Salam
sejahtera diucapkan buat pencinta kedamaian, keindahan, keadilan juga
buat pencinta Sang Pencinta mutlak iaitu Allah SWT yang mencipta CINTA untuk
yang dicintai-NYA. Selawat dan salam buat junjungan besar kekasih Allah SWT, Rasulullah SAW dan seluruh ahli
keluarga baginda serta para sahabat yang diredhai Allah.
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Katakanlah
(Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu
dan mengampuni dosa-dosamu” dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. “Katakanlah
(Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul, jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa
Allah tidak menyukai orang-orang kafir.” (Ali-Imran
: 31-32)
Bila berbicara tentang CINTA, ramai
yang tersenyum sendiri, ada juga yang tersengih malu. Namun, insan yang pernah
mengalami sahaja yang dapat merasai betapa nikmatnya CINTA. Timbul persoalan,
adakah cinta yang kita rasai itu cinta mutlak atau hanya cinta nafsu? Islam
telah datang dengan syumulnya dari aspek ilmu Akidah, Syariat dan Akhlak untuk
dihayati dan diamali oleh penganutnya demi mencapai redha Ilahi. Untuk
mendapatkan cinta hakiki tidak dapat tidak mesti melalui jalan yang telah
digarisi syariat. Cinta atau boleh juga dipanggil mahabbah terbentuk melalui
pengamalan tiga aspek ilmu tadi. Bila hati sudah cinta maka segala yang
dilakukan adalah untuk yang dicintainya. Begitulah manusia, bila cinta kepada
Allah, segala tujuan dan kefokusannya hanyalah untuk Allah.
Berlandaskan apa yang Islam terapkan,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM telah menubuhkan Unit Biah Solehah
yang berperanan besar memastikan biah yang solehah terlaksana di bumi Anbiya’
khususnya, dan di negara lain umumnya. Ini kerana sebagai mahasiswa dan
mahasiswi yang menjadikan Islam sebagai cara hidup, maka Biah Solehah adalah
satu amanah untuk kita semua. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Tiada
keimanan bagi yang tidak beramanah, tiada solat bagi yang tidak bersuci, dan
tiada agama bagi yang tidak bersolat”.
Mari kita koreksi balik objektif
Unit Biah Solehah kali ini dengan 5 pembawakan agar dapat kita terapkan dalam
kehidupan seharian demi membentuk generasi berakhlak Quran dan insan yang
mencintai dan dicintai Allah. Insya-ALLAH. Bila ada mahabbah semuanya akan jadi
solehah.
Memperkasakan Solat
Jemaah
Sabda
Rasulullah SAW (mafhum) : “ Solat berjemaah lebih afdhal dari solat
bersendirian dengan 27 darjat, manakala solat bersendirian 1 darjat.”
(Muttafaqun ‘Alaih)
Juga telah bersabda Rasulullah SAW
(mafhum) : “ Ke atas kalian dengan berjemaah.” Berdasarkan hadis
tersebut, boleh kita simpulkan seruan agar meletakkan diri dalam jemaah atau
kumpulan, hatta ketika solat, kerana ia melambangkan kesatuan hati muslimin.
Orang kafir begitu gerun melihat sesebuah solat yang didirikan dengan berjemaah
kerana ia menunjukkan betapa ramainya umat Islam seperti mana beberapa kisah
yang berlaku ketika zaman sahabat terdahulu. Ahli teori fizik juga mengakui
kehebatan solat berjemaah bilamana sistem tubuh manusia dapat distabilkan
apabila cas-sas positif dan negatif saling bertukar ketika tubuh manusia
tersentuh satu sama lain semasa solat berjemaah.
Manfaatkan media
elektronik
Di dalam dunia yang serba canggih
ini, pelbagai kemudahan tercipta yang mana jika disalahguna boleh membawa
kepada kehancuran umat akhir zaman. Firman Allah Taala (mafhum) : “ Tidaklah
Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia, Maha Suci Allah yang menyelamatkan
kami daripada azab api neraka. ” Maka yang terbentang di depan mata
manfaatkanlah ia. Jika media elektronik tidak dimanfaatkan maka terjadi
pelbagai maksiat tanpa disedari, contohnya ikhtilat di alam maya. Sering kita
alpa dengan masalah ini.
Tautan ukhuwwah
Sabda Rasulullah SAW (mafhum) : “
Tidaklah beriman seorang mukmin sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia
mengasihi dirinya. ” Ramai dalam kalangan kita mengetahui hadis ini, namun
sejauh mana kita dapat praktikkannya? Tepuk dada tanya iman. Beberapa cara
berukhuwwah telah di gariskan oleh Abdullah Naseh Ulwan di dalam kutaibnya ‘Ukhuwwah
Islamiah’. Antaranya, bersalaman apabila bertemu dan memberi hadiah kerana
ianya dapat menimbulkan kasih sayang.
Pembentukan fikrah
dan syakhsiah
Fikrah Islam atau fikrah kita adalah
ajaran Allah SWT, yang lengkap sempurna, syumul dan merangkumi seluruh
kehidupan Muslim. Iaitulah Islam atau Ad-din yang diturunkan oleh Allah melalui
Rasulullah SAW.
Seorang
mujahid Islam, Ustaz Fathi Yakan ada menyatakan pembentukan syakhsiah itu
hanyalah dapat dibentuk di dalam suasana yang tertentu, yang jauh dari tarikan
jahiliyyah. Umpamanya dengan mengadakan halaqah, usrah, ijtima’ dan sebagainya.
Seorang muslim hendaklah tidak menghilangkan satu fikrah Islam pun dari
pemikirannya. Sesiapa yang cuba menyembunyikan fikrah Islam dikira telah
menyeleweng. Firman Allah Taala : “ Dan jika kamu mengikuti orang-orang yang
berada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.
Yang mereka ikuti hanya prasangka belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan.
” (Al-An’am : 116)
Mengetahui dan
mendalami sejarah Islam
Ianya
bertujuan supaya seorang muslim mempunyai gambaran nyata tentang hakikat Islam
yang sebenarnya, yang tercermin dalam kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat,
tabi’ dan tabi’n serta golongan
terkemudian.
“Siapa yang meninggalkan sejarah dia akan
mengulangi sejarah tersebut.” Kata-kata ini amat masyhur dalam masyarakat
sekarang, maka ayuh kita cakna dengan sejarah Islam yang berlaku agar ianya
menjadi langkah awal dalam pembinaan
Daulah Islamiah yang segemilang zaman terdahulu. Cukup banyak sumber yang kita
boleh dapatkan seperti merujuk para ulama, kitab-kitab lama dan moden, dan
melakukan pengkajian. Ramai yang mahu bekerja tetapi tidak ramai yang mahu
berfikir.
Sedikit renungan bersama, “ Sesuatu yang dilakukan
dengan mahabbah, akan menghasilkan ketenangan dan kebahagian di dalam hati
walaupun fizikal penat ” (Sheikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani Al-Husaini).
Wallahua’lam…
1 comment:
Mohon share untuk perkongsian ilmu..assalamualaikum..
Post a Comment