RAMADHAN OH RAMADHAN

Sidang pembaca yang budiman,

Ramadhan kembali dengan 1001 satu macam kelebihan di dalamnya.Para salafussaleh dan solehin menanti-nanti kedatangan bulan mulia ini dengan penuh kerinduan,serindu menantikan pertemuan dengan pencipta Ramadhan.Saat tibanya Ramadhan hati mula berbunga,wajah merona suka, tersenyum mengingat keagungan serta kebesarannya.

Lalu bagaimanakah Ramadhan di sisi kita?Jika salafussaleh dan solehin menangis ketika lambaian Ramadhan hampir tiba adakah kita melonjak gembira dengan pemergiannya.Aduh,alangkah malangnya jiwa-jiwa sedemikian rupa.Ketika hadir tidak di syukuri ketika hilang pun tidak terasa.

Ramadhan adalah universiti terbaik yang diciptakan Allah untuk menjadikan kita berjiwa hamba.Lapar membuatkan nafsu mengecil dan jiwa berasa halus apabila mengadapNya.Maka ketika itu ia mudah menerima tarbiyyah dari Yang Esa agar sama-sama merasai kesusahan orang yang susah dan kelaparan orang yang lapar.Demikian hebatnya pensyariatan Islam, menjadikan kita tidak saja mementingkan diri sendiri bahkan membentuk rantaian sosial yang baik seusai Ramadhan.Ramadhan tidak menjadikan kita lupa pada si miskin yang kelaparan dan si fakir yang kesejukan lantas diperintahkan menunaikan zakat fitrah guna memenuhi tuntutan golongan tersebut.

Beberapa peristiwa penting pernah berlaku dalam bulan mulia ini.Sejarah merakamkan bahawa al-Quran al-Karim diturunkan pada 17 Ramadhan di gua Hira ketika baginda nabi berkhalwat di sana.Tarikh yang sama berlaku peperangan Badar pada tahun kedua hijrah tidak lama selepas penghijrahan baginda ke Madinah al-Munawwarah.Tanpa menghiraukan kepanasan melampau padang pasir di bawah terik mentari para sahabat berjuang mencari syahid sehingga berjaya membawa kemenangan kepada pihak Islam.Ternyata puasa tidak menjadikan mereka lemah longlai tidak
bermaya bahkan itulah motivasi untuk mereka merangkul Jannatul Firdaus al-A’la dengan pahala berganda.Pahala keluar berjihad di jalan Allah dan pahala berpuasa keranaNya.

Semoga kedatangan Ramadhan kali ini kita tidak sia-siakan.Penuhilah setiap saat yang berlalu dengan ibadah.Jadikan kehidupan di dalamnya lebih baik dari bulan-bulan sebelum itu.Tajamkan kembali perhatian kita tentang fiqh puasa agar standard puasa kita berubah menjadi khawwas dan khawwasul khawwas.Rebutlah peluang kali ini kerana belum tentu Ramadhan tahun depan masih tersisa untuk kita.Jika pasti Ramadhan kali ini bukan puasa terakhir untuk kita maka teruskanlah dengan aktiviti-aktiviti lagha yang sinonim dengan kita.Justeru,berpuasalah dengan sebenar-benar puasa kerana satu-satunya ibadat yang diganjari terus dari Allah tanpa perantaraan malaikatNya adalah puasa seseorang keranaNya.

Ramadhan awalmu rahmat pertengahanmu keampunan dan akhirmu pembebasan dari api neraka.Ya Allah jadikan kami dari hamba-hambaMu yang sedikit. Ameeen ya Rabb.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger