut, beliau telah berdebat dengan bapa dan kaumnya sendiri tentang kesyirikan yang mereka lakukan kepada Allah SWT. Bukan setakat berdebat sahaja, bahkan baginda telah bertindak menghancurkan patung-patung sembahan, sehingga mengakibatkan beliau dibakar dalam unggun api, namun Allah SWT melindungi baginda dari terbakar dek kepanasan api yang membara.

Setelah mendapat ujian sedemikian, Nabi Ibrahim telah berhijrah ke Palastin dan Mesir bersama anak saudaranya , Nabi Luth AS. Setelah beberapa lama baginda tinggal di Palastin, isterinya Hajar telah melahirkan anak mereka, Nabi Ismail AS. 
Dalam kondisi Ismail masih dalam susuan itu, Nabi Ibrahim telah membawa isterinya ke Makkah. Pada ketika itu, negeri Makkah tidaklah seperti sekarang, tanahnya kering kontang, tiada penghuni . Dalam keadaan yang begitu menyedihkan, nabi Ibrahim telah mendapat perintah dari Allah SWT untuk meninggalkan isterinya di situ..

Hajar bertanya kepada Ibrahim : Wahai Ibrahim, ke mana engkau ingin pergi dan biarkan kami di lembah ini (Mekah), lembah yang tiada apa-apa malah tiada manusia?
Ibrahim pergi tanpa memalingkan muka kepada mereka.
Lalu Hajar berkata lagi : Adakah Allah SWT yang menyuruh engkau (iaitu meninggalkan mereka di Mekah) ?
Jawab Ibrahim : Ya.
Akhirnya, Hajar berserah : Kalau begitu, Dia tidak akan membiarkan kami.
[Tafsir Ibnu Kathir]

Setelah umur Nabi Ismail mejangkau dewasa, barulah Nabi Ibrahim pulang semula ke Makkah bagi menemui isteri dan anak baginda. Namun, ujian Allah SWT kepada rasulnya masih belum berakhir, beliau bermimpi membunuh anaknya sendiri (insyaallah akan diceritakan selepas ini), lalu beliau menjalankan perintah wahyu tersebut dengan penuh kerelaan.

Baginda dinamakan kekasih Allah kerana kesungguhan baginda menyintai Allah SWT, baginda menunaikan ketaatan dengan penuh cinta dan redha, sesungguhnya, cinta { al-khullah} adalah darjat tertinggi dalam percintaan, sehinggakan didalam Al-Quran ,kita hanya menemui perkataan khullah ini hanya disebutkan kepada Nabi Ibrahim.

PERISTIWA CINTA TERHEBAT!

Didalam kisah-kisah Nabi Ibrahim AS, baginda menghadapi pelbagai peristiwa yang menguji kecintaannya kepada Allah SWT, sehinggakan Al-Quran banyak sekali merakamkan kisah-kisah baginda. Diantara kisah-kisah tersebut, ada sebuah kisah yang amat menyentuh perasaan dan membuahkan kecintaan. Ia adalah kisah mimpi baginda menyembelih anaknya sendiri.
Firman Allah swt : 

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!". . .
[As-Shofat:102]
Maksudnya, apabila Ismail telah menjangkau umur yang mana dia mampu untuk bekerja, Ibrahim berkata kepada anaknya : 

Wahai anakku, aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelih engkau. Lalu apakah pendapat engkau?
Iaitu, adakah engkau mampu bersabar dalam melaksanakan suruhan ini, kerana mimpi para nabi adalah wahyu dari Allah swt.
Jawab Ismail :

 Dia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar"
[As-Shofat:102]
Disebabkan ayahnya masih ragu-ragu dengan kesabarannya, dia telah menambah semangat ayahnya dengan kata-kata : 

            Insya Allah, kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.

Seolah-olah katanya : Laksanakanlah wahai ayahku suruhan Allah SWT tersebut. Adapun aku, semoga Allah SWT menolong aku bersabar di atas segalanya. 

            Nabi Ismail tidak menyandarkan kesabaran tersebut dengan dirinya, tetapi disandarkan kepada Allah swt, supaya dia dapat menahan ujian yang berat ini. 

"..Inilah dia, seorang nabi yang hampir-hampir putuis asa , kemudian dia dianugerahkan seorang anak. Setelah itu, dia bermimpi melihat dirinya menyembelih anaknya, lantas dia mengetahui bahawa ia adalah isyarat dari tuhannya untuk melakukan pengorbanan. Kenapa? Kerana beliau tidak ragu-ragu, tidak ada syak wasangka didalam hatinya kecuali dia hanya memikirkan untuk melaksanakan perintah tuhannya.

