Tak Kenal Maka Tak Cinta!




Salam  sejahtera diucapkan buat pencinta kedamaian, keindahan, keadilan juga buat pencinta Sang Pencinta mutlak iaitu Allah SWT yang mencipta CINTA untuk yang dicintai-NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih  Allah SWT, Rasulullah SAW dan seluruh ahli keluarga baginda serta para sahabat yang diredhai Allah.

            Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu” dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. “Katakanlah (Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”                                         (Ali-Imran : 31-32)

            Bila berbicara tentang CINTA, ramai yang tersenyum sendiri, ada juga yang tersengih malu. Namun, insan yang pernah mengalami sahaja yang dapat merasai betapa nikmatnya CINTA. Timbul persoalan, adakah cinta yang kita rasai itu cinta mutlak atau hanya cinta nafsu? Islam telah datang dengan syumulnya dari aspek ilmu Akidah, Syariat dan Akhlak untuk dihayati dan diamali oleh penganutnya demi mencapai redha Ilahi. Untuk mendapatkan cinta hakiki tidak dapat tidak mesti melalui jalan yang telah digarisi syariat. Cinta atau boleh juga dipanggil mahabbah terbentuk melalui pengamalan tiga aspek ilmu tadi. Bila hati sudah cinta maka segala yang dilakukan adalah untuk yang dicintainya. Begitulah manusia, bila cinta kepada Allah, segala tujuan dan kefokusannya hanyalah untuk Allah.

            Berlandaskan apa yang Islam terapkan, Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM telah menubuhkan Unit Biah Solehah yang berperanan besar memastikan biah yang solehah terlaksana di bumi Anbiya’ khususnya, dan di negara lain umumnya. Ini kerana sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang menjadikan Islam sebagai cara hidup, maka Biah Solehah adalah satu amanah untuk kita semua. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tiada keimanan bagi yang tidak beramanah, tiada solat bagi yang tidak bersuci, dan tiada agama bagi yang tidak bersolat”.

            Mari kita koreksi balik objektif Unit Biah Solehah kali ini dengan 5 pembawakan agar dapat kita terapkan dalam kehidupan seharian demi membentuk generasi berakhlak Quran dan insan yang mencintai dan dicintai Allah. Insya-ALLAH. Bila ada mahabbah semuanya akan jadi solehah.


Memperkasakan Solat Jemaah
          
           Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Solat berjemaah lebih afdhal dari solat bersendirian dengan 27 darjat, manakala solat bersendirian 1 darjat.” (Muttafaqun ‘Alaih)

         Juga telah bersabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Ke atas kalian dengan berjemaah.” Berdasarkan hadis tersebut, boleh kita simpulkan seruan agar meletakkan diri dalam jemaah atau kumpulan, hatta ketika solat, kerana ia melambangkan kesatuan hati muslimin. Orang kafir begitu gerun melihat sesebuah solat yang didirikan dengan berjemaah kerana ia menunjukkan betapa ramainya umat Islam seperti mana beberapa kisah yang berlaku ketika zaman sahabat terdahulu. Ahli teori fizik juga mengakui kehebatan solat berjemaah bilamana sistem tubuh manusia dapat distabilkan apabila cas-sas positif dan negatif saling bertukar ketika tubuh manusia tersentuh satu sama lain semasa solat berjemaah.

Manfaatkan media elektronik
            
            Di dalam dunia yang serba canggih ini, pelbagai kemudahan tercipta yang mana jika disalahguna boleh membawa kepada kehancuran umat akhir zaman. Firman Allah Taala (mafhum) : “ Tidaklah Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia, Maha Suci Allah yang menyelamatkan kami daripada azab api neraka. ” Maka yang terbentang di depan mata manfaatkanlah ia. Jika media elektronik tidak dimanfaatkan maka terjadi pelbagai maksiat tanpa disedari, contohnya ikhtilat di alam maya. Sering kita alpa dengan masalah ini.

Tautan ukhuwwah
            
            Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “ Tidaklah beriman seorang mukmin sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya. ” Ramai dalam kalangan kita mengetahui hadis ini, namun sejauh mana kita dapat praktikkannya? Tepuk dada tanya iman. Beberapa cara berukhuwwah telah di gariskan oleh Abdullah Naseh Ulwan di dalam kutaibnya ‘Ukhuwwah Islamiah’. Antaranya, bersalaman apabila bertemu dan memberi hadiah kerana ianya dapat menimbulkan kasih sayang.

Pembentukan fikrah dan syakhsiah
            
          Fikrah Islam atau fikrah kita adalah ajaran Allah SWT, yang lengkap sempurna, syumul dan merangkumi seluruh kehidupan Muslim. Iaitulah Islam atau Ad-din yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah SAW.

     Seorang mujahid Islam, Ustaz Fathi Yakan ada menyatakan pembentukan syakhsiah itu hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya. Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari pemikirannya. Sesiapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam dikira telah menyeleweng. Firman Allah Taala : “ Dan jika kamu mengikuti orang-orang yang berada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya prasangka belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan. ” (Al-An’am : 116)


Mengetahui dan mendalami sejarah Islam

Ianya bertujuan supaya seorang muslim mempunyai gambaran nyata tentang hakikat Islam yang sebenarnya, yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’ dan tabi’n serta golongan  terkemudian.

 “Siapa yang meninggalkan sejarah dia akan mengulangi sejarah tersebut.” Kata-kata ini amat masyhur dalam masyarakat sekarang, maka ayuh kita cakna dengan sejarah Islam yang berlaku agar ianya menjadi  langkah awal dalam pembinaan Daulah Islamiah yang segemilang zaman terdahulu. Cukup banyak sumber yang kita boleh dapatkan seperti merujuk para ulama, kitab-kitab lama dan moden, dan melakukan pengkajian. Ramai yang mahu bekerja tetapi tidak ramai yang mahu berfikir.

Sedikit renungan bersama, “ Sesuatu yang dilakukan dengan mahabbah, akan menghasilkan ketenangan dan kebahagian di dalam hati walaupun fizikal penat ” (Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani Al-Husaini).

Wallahua’lam…

1 comment:

Anonymous said...

Mohon share untuk perkongsian ilmu..assalamualaikum..

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger