DORONGAN HAWA NAFSU

قال الله تعالى : ( يأيهاالذين ءامنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون )

Dorongan Hawa Nafsu

Yang dimaksudkan dengan mengikut dorongan hawa nafsu ialah hawa nafsu yang keji dari segi syarak dan akal, iaitu apabila manusia berjalan berdasarkan kemahuan yang menyeleweng, dorongan nafsu yang keji dan tidak dikawal oleh undang-undang syara’ dan agama. Apa sahaja yang diingini, dicenderungi dan bersesuaian dengan kemahuannya akan dilakukan. Dia tidak takut kepada Allah dan balasanNya serta tidak memikirkan akibatnya.Tidak ragu lagi bahawa hasutan syaitan dan nafsu ammarah memainkan peranan penting di dalam memberi galakan kepada hawa nafsu yang terdapat di dalam diri manusia supaya melakukan kejahatan dan kefasadan serta mendorongnya ke arah penyelewengan dan jenayah.Sekiranya kita teliti ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi dan kata-kata para salaf, kita akan dapati kesemuanya mengeji hawa nafsu dengan begitu hebat dan juga menerangkan kesannya yang buruk di dalam menyesat dan menyelewengkan manusia dari jalan kebenaran.
Di antaranya ialah firman Allah ialah :
ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموات والأرض ومن فيهن

Maksudnya: Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. (Al Mukminun: 71)
Di antaranya lagi ialah:
فان لم يستجيبوا لك فاعلم انما يتبعون أهواءهم ومن أضل ممن اتبع هواه بغير هدى من الله ان الله لا يهدى القوم الظالمين

Maksudnya: Kemudian jika mereka tidak dapat menyahut cabaranmu (wahai Muhammad) maka ketahuilah bahawa mereka hanya menurut hawa nafsu mereka, dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk daripada Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberikan pimpinan kepada orang-orang yang zalim. (Al Qasas:50)
Adapun hadis-hadis pula ialah :
Imam Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :
الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت والفاجر من اتبع نفسه هواها وتمنى على الله

Maksudnya: Orang yang baik ialah orang yang menguasai dirinya dan beramal untuk perkara selepas mati. Dan orang yang jahat pula ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan mengharapkan sesuatu dari Allah.
Ibnu Majah dan Tarmizi meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w :
اذا رايت شحا مطاعا وهوى متبعا والدنيا مؤثرة واعجاب آل ذى رأى برأيه فعليك بخاصة نفسك ودع عنك أمر العامة

Maksudnya: Apabila engkau melihat sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi dan bertolak ansur) dituruti, hawa nafsu diikuti, dunia dikejari dan setiap orang yang mengemukakan pandangan merasa taajub terhadap pandangannya sendiri, maka hendaklah engkau menguruskan urusan dirimu sendiri dan tinggalkanlah urusan orang ramai.
Daripada Abu Umamah, beliau telah berkata: saya mendengar Rasulallah s.a.w bersabda: Tidak ada Tuhan yang disembah di bawah langit (di atas muka bumi) ini yang lebih dimurkai oleh Allah selain daripada hawa nafsu.
Manakala di antara kata-kata Para salafus soleh ialah;
Wahab bin Munabbih berkata: Apabila engkau ragu-ragu tentang dua perkara manakah yang baik, maka lihatlah kepada yang lebih jauh daripada keinginan hawa nafsumu dan lakukanlah ia.
Sahl at-Tasturi berkata: Hawa nafsu engkau adalah penyakit, sekiranya engkau canggahinya maka ia adalah ubat bagi engkau.

Disediakan oleh : Mas’ul Wacana, Badan & Unit Dakwah MKKK 09/10

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2011 @ Biah Solehah PMRAM!
Design by Wordpress Manual | Bloggerized by Free Blogger Template and Blog Teacher | Powered by Blogger