Ya! Ianya sekadar isyarat! Betul-betul isyarat! Bukannya wahyu yang jelas, mahupun suruhan yang jelas tetapi dia tidak bertanya tuhannya, "kenapa aku perlu menyembelih satu-satunya anakku?"
[Muhammad al-Misri]

BERMULANYA PENYEMBELIHAN

            Selepas selesai dialog antara si bapa dan si anak, yang memperlihatkan penyerahan mereka, penyerahan yang mutlak semata-mata kerana Allah SWT tuhan sekalian alam, Ibrahim tidak lagi melihat anaknya. Ini kerana, dia hanya memikirkan tuhannya sahaja, yang telah menyuruhnya dengan perintah tersebut. Buktinya, apabila dia melaksanakan suruhan tersebut. Dia melihat anaknya seperti kambing yang ingin disembelih sebagai korban kepada Allah SWT. Permulaan penyembelihan itu diceritakan di dalam Al-Quran : 

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya )
[As-Shofat:103]
            Kemudian dia membaringkan anaknya dan wajahnya dihadapkan ke tanah supaya dia dapat menyembelih dari belakang. Ibrahim tidak melihat wajah anaknya ketika penyembelihan supaya lebih mudah baginya. Berkata Qatadah:
            Dan Ibrahim menterbalikkan wajah anaknya dan memalingkannya ke Qiblat.
[Al-Jami` li Ahkamil Quran]

ISMAIL DIGANTI DENGAN KIBASY

            Selepas Ibrahim membaringkan anaknya dan meletakkan pisau di lehernya, turunlah firman Allah swt :

Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim, Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu Sesungguhnya Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
[As-Shofat:104-105]

            Telah datang seruan dari tuhan sekalian alam : “Sesungguhnya engkau wahai Ibrahim, telah membenarkan mimpi. Iaitu telah terlaksana suruhan dari mimpi tersebut dengan engkau membaring anak engkau untuk disembelih, dan tekad engkau untuk menyembelihnya. Engkau telah menyembelihnya, tetapi tiada apa yang terpotong. Jelaslah kepatuhanmu dan anakmu dalam melaksanakan suruhan ini. Sempurnalah ketaatan kamu dan anakmu kepada Allah swt, maka engkau tidak perlu meneruskan penyembelihan tersebut lagi”.
Firman Allah swt : 

Sesungguhnya Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
[As-Shofat:105]
            Iaitu ; beginilah Kami membalas kepada sesiapa yang mentaati Kami pada perkara yang sukar dan berat, dan Kami jadikan untuk mereka kesenangan dan jalan keluar.

Firman Allah swt :

Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata, Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.
[As-Shofat:106-107]
            Iaitu ; sesungguhnya apa yang disuruh kepada Ibrahim adalah satu ujian yang jelas lagi nyata. Iaitu ketika dia disuruh menyembelih anaknya, dia bersegera melakukannya kerana mentaati perintah-Nya. Ia juga adalah ujian kepada anaknya Ismail, sama ada dia sabar atau tidak. Maka anak beranak tersebut telah berjaya di dalam ujian yang susah ini, yang melayakkan mereka mendapat ‘tebusan’ dari Allah swt iaitu ‘dengan seekor sembelihan yang besar’. Sembelihan yang besar di sini adalah, seekor kibasy yang besar (besar disebabkan banyak lemak dan tulang). 

            Ibnu Abbas ada mengatakan : 

            Ia adalah kibasy yang telah dikorbankan oleh Habil. Ia adalah kibasy yang telah diternak di Syurga selama 40 musim luruh (iaitu 40 tahun), sehinggalah Allah swt menggantikannya dengan Ismail.
[Tafsir Al-quran Al-Adhim]

KESIMPULAN

Sebagai pendakwah, kita seharusnya menjadikan Nabi Ibrahim AS sebagai ikon dalam perjuangan, seluruh kehidupan baginda merupakan manifistasi cinta baginda kepada Allah SWT. Sehinggakan,Cintanya kepada Allah SWT tidak ternilai dengan apa-apa, bahkan cinta kepada anaknya sendiri tidak dapat menggugat keteguhan cintanya kepada Allah SWT sedikit pun…
Demikianlah cinta sebenar.. oleh itu, marilah kita semua bergerak dalam dakwah dengan cinta yang sebenar.. cinta yang berpaksikan penghambaan kepada Allah SWT…cinta yang mencerdaskan akal, membuahkan amal dan membangunkan jiwa…

Syihabudin Ahmad,
Kuliah Dirasat Islamiah wal Lughatul Arabiah,
Syukbah Syariah Islamiah,
University Al-Azhar, Dumyat
-Biah Solehah PMRAM cawangan Dumyat.

RUJUKAN :
·        Dr Abdul Karim Zaidan, Al-Mustafad min Qasasil Quran, Maktabah Muassasah Ar-Risalah, Beirut , 2005.
·        Muhammad Al-misri, Suwarun min Hayatil anbiya` was sohabah wat tabiin, Maktabah Taqwa, 2004
·        Dr Wahbah az-Zuhaili, At-Tafsir al-Munir, Maktabah Darul fikr, damsyik, 2009
·        Teks kajian, Mohd Naqib bin Hamdan , Kisah Nabi Ismail dan pengajarannya.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